Sajak-sajak Bahasa Melayu Salleh Ben Joned: Satu Reviu Yang Terlambat

SALLEH BEN JONED yang meninggal dunia pada 29 Oktober 2020 lalu adalah seorang pengarang dwi bahasa. Arwah lebih banyak menulis dalam bahasa Inggeris menyebabkan beliau kurang dikenali oleh pengekor sastera Melayu.

Salleh sering dianggap sebagai seorang penyair, esais dan penulis lakon pentas yang provokatif. Malah acap digambarkan selaku anak nakal sastera Melayu. Demikian provokatif dan nakal, sehingga Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh pernah menggambarkan Salleh sebagai seorang pengarang yang ‘traumatizing to the Malays’ kerana usik acah Salleh terhadap gagasan ketuanan Melayu.

Kritikan atau kejujuran Muhammad Haji Salleh mengenai puisi-puisi bahasa Melayu Salleh Ben Joned – bahawa ia menakutkan Melayu – seperti termuat dalam kumpulan puisi beliau ‘Sajak-Sajak Salleh’ mengakibatkan Salleh semacam merajuk. Mungkin Muhammad terlalu berterus-terang. Barangkali juga Salleh terlalu cepat berkecil hati.

Ekoran hempukan keras Muhammad Haji Salleh, Salleh membuat keputusan berhenti mengarang dalam bahasa Melayu. Kata Salleh dalam satu wawancara dengan Mohamad A. Quayum (2014);

‘Since the writing of Adam’s Dream, I’ve virtually stopped writing poetry in Malay. A prominent National Laureate says in an academic article that “the appearance of Salleh’s book (Sajak-sajak Salleh/Poems Sacred and Profane) was the most traumatic experience for the Malay literary scene.” When someone showed me that I remember saying to myself, “Well, I don’t have to write poetry in Malay anymore. If with just one book, my first, I’ve traumatised the Malay writers, I wonder what the next one will do!” It is also revealing that not a single review of the first edition of the book appeared in any Malay publication when in that edition of the book there were more poems in Malay than in English.”

Sayang sekali, Salleh termakan oleh ‘gunjingan’ itu. Beliau berhenti mengarang dalam bahasa Melayu. Apa pun sebab-musabab Muhammad menyerang Salleh ben Joned sedemikian, harus saya nyatakan yang puisi-puisi yang Salleh karangkan dalam bahasa Melayu itu sangat halus, menyentak, penuh lapik kias dan lambang yang sungguh mempesona; di mana inti sajaknya adalah mesej dan tema yang sendat provokasi. Sesungguhnya sastera Melayu kehilangan suatu permata yang sepatutnya digilap dan bukan dihindar. Melayu selalu memang mudah menikam dan menindas mereka yang ada potensi agar yang tua dan lama dapat hidup seratus tahun lagi.

Jika kita membaca puisi bahasa Melayu nukilan Salleh, khusus termuat dalam ‘Sajak-Sajak Salleh/Poems Sacred and Profane’ kita akan mendapati Salleh menguasai imej bahasa Melayu yang kaya, kias yang utuh dan hanya dengan penguasaan sedemikian sahaja Salleh boleh memain-main, dan mengincah bahasa Melayu sehingga menjadi begitu mendobrak rasa. Tentu, kekuatan seperti itu menggentarkan mereka yang iri. Sebagai contoh, Salleh dengan cekap menciptakan ungkapan puitis baru untuk mentari hangat di atas Malaya sebagai ‘mataharistiwa’, padanan matahari-khatulistiwa. Itu sahaja menjadikan Salleh cukup khas dan kukuh.

Salah satu yang sering ditempelkan kepada Salleh ialah beliau pengarang atau penyair kurang ajar. Saya kira Salleh mungkin sengaja untuk kurang ajar, kerana itu merupakan satu sikap Melayu Melaka yang khusus. Pun, kurang ajarnya Salleh tidak sampai biadab. Kedua, Salleh juga dikatakan pengarang atau penyair gatal atau miang memandangkan bertaburan simbol dan acah erotis yang dipasakkan dalam puisi-puisi beliau. Apakah benar?

Saya akan sekarang membincangkan secara umum dakwaan kurang ajar sehingga boleh menakutkan Melayu itu; dan juga tuduhan Salleh ini seorang penyair miang (baca erotis):

Adakah benar Salleh pengarang kurang ajar?

Memang jika kita membaca karya Salleh dalam bahasa Inggeris terdapat senda yang mungkin dianggap keterlaluan oleh pembaca Melayu, mengenai orang Melayu. Tentu, Salleh melakukannya dengan sedar, dan itu bukan satu dosa memandangkan dia sendiri Melayu. Kolum beliau di New Straits Times sebagai contoh memang kadang-kala mengusik darihal Melayu secara telus dan terangan. Dalam Adam’s Dream misalnya puisi-puisi beliau mengungkapkan persoalan tudung, poligami, dan kejumudan Melayu. Salleh mungkin dibenci oleh konservatif kanan Melayu kerana menghakimi gagasan ketuanan Melayu. Pun, dia juga tidak mendapat perhatian progresif Melayu tahun 1990-an memandangkan mereka sedang tergila-gilakan Anwar Ibrahim.

Siapa sahaja pernah menulis begini dan menujukan kepada Anwar?

[Yes, The Edge! Fuck you, ‘Nwar ‘Brahim!

And all the bullshit about corruption

And (O, God!) transparency.

When you were in the Government,

As Finance Minister and DPM,

You would of course claim to be

Incorruptible and transparent.

I could imagine him, never at a loss

For words, saying to me, “I was. They knew that.

That’s why I got into trouble. A lot

Of sastrawan believe in me. You are

Just a cynic. That’s why you don’t believe in me.”

I’m neither a sastrawan nor a cynic, you turd.

And I threw the mag into the rubbish bin,

An ordered another roaring Tiger.]

Bait dari puisi ‘Thank God It’s Friday’ di atas tentu saja mengakibatkan ramai menggelupur. Itu belum lagi mengambil kira gunjingan Salleh Ben Joned terhadap para intelektual Melayu yang terpisah dari realiti sebenar masyarakat Melayu, seperti yang beliau ungkapkan dalam drama pentas ‘The Amok of Mat Solo’. Dalam satu dialog antara Dr Takdir (yang wataknya dibisukan di atas pentas) dan Mat Solo, orang Melayu dibawa mentertawakan diri:

[Mat Solo: What do you want, Professor? What? Can’t really hear you. I tend to be a bit deaf when the language you use is some kind of non-language. Can I borrow your hearing aid Professor?

Dr Takdir takes off his hearing aid and hands it to Mat Solo who puts it on. Dr Takdir continues with his mute address. Mat Solo echoes him.]

Mat Solo: Kognitif disonansi memanifestasikan satu realiti yang mereflekskan tensyion dan konflik dalam identiti komuniti Melayu. Pengaruh Barat yang sekular dan materialistik berkonflik dengan heritej Islam dalam minda individu Melayu yang moden dan progresif… Is that right, Professor?]

Marah dan rasa geram Salleh sedemikian itulah yang terpancar dalam sajak-sajak Bahasa Melayu beliau juga. Sebagai contoh ambil puisi beliau yang penuh gempa ini, judulnya ‘Rentak Haram Jadah’:

[Aku tak pernah ke sekolah, tapi aku ada ijazah,

aku dikenal ramai sebagai Doktor Haram Jadah.

Sekarang Zaman Pembangunan, aku sentiasa bangun:

betul-betul anak bapak, merdeka menyamun!

Pesan akhir bapak kupegang teguh: ‘Rogol adalah dosa,

kecuali bila rakyat dirogol di pilihan raya’]

Bait gempar di atas adalah satu petunjukan rasa meluap Salleh kepada sikap orang Melayu yang mudah diperbodohkan dalam politik tentunya. Apabila bercakap mengenai agamawan, Salleh Ben Joned selamba menyamakan mereka dengan artis. Dalam puisi nakalnya bertajuk ‘Mauizah Hasanah’, Salleh menuliskan begini:

[Dua pihak berhadapan untuk berbincang

tentang apa yang dilarang, dianggap sumbang.

 

Pihak sebelah kanan pekak dan penuh pasti;

mereka duduk menggeleng kepala dalam gelap.

Telunjuk kaku-berbuku tak berhenti-henti

mencincang udara, menikam kitab.

 

Pihak sebelah kiri pula tak tahu mereka di mana,

mengharapkan penjelasan tentang apa yang jelas.

Rabun dalam cahaya terang, mereka meraba-raba;

dari jurucakap dalam akhirat mengharapkan belas.

 

Sahara Yaacob dalam Mazda RX7 merahnya

tak tahan geli hati, terbahak-bahak ketawa.]

Seterusnya, terdapat dakwaan bahawa Salleh penyair lucah. Saya berpendapat tuduhan itu sebetulnya semberono. Salleh sebetulnya adalah penyair asal Melaka yang nuansa sekitarnya memang marah-marah (tetapi baik hati) dan lembut berkait saat diperlukan.

Puisi romantis beliau menurut saya sungguh mengujakan.

Antara puisi beliau yang paling mengghairahkan adalah ‘Selendang Maut 1’. Bait puisi tersebut seperti suatu larik lirik tarian mempersonakan buat dipersembahkan kepada Raja Siam. Mungkin ia merupakan satu ode untuk Datuk Azanin Ahmad, penari tarian klasik Melayu yang tersohor:

[Tilik dan cium warnanya, tilik;

tilik dan cium urat-benangnya, cium:

merah padam seperti marah maluku,

tajam milu seperti pedih hempeduku.

Sutera dara yang kucelup

dalam air madu Tanah Serendah;

selendang cindai yang ditenun

isteri yang setia pada sumpah.]

Keindahan yang sama saya perhatikan pada puisi ‘Di Detik Ini, Di sini’ sebuah puisi memuja kejelitaan dan kelembutan seorang wanita Melayu:

[Aku mungkin di sana, engkau di sini:

hujan hatimu hujan hatiku jua.

 

Keresahanku cuma pemikiranku:

suatu kemestian yang tak perlu kau ragu.

 

Kau bisa terima kerana kau memberi:

matahari yang marak di antara

dua susu kemuncak gunung ledangmu

terbit di situ menerangi alamku.

 

Kebisuan langitmu tidak mengapa

kerana rimbamu penuh kata-kata.

Dalam sentiasaan cuaca hakikatmu

kurasa suatu kebebasan yang baru.

 

Di detik ini, di sini, tiba aku;

di bibir rimba beraneka lagu.

Di senja, harum hujan menikam tubuh;

di subuh, harum angsana di angkasa.]

Menurut saya, puisi-puisi Melayu Salleh Ben Joned yang segugus itu mengatasi – semua – kekuatan puisi Muhammad Haji Salleh. Salleh bahkan, dalam beberapa puisinya, menurut saya meninggalkan Usman Awang sebagai penyair romantik Melayu.

Dalam satu keluhan kerana merajuk dihunjam keras Muhammad Haji Salleh, Salleh Ben Joned juga menyatakan dia agak sedih dan terkilan kerana sajak-sajak bahasa Melayunya tidak diulas atau direviu;

‘it is also revealing that not a single review of the first edition of the book appeared in any Malay publication when in that edition of the book there were more poems in Malay than in English.’

Salleh ada menyebutkan mengenai puisi-puisinya yang dihujahkan ‘menakutkan’ itu; ‘kehidupan penuh dengan kemungkinan dan keanekaan. Kehidupan tidak seharusnya diperangkap oleh pantang, konsep dan slogan’.

Tuan Salleh, maafkan terlambat. Ini, yang sedang kamu baca di syurga ini adalah reviu saya untuk sajak-sajak bahasa Melayumu. Sayang tuan, ia tidak dapat memujukmu untuk menulis kembali. Maafkan saya bertangguh menulisnya. Tapi moga-moga reviu tunggal yang terlambat ini akan membolehkan karya-karya kurang ajar dan nakal mu itu hidup lama, hidup bukan untuk seratus tahun; tetapi bahkan mengatasi karya mereka yang iri. Karyamu akan hidup seribu tahun lagi; mengatasi semua pembenci.

Selamat jalan Salleh Ben Joned, apa lagi dapat kami katakan.

Terus hidup tuan, dalam ‘mataharistiwa’ terik kami.

Komen