Setelah lebih 16 bulan kita lewati pandemik Covid-19, satu fakta yang saya dan anda boleh akui selepas PKP 1.0 adalah, lockdown bukan lagi satu-satunya senjata untuk memerangi virus. Rakyat Malaysia telah melalui enam jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum berada dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 sekarang.
PKP 1.0 (18 Mac 2020 – 3 Mei 2020)
PKP Bersyarat (4 Mei 2020 – 9 Jun 2020)
PKP Pemulihan (10 Jun 2020 – 12 Januari 2021)
PKP 2.0 (13 Januari 2021 – 11 Mei 2021)
PKP 3.0 (12 Mei 2021 – 31 Mei 2021)
PKP Diperketatkan (1 Jun 2021 – 14 Jun 2021)
PPN Fasa 1 (15 Jun 2021 – sekarang)
Selepas tiga bulan kita menjayakan PKP yang pertama, kita pernah mengecapi angka kosong untuk kes harian baharu pada tahun lalu. Namun sekarang setelah enam PKP dan proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos 2021 lalu, kita tidak lagi mampu berkiblatkan matlamat “Zero Covid-19” tetapi “Living with Covid-19”.
Meskipun berkali-kali lockdown, kes kematian harian telah pun mencapai purata 200 sehari, sudah lebih 10,000 jumlah kes kematian kumulatif dan hampir 2,000 kes kematian Brought-In-Death (BID). Pada masa yang sama, lockdown yang tidak seampuh PKP 1.0 telah meragut banyak nyawa yang tidak bersalah, membuatkan warga buruh hilang pekerjaan dan mencabar hubungan jarak jauh banyak keluarga. Anak-anak kita pula keciciran pelajaran selama hampir dua tahun, kesenjangan teknologi yang wujud antara keluarga berbagai kelas dan derajat ditelanjangkan ke khalayak ramai.
Kita harus berhenti sejenak dan merenung, bahawa undang-undang yang telah digunakan semenjak hari pertama lagi bukan semata-mata usaha semberono dan hentam kromo. Intervensi undang-undang adalah sejenis ‘rawatan’ bagi memerangi wabak virus. Dan seperti mana-mana rawatan lain, ia mempunyai kesan buruk dan kesan baik. Keengganan menanggapi ia sebegitu, akan mengundang bala yang lebih besar dan dahsyat.
Semenjak bermulanya pandemik ini, beribu jenis peraturan telah dikuatkuasakan sebagai langkah memerangi virus termasuk larangan rentas negeri, pemakaian pelitup muka, perintah berkurung dan waktu pengoperasian bisnes yang lebih pendek. Setelah lebih setahun, kita menyedari bahawa campurtangan undang-undang seperti ini banyak memberikan kesan kepada sosioekonomi dan tingkah laku sosial manusia yang amat rumit. Banyak perusahaan “non-essential” gulung tikar, perusahaan kecil dan sederhana semakin nazak, kanak-kanak tidak lagi bersosial seperti biasa dan yang terkini adalah fenomena bendera putih.
Dengan menyedari undang-undang adalah sejenis rawatan, baru kita tahu betapa gagalnya kita pada peringkat penggubalan polisi tatkala kita menggunakan strategi yang sama berulang-ulang kali untuk mengurangkan kluster-kluster baru Covid-19. Undang-undang adalah rawatan yang memberikan kesan kepada setiap status dan kelas rakyat Malaysia yang terdedah kepada penguatkuasaannya. Setiap saat dan minit.
Apakah kita kekurangan data terperinci tentang kesan penggunaan undang-undang yang amat mustahak bagi menentukan resepi paling cocok dalam mengembalikan Malaysia kepada keadaan normal dengan mudarat yang paling minima? Jawapannya ya.
Kita perlu sanggup untuk membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengkaji Epidemiologi Undang-Undang bagi mengetahui hubungkait antara undang-undang dan kesihatan secara terperinci.
Undang-undang bukanlah seperti sedos vaksin atau sebiji pil; boleh diproduksikan, disukat menggunakan radas, dilakukan prauji, didoskan dan diedarkan. Ia memerlukan kaedah yang lain seperti randomized, controlled trial (RCT) atau controlled-time series dan quasi-experimental designs. Seperti ubat-ubatan, undang-undang juga mampu dikaji keberkesanannya berdasarkan parameter-parameter yang bersifat empirikal. Namun, mengabaikan terus kajian terhadap penggunaan undang-undang sebagai faktor utama dalam pemerkasaan kesihatan adalah masalah budaya dan bukan masalah sains pada diri kita.
Jika kita mengkaji, kita boleh ketahui bahawa pendekatan mengongkong dan mengurung rakyat di rumah dalam tempoh yang berpanjangan telah mengakibatkan penentangan sosial dan politik pada zaman pandemik Spanish Flu. Ketika epidemik HIV di Amerika Syarikat menggila, kajian sejarah dan kajian sociolegal telah mendedahkan ‘pembangunan sosial’ tentang penyakit dan pengawalan penyakit. Data-data sebegini adalah sangat bernilai untuk golongan penggubal polisi membuat pilihan yang lebih tepat dan menambah baik penguatkuasaan.
Mengapakah selepas setahun kita hidup bersama virus ini, pemerintah kita mengeluarkan undang-undang yang tidak masuk akal seperti mengurangkan kadar kekerapan pengangkutan awam, sehingga menyebabkan berkumpulnya kaum pekerja di stesen-stesen kereta api? Bukankan ini akan menyebabkan kluster baharu Covid-19? Selain itu waktu operasi restoran telah dipendekkan sehingga jam lapan malam sahaja dan menyusahkan pekerja-pekerja yang pulang lewat dari tempat kerja. Lalu langkah-langkah ini telah diulang dan diulang kembali meski ramai telah menyuarakan keresahan.
Apakah yang bermain dalam minda penggubal polisi sekarang? Sibuk bermain politik dengan ‘menghadiahkan’ jawatan penasihat bertaraf menteri kepada ahli parti sendiri dan membeli ‘katak politik’?
Kita perlu berusaha mengkaji pelaksanaan undang-undang kerana pulangan yang lumayan menanti kita dalam menentukan sesuatu dasar dan polisi yang mesra rakyat. Namun malangnya, keghairahan kerajaan dalam mendanai program kajian saintifik terhadap sesuatu polisi tidaklah sehebat kajian terhadap vaksin atau ubat. Perkara ini sepatutnya sangat membimbangkan kita kerana hakikatnya kita tidak mampu pun memaksimakan kedua-duanya. Vaksin tidak mampu kita hasilkan (setakat ini), malah kajian terhadap polisi yang telah kita laksanakan juga ternyata tidak nampak.
Sementara kita menunggu kebarangkalian munculnya gelombang wabak baru, persoalan-persoalan penting tentang undang-undang pengawalan pandemik masih belum terjawab. Saat ini, kita memerlukan kajian bersifat retrospektif yang terkawal menggunakan data sebenar bagi menjawab persoalan-persoalan yang menuntut; bagaimana hendak meningkatkan pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, bagaimana hendak mengenal pasti kos dan keuntungan menutup satu-satu kelas darjah sekolah, bagaimana kita boleh mengurangkan kontak fizikal dalam sektor perkhidmatan tanpa memudaratkan pekerja yang bergaji rendah, dan bagaimana mengangkat semula larangan pergerakan secara selamat.
Jika jawapan terhadap persoalan-persoalan ini gagal ditemui, kita akan sentiasa kembali kepada kaedah total lockdown yang sama. Semakin banyak nyawa yang akan terjejas, anak-anak kita akan semakin keciciran dalam alam persekolahan dan rakyat akan semakin merusuh. Sampai bila lagi rakyat perlu dikurung?
Kita memerlukan sekurang-kurangnya tiga jenis kajian; kajian tentang mekanisme, kesan dan kesan sampingan serta reka bentuk pelaksanaan peraturan. Misalnya, pendekatan pencegahan dan pengawalan Covid-19 dan had kuasa pemerintah dalam melaksanakan Akta 342 yang mempengaruhi setiap keputusan dibuat. Semua ini mustahak untuk dirungkaikan. Sekurang-kurangnya ini yang ditekankan dalam sebuah jurnal oleh Scott Buris, Evan Anderson dan Alexander C. Wagenaar.
Serta, yang paling penting adalah untuk kita mengenengahkan tidak kira ketika waktu pandemik atau tidak, bagaimana undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan aspek kesihatan, tetapi mempengaruhi kadar life expectancy seorang warga yang boleh hidup sehingga 80 atau 90 tahun; seperti akta percukaian, kadar gaji minima dan undang-undang buruh.

Anak muda kelahiran Shah Alam Rock City yang menggemari muzik alternatif tempatan. Bercita-cita untuk menjadi petualang kental setelah melewati 19 buah negara. Penggubah sebuah travelog berjudul Tuhan, Beri Aku Sehari Lagi yang belum lagi dijual di mana-mana kedai buku.