RM250 Bilion Dan Makcik Kiah

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri khabarnya bernilai RM250 bilion.

RM250 bilion ini, kalau tulis ikut nombor adalah RM250,000,000,000.

Ya, bukan sikit dia punya kosong kat situ. Banyak!

RM250,000,000,000 ini kalau kita bahagi pula dengan jumlah populasi rakyat Malaysia, katakanlah 33,000,000 orang, tahu seorang boleh dapat berapa?

RM7,575.75 seorang.

Tapi, kenapa bila Perdana Menteri buat kira-kira Makcik Kiah sekeluarga hanya dapat RM8,664 sahaja?

Walhal kalau ikutkan, Makcik Kiah yang jual pisang goreng boleh dapat RM7,575.75, suami dia yang pencen dan memandu e-hailing boleh dapat RM7,575.75 dan anak dia yang pinjam PTPTN itu pun dapat RM7,575.75. Satu keluarga Makcik Kiah patutnya boleh dapat RM22,727.25!

Kenapa Perdana Menteri kira-kira tidak jadi sebegitu?

Kenapa?

Jawapan dia, RM250 bilion itu sebenarnya tidak ada. Yang kerajaan sebenarnya beri, dalam bentuk suntikan fiskal, in exact figures sebenarnya adalah RM25 bilion sahaja atau kalau tulis ikut nombor RM25,000,000,000.

Namun, itu masih membuatkan kita tidak boleh lari dari hakikat sebenar bahawa dengan apa yang berlaku semasa COVID-19 ini dan apa pula yang akan berlaku selepasnya (keruntuhan ekonomi), kerajaan hanya komited untuk beri cold hard cash pada jumlah RM25 bilion sahaja.

Ya, suntikan fiskal kita RM25 bilion sahaja. Ini duit yang betul-betul kerajaan beri untuk rakyat. Sebab itu namanya suntikan fiskal. Dalam ekonomi, suntikan fiskal membawa maksud duit yang ditambah ke dalam ekonomi dari sumber kerajaan.

Jadi yang baki lagi RM225 bilion itu wang apa pula?

Kalau tanya saya, ianya tidak wujud. Sebab itu Makcik Kiah tidak dapat banyak.

Kalau ikut kerajaan, antara sumber baki RM225 bilion itu tadi datangnya dari moratorium bayaran pinjaman bank sebanyak RM100 bilion, pengeluaran duit KWSP dari Akaun 2 sebanyak RM40 bilion, pengurangan kadar caruman KWSP pekerja dari 11% ke 7% sebanyak RM10 bilion dan sebagainya.

Salahkah apa yang kerajaan buat ini?

Tidak salah. Ini semua sebahagian dari pakej rangsangan ekonomi. Cumanya, rangsangan ini bukan dalam bentuk suntikan fiskal. Bukan duit dari kerajaan.

RM100 bilion yang datang dari moratorium pinjaman adalah duit kita sendiri. Duit yang ada dan boleh dibelanjakan setelah bank beri kita ‘cuti’ atau penangguhan selama 6 bulan untuk tidak bayar ansuran pinjaman. Tapi nanti, kena bayar jugalah.

RM10 bilion yang datang dari pengurangan caruman dari 11% ke 7%, pun duit kita juga. Kita ada duit lebih untuk dibelanjakan tapi kos dari ini ialah simpanan hari tua kita akan berkurangan.

Samalah juga dengan pengeluaran Akaun 2 KWSP yang kerajaan jangka akan mewujudkan aliran tunai berjumlah RM40 bilion di pasaran. Duit kita juga. Boleh belanja sekarang, tapi hari tua nanti simpanan kau berkuranganlah jawabnya.

Inilah dia rangsangan ekonomi yang kerajaan harapkan dapat membantu menggerakkan ekonomi negara semasa dan pasca COVID-19. Sebab itu kalau kau mungkin dah tahu tapi tidak nampak, moratorium pinjaman dan pengurangan kadar caruman KWSP dibuat secara automatik.

Kenapa automatik? Sebab kerajaan tahu kita rakyat ni malas nak isi borang, hantar emel, buat panggilan telefon atau turun naik bank dan pejabat KWSP.

Bila perkara ini dibuat secara automatik, majoriti akan ambil moratorium dan kurangkan kadar caruman. Yang tidak mahu moratorium 6 bulan dan mahu kekalkan caruman KWSP, kena bersusah sedikit. Dengan cara ini, kerajaan dapat pastikan duit rangsangan ekonomi sebanyak RM225 bilion dalam tangan mereka.

Salahkah kerajaan buat begini?

Macam saya tulis awal tadi, tidak salah pun. Aliran tunai itu penting untuk kita pastikan ekonomi negara kekal berdaya saing. Kalau rakyat tidak berbelanja, ekonomi tidak bergerak. Nak belanja, rakyat kena ada duit lebih.

Tapi seperti yang saya syarahkan dari awal tadi juga, dari RM250 bilion pakej rangsangan ekonomi, hanya RM25 bilion suntikan fiskal dan bakinya adalah duit kita sendiri.

Ya, sebab itu Makcik Kiah dapat sedikit. Malahan kita hari ini pun tahu, tolak moratorium, PTPTN dan kredit mikro, yang Makcik Kiah sebenarnya dapat hanya RM4200 dan itupun, kena bahagi tiga orang antara dirinya, suami dan anak.

Boleh ke Makcik Kiah nak hidup? Saya tak pasti, tapi jauh di sudut hati saya risau.

Jadi kesimpulannya, kalau betul ada RM250 bilion bahagi 33 juta, memanglah sedap. Lagi sedap kalau kita tolak T20 dari populasi 33 juta dan hulur pada M40 dan B40 sahaja. Mungkin seorang dapat RM9 ribu lebih.

Tapi macam saya hujahkan, RM250 bilion itu tidak wujud. Yang ada hanya RM25 bilion sahaja. Hanya 10% ini sahaja suntikan fiskal kerajaan untuk ekonomi negara.

Yang jadi masalahnya, ramai yang berfikiran pakej rangsangan ekonomi kita bernilai RM250 bilion itu sangat besar dan cukup untuk menangani masalah ekonomi semasa dan pasca COVID-19.

Ini yang saya risaukan kot-kot Makcik Kiah juga termakan janji sebegini.

Komen