Usai kekalahan teruk Pakatan Harapan di PRK Tanjung Piai, satu persoalan yang kerap timbul adalah tentang desas-desus rombakan kabinet. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan bahawa kabinet akan dirombak demi memastikan kerajaan Pakatan Harapan kekal efisien dan lebih kukuh di mata rakyat.
Solidaritas melakukan pungutan suara dalam talian untuk mendapatkan maklum balas dari rakyat Malaysia tentang prestasi 28 orang menteri Pakatan Harapan. Pungutan suara selama 48 jam itu dimulakan pada hari Khamis, 21 November dan telah mendapat respon dari 16,710 responden.
Berikut adalah dapatan dari pungutan suara tersebut:
10 Menteri Dengan Undian Tertinggi Untuk Digugurkan
Dalam dapatan tersebut Menteri Perpaduan Nasional & Kesejahteraan Sosial, Waytha Moorthy mendapat undian tertinggi untuk digugurkan dengan 82.6% responden memilih beliau. M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia di tempat kedua dengan 69.4% undian diikuti oleh Mohamaddin Ketapi (Pelancongan, Seni dan Budaya) yang mendapat 53.9% undian.
Tujuh lagi menteri lain dengan undian tertinggi untuk digugurkan mendapat undi yang hampir sama. DAP mendahului senarai dari segi jumlah menteri dengan tiga pemimpinnya tersenarai, manakala dua pemimpin masing-masing dari PKR dan Amanah turut tersenarai. Bersatu dan Warisan masing-masing mempunyai seorang menteri dari parti tersebut dalam senarai. Waytha Moorthy pula dilantik sebagai menteri atas tiket senator dan selaku pemimpin NGO.
10 Menteri Dengan Undian Terendah Untuk Digugurkan
Dari sudut bertentangan pula, Dr. Dzulkefly Ahmad (Amanah) selaku Menteri Kesihatan mendapat undian terendah untuk digugurkan dengan hanya 12.9% undi. Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Dalam Negeri berada di tempat kedua dengan 16.3% undi diikuti rapat oleh Saifuddin Abdullah (PKR), Menteri Luar Negeri dengan 16.8% undi.
Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan yang dikhabarkan paling tidak popular oleh sebuah portal media bagaimanapun mendapat undian kelima terendah dengan hanya 22.4%. Bersatu dan PKR mempunyai paling ramai pemimpin tersenarai dalam kelompok ini, masing-masing tiga menteri diikuti dua menteri Warisan dan seorang dari DAP dan Amanah.
Lapan lagi menteri lain berada dalam kelompok pertengahan, dengan julat undi tertinggi dalam kelompok ini dipegang oleh Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (45%) manakalah undi terendah milik Baru Bian, Menteri Kerja Raya dengan 27.1% undi.
Dapatan ini walau bagaimanapun hanyalah satu pungutan suara mudah namun boleh dijadikan asas untuk menilai rombakan kabinet sebenar yang akan dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan nanti.