SALAH seorang nama besar dalam dunia kepenyairan Melayu ialah Hamzah Fansuri. Beliau juga selalu dirujuk sebagai penyair sufi. Dalam karya-karya Hamzah Fansuri, nama Ali begitu dominan dan sering ditampilkan dengan citra yang luar biasa. Sebagai contoh, Saidina Ali itu diperikan sebagai empunya makrifat.
Tuhan kita itu tiada ba’id
Terhampir pulang daripada habl al-warid
Wasilnya da’im terlalu shadid
Pada ahl al-ma’rifah yang beroleh shahid.Shahid itulah yang bernama wali
Beroleh ma’rifat daripada Muhammad al-nabi
Ma’rifat itu yogya diketahui
Supaya jadi shuja’ seperti ‘Ali
Dalam dua bait di atas konsep kedekatan seseorang manusia dengan Sang Penciptanya, iaitu hampir dengan urat tengkuk itu disebutkan dengan makam seseorang yang mencapai kesaksian. Ini terlihat pada bait ‘terhampir pulang daripada habl al-warid’.
Dalam hal ini Fansuri menghuraikan dalam puisinya mengenai ayat suci al-Quran, iaitu ayat 16 dari Surah al-Qaf, terjemahannya; ‘Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.’
Fansuri menghuraikan bahawa Tuhan itu tiada ba’id (jauh). Yang mana Fansuri dipercayai mempelajari doktrin Wujudiyyah daripada masyarakat Parsi di Ayuthya tatkala berada di Siam. Kedekatan yang mana lebih dekat dari urat leher ini ialah di mana Allah dapat ditemui maka disitulah Allah ada dan dekat.
Kedekatan kepada Allah ini dapat dicapai saat seseorang itu patuh dan menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Pun, bukan semua kepatuhan bererti dekat, kerana terdapat kedekatan yang sebenarnya dilakukan demi harapan untuk meraih ganjaran Tuhan, atau kerana takutkan azab Tuhan. Ia adalah kedekatan orang awam (qurb al-‘āmma).
Terdapat pula kedekatan lain di mana individu mengalami proses rasionalisasi (nazar). Sehinggalah ia bertemu dengan Tuhan, mengimani-Nya dan hampir dengan-Nya. Juga, dalam konteks bait di atas, kedekatan yang dimaksudkan adalah berupakan kesaksian, dimana keesaan Allah diperolehi dengan ‘menyaksikan’. Inilah menurut Fansuri pencapaian seorang ‘pada ahl al-ma’rifah yang beroleh shahid’.
Dalam hal ini untuk memahami persoalan makam shahid ini, mungkin kisah Abu Hanifa (pendiri mazhab Hanafi) mengadukan hal Imam Kadzim kepada ayahnya Imam Sadiq (oneng Nabi Muhammad saw) dapat dipetik.
Abu Hanifa keanehan melihat Imam Musa al Kadzim, anak Imam Sadiq membiarkan orang melintas di hadapannya tatkala sedang bersembahyang. Abu Hanifa mengadukan kepada Imam Sadiq, kerana berasa hal ini canggung. Selalu, kalau kita di Mekah, atau di masjid; kita akan melihat orang yang sedang bersembahyang akan mendepangkan tangan tidak membenarkan pelintas melalui menyeberang orang yang sedang bersolat itu. Seolah-olah Tuhan berada di hadapan.
Untuk merungkai kekusutan ini, Imam Sadiq memanggil Imam Kadzim, dan bertanyakan hal ini. Imam Kadzim menjawab, Ayahku, Yang Maha Esa itu lebih dekat denganku daripada mereka yang lalu lalang itu, sementalah Allah berfirman ‘dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya’. Mendengar jawapan ini Imam Sadiq mendakap anaknya dan memuji makam kesaksian Imam Kadzim. Ia juga bermakna Imam Kadzim telah melepasi makam makrifat itu. Manakala Abu Hanifa terlihat jauh dan belum mengerti.
Yang menemukan kesaksian ini disebut-sebut oleh Fansuri sebagai ahli makrifat. Kesaksian ini bukan sebarangan dan mestilah datangnya daripada Rasulullah saw, dan bukan orang lain. Ahli makrifat terbesar menurut Fansuri tidak lain tidak bukan adalah seorang wali (Imam) yang statusnya shuja’ (perwira). Ciri ini hanya terdapat pada Saidina Ali. Oleh sebab status shahid ini bukan sebarang orang dan beroleh daripada Nabi Muhammad, dan kerana itu individu tersebut mencapai makam wali, yang hebat (shuja’) dan orang itu tidak lain tidak bukan adalah Ali. Tentulah menggamamkan Fansuri misalnya tidak mencontohkan sahabat-sahabat lain. Malah dalam seluruh puisi-puisinya, nama Ali begitu dominan dan menonjol.
Pengangkatan sebegini tinggi terhadap baginda Saidina Ali hanya terdapat dalam kalangan penganut mazhab Syiah dan pengamal sufi sahaja dan sukar ditemukan dalam kalangan penganut Ahlus Sunnah wal Jamaah yang lebih berhati-hati memuja baginda, atau kita Sunni sekurang-kurangnya mensetarakan kedudukan Saidina Ali dengan sahabat-sahabat Nabi Muhammad yang lain.
Namun demikian, pemujaan Hamzah Fansuri terhadap Khalifah keempat ini tentu sahaja membuka pintu ilmu kepada penjelasan-penjelasan lain yang wajar diterokai dan digali dengan sungguh-sungguh. Adakah Fansuri lebih dari seorang sufi? Memandangkan beliau bergaul dengan agamawan Parsi yang sudah pun memperkenalkan Imamiyyah di Siam?
Pun, salah satu aspek penting mengenai kedekatan ini adalah terdapat satu lagi jalan kedekatan iaitu dengan beraksi natijah dari keimanan. Aksi atau perbuatan itu bagaimanapun tentulah ikhlas dan tidak berharapkan ganjaran atau kerana kegerunan kepada azab Allah.
Kedekatan berdasarkan aksi yang lahir dari keimanan itu, bukanlah hanya dengan meninggalkan maksiat dan patuh kepada semua perintah Allah. Tentu Fansuri ada mengingatkan agar menjauhi pencurian dan zina.
Namun, pesan terbesar Fansuri yang disisipkan dalam syairnya adalah supaya seorang sufi atau pengamalnya itu menjauhi pemerintah yang zalim, tidak adil, dan khianat. Fansuri mengecam ulama atau agamawan yang terhegeh-hegeh mencari untung dan kekayaan dengan menyembah raja atau kerajaan.
Bahkan Fansuri mengingatkan kedekatan kepada Allah itu mustahil dicapai jika seseorang individu itu sampai bersekongkol dengan penindas, pemerintah bangsat, atau kerajaan yang berlaku tidak adil dan khianat.
Hal ini misalnya tercermin dalam bait al-marhum Hamzah Fansuri yang berbunyi:
Aho segala yang menjadi faqir
Jangan bersuhbat dengan raja dan amir
Karena rasul Allah bashir dan nadhir
Melarangkan kita saghir dan kabir.
Dan juga bait lain yang lebih kurang kandungannya, tetapi berbunyi begini:
Aho segala kamu anak alim
Jangan bersahabat dengan orang zalim
Karena rasul Allah sempurna hakim
Melarangkan kita sekalian khadim.
Untaian bait-bait ini tidak terputus dengan sosok yang dipuja Fansuri iaitu Saidina Ali, kerana dalam rajutan syair itu nama Ali tetap disebut dan dikaitkan dengan makrifat, malah Ali itu sebagai makam orang bertakwa dan orang mukmin:
Dalil ini dibawa imam al-muttaqin
Ya’ni: Fa-tawakkalu in kuntum mu’minin
Jika tawakkulmu kepada arham al-rahimin
Mangkanya dapat ke dalam qawm al-sabirin.Sabda Abu ‘l-Hasan ‘Ali al-Murtada
Qala: Man tawakkala ala ‘Ilahi kafa
Daripada dalil Qur’an jangan kautagha
Supaya dapat ke dalam Jannatu ‘l-ma’wa
Dalam hal ini Fansuri menyatakan Imam Ali adalah model, contoh, pedoman dan rujukan yang menjauhi pemerintah zalim. Mengintimi kerajaan pembunuh disifatkan sebagai salah satu kemaksiatan yang zahir iaitu dipesan jangan berkawan-kawan atau berblok dengan pemerintah jahat begini. Sayugia diingatkan pemerintah Acheh tatkala itu, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Aceh dalam tahun 1606-1636 banyak melakukan kebejatan dan memangsai ramai rakyatnya.
Selama ini, analisis sedia ada terhadap puisi-puisi Fansuri selalunya mencontohkan beliau sebagai penyair sufi yang ‘mabuk air anggur’, naik ke langit tinggi, asyik dengan falsafah; dan tiada kepedulian sosial. Ini sama sekali tidak benar, memandangkan Hamzah Fansuri tidak bergelumang dengan ajaran Wujudiyyah semata-mata. Al-Marhum malah melawan dan merekodkan bantahan serta protesnya dalam tinggalan syair yang ada.
Sayang, banyak puisi Fansuri telah dilarang, diharam dan dibakar oleh Menteri Agama, iaitu Ar Raniri tatkala itu, yang bersekutu dan duduk bersimpuh tekan-menekan paha dengan sultan-sultan Acheh yang zalim. Jika karya-karya itu sempat diselamatkan, mungkin banyak lagi bait menentang dan memprotes yang akan dapat kita baca hari ini. Fansuri tentu menghina dan menista kaum agamawan palsu yang tidak akan menghidu syurga Jannatul Mawa.
Sesungguhnya Hamzah Fansuri telah memberikan kalian panduan dalam kehidupan sebagai seorang Islam. Jalannya ialah Ali. Bukan dengan memuja, taklid dan membontoti ulama feudal yang bangsat.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.