Sidang APEC 2023 sudah pun melabuhkan tirai dan Malaysia sebagai negara anggota telah hadir ke sidang tersebut walaupun di sebalik krisis antarabangsa yang berlaku di Palestin.
Kesempatan menghadiri sidang tersebut telah digunakan sebaik mungkin oleh pemimpin negara untuk meraih sebanyak mungkin pelaburan dari Amerika Syarikat.
Sebelum bermulanya Sidang APEC, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri terlebih dahulu mengetuai misi perdagangan dan pelaburan bersama MITI dan agensi seperti MIDA dan MATRADE.
Hasil dari misi perdagangan dan pelaburan tersebut, sejumlah RM8.33 bilion cadangan pelaburan berjaya diraih dari syarikat-syarikat yang berminat melabur di Malaysia.
Susulan misi tersebut yang dijalankan sebelum bermulanya Sidang APEC, sesi mesyuarat satu dengan satu pula dianjurkan ketika berlangsungnya sidang.
Mesyuarat tersebut diatur oleh MITI yang mempertemukan Perdana Menteri dengan gergasi teknologi Amerika Syarikat seperti Google, Enovix, Microsoft, Tiktok dan juga TPG.
Hasil mesyuarat satu dengan satu tersebut diterjemahkan dengan potensi cadangan pelaburan bernilai RM54.69 bilion yang pastinya dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara selain membuka peluang pekerjaan baharu.Secara keseluruhan, Malaysia meraih cadangan pelaburan berjumlah RM63.02 bilion dari Amerika Syarikat yang perlu direalisasikan dalam tempoh sewajarnya.
Penyertaan Malaysia dalam Sidang APEC selain dari meraih pelaburan adalah juga untuk memupuk integrasi dan kerjasama antara negara anggota khususnya dalam sektor ekonomi.
Penyertaan negara juga adalah perlu dalam memastikan kepentingan Malaysia di pentas antarabangsa sentiasa terpelihara.