SEBETULNYA pilihanraya Presiden Amerika Syarikat belum berakhir. Selain kerana pengiraan undi masih berjalan, Trump juga mencabar kesahihan keputusan pilihan raya tersebut di beberapa buah negeri. Akan tetapi tanggapan umum, bakal Presiden negara kuasa besar itu ialah Joe Biden dari parti Demokrat, dengan rakannya Kamala Harris sebagai Naib Presiden. Semacam Joe Biden telah menang, kerana memperolehi jumlah ‘electoral votes’ yang cukup iaitu 270 undi. Perkembangan lain hanya akan menjadi jelas seminggu dua lagi.
Kira-kira menunjukkan segala congak tidak memihak Presiden Donald Trump dari parti Republikan. Harus diingatkan, Trump juga mendapat penambahan undi yang luar biasa, meskipun Demokrat ikut menambah undi popular. Pun undi Trump itu secara sengit terkalahkan dengan undi untuk Biden. Kita tidak akan membincangkan di sini persen atau peratus yang diperolehi. Ini kerana menurut saya, itu semua tidak begitu menyumbang kepada wacana pilihan raya dan demokrasi di negara kita.
Akan tetapi, dalam banyak-banyak perbincangan tentang pilihan raya Presiden di Amerika itu, ada satu; saya hanya memilih satu untuk kita renungi di sini. Saya harap pengamal demokrasi memberi perhatian besar kepada aspek ini.
Apakah aspek untuk dicermati itu?
Ia adalah mengenai pendaftaran pengundi baharu.
Dalam ucapan kemenangan sebagai Naib Presiden, Kamala Harris menyatakan terima kasih tidak terhingganya kepada wanita kulit hitam – yang menurutnya adalah tunjang demokrasi Amerika Syarikat – pun Kamala tidak menyebut satu nama.
Ada satu sebab, saya hanya mengambil satu yang relevan dengan kita; Georgia. Sebuah negeri yang secara tradisinya adalah milik parti Republikan, tetapi dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru ini telah bertukar menjadi warna biru, yakni warna parti Demokrat.
Kali terakhir Georgia dimenangi oleh Demokrat ialah pada tahun 1992, oleh Presiden Bill Clinton.
Seorang individu yang mengakibatkan Georgia memihak kepada Biden dalam tahun 2020, tidak lain tidak bukan ialah usaha seorang wanita kulit hitam bernama Stacey Abrams.
Abrams bertanding untuk pilihan raya Gabenor Georgia pada tahun 2018 tetapi tewas kepada Brian Kemp dari Republikan. Ramai penganalisis politik menyifatkan kekalahan itu kerana pengekangan terhadap pengundi (voter suppression). Hanya setelah Kemp menjadi Gabenor, Abrams menyedari bahawa lawannya, Kemp menang dengan cara kotor iaitu dengan membatalkan lebih sejuta pendaftaran pengundi baharu iaitu di antara tahun 2012 dan 2018. Kebanyakan pengundi baharu itu adalah berkulit hitam, dan yang berkulit putih pula adalah dari parti Demokrat.
Meskipun taktik kotor itu dilakukan, Abrams cuma – diulang cuma – kalah sekitar 55,000 undi. Abrams mendapat sokongan besar dari masyarakat Latino dan rakyat Amerika berketurunan Asia.
Abrams bagaimanapun tidak mengalah begitu sahaja. Kerjanya bermula sejak itu. Abrams meninggalkan seketika politik, dan menyertai kerja masyarakat sivil dengan menumpukan perhatian kepada hak mengundi secara demokratik. Abrams mengasaskan sebuah badan bukan kerajaan dengan nama Fair Fight Action semata-mata untuk melawan dan mendedahkan taktik pengekangan pengundi (voter suppression).
Sejak tahun 2018, menerusi NGO yang dipimpinnya, Abrams membantu mendaftarkan 800,000 pengundi baharu. 45 peratus pengundi baharu itu adalah di bawah 30 dan separuh dari mereka itu bukan berkulit putih.
Pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang baru-baru ini, Georgia memberikan undi kepada Biden dari Demokrat. Apabila pengundi tanpa menghiraukan pandemik Covid-19, keluar beramai-ramai untuk menafikan Trump, ternyata taktik pengekangan pengundi ini dapat diatasi. Cara Abrams ialah dengan mendaftarkan pengundi baharu seramai yang boleh. Pengundi baharu ini dibantu untuk mendaftar dan diberi kesedaran untuk mendaftar. Ini sebab, masih ramai ahli masyarakat berasa mengundi itu tidak penting dalam kehidupan seharian.
Apakah inisiatif parti-parti sedia ada di negara kita untuk benar-benar mendorong bakal pengundi baharu mendaftar? Mereka yang berada di bangku sekolah, dan pengajian tinggi misalnya adalah kelompok yang akan mengundi dalam pilihanraya mendatang (PRU15).
Harus diingat, antara faktor kerajaan kleptokrat pimpinan Mohd Najib Razak tersungkur dalam tahun 2018 adalah pelbagai taktik pengekangan pengundi. Salah satu yang kita masih ingat ialah pemilihan hari mengundi yang ditetapkan pada hari Rabu, demi menyukarkan pengundi yang berada di luar kawasan untuk pulang. Justeru, pendaftaran pengundi baharu sangat penting.
Selepas pilihan raya negeri Sabah yang menyaksikan tumbangnya kerajaan Warisan Plus di Sabah, Adrian Lasimbang seorang ahli Dewan Negara dari negeri di bawah bayu ada membuat satu hantaran di Twitter bertarikh 30 September 2020. Ciapan beliau itu wajib dijadikan panduan. Adrian hanya memberikan tiga pelajaran untuk dipegang dan dikuasai.
Pertama, kata Adrian; apa yang terhidang di atas meja orang kampung jauh lebih mustahak-penting-bermakna-dan utama berbanding apa juga janji tentang masa depan indah daripada mana-mana calon mahupun parti yang bertanding. Manifesto orang kampung hanya itu.
Kedua, peperangan di media sosial tidak ada apa-apa erti. Sifar. Nihil. Zero. Kosong. Orang kampung tidak mempedulikan anda juara di Twitter atau Facebook. Siapa yang terlihat batang hidung atau permukaan pelitup mukanya, maka dia akan dikenali. Untuk dikenali oleh pengundi; calon dan parti wajib turun padang.
Ketiga, projek komuniti yang dipasang oleh para calon dan petugas parti di kampung-kampung itu sia-sia sama sekali jika calon itu sendiri tidak terlibat dan tidak diketahui berada ketika projek itu mulai mengambil tempat dan terlaksana.
Gabungan pelajaran yang diberikan oleh Abrams dari Georgia, Amerika Syarikat dan tiga pelajaran lain yang digariskan oleh Adrian Lasimbang di atas adalah resepi untuk memenangi pilihan raya akan datang iaitu Pilihan Raya Umum ke-15.
Masih ada masa. Abrams melakukannya dalam dua tahun.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.