Nilai ringgit yang kini mengukuh sehingga sekitar RM4.16 berbanding satu dolar AS bukan sekadar angka di skrin dagangan; ia adalah cerminan perubahan struktur yang sedang berlaku dalam ekonomi negara. Di sebalik peningkatan ini, terdapat satu perkara yang perlu kita akui secara jujur: pengukuhan ringgit adalah hasil keputusan-keputusan sukar yang telah dibuat oleh kerajaan, khususnya dalam penyasaran semula subsidi dan pengukuhan tatakelola fiskal.
Selama bertahun-tahun, Malaysia terlalu bergantung kepada subsidi pukal yang tinggi kosnya, tetapi rendah kecekapan. Beban subsidi yang besar menghakis ruang fiskal negara dan menambah tekanan kepada nilai mata wang. Namun kerajaan hari ini memilih laluan yang lebih berani — meminda sistem lama yang tidak mampan, dan melaksanakan subsidi bersasar agar hanya golongan yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat. Keputusan ini tidak popular, tetapi inilah keputusan yang diperlukan untuk memperbaiki asas ekonomi negara.
Hasilnya mula kelihatan. Dengan beban subsidi yang lebih terkawal, pelabur luar kembali memberi keyakinan. Pasaran melihat kerajaan yang serius, yang mengurus sumber negara dengan lebih teliti, dan yang mengutamakan kestabilan jangka panjang berbanding populisme jangka pendek. Di sinilah datangnya penghargaan pasaran, melalui pengukuhan ringgit. Seperti laporan Bernama, ringgit kini muncul antara mata wang berprestasi terbaik di rantau Asia — bukan kerana nasib baik, tetapi kerana disiplin fiskal dan konsistensi dasar.
Dalam masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan satu realiti politik yang agak melucukan. Ketika ringgit melemah dahulu, suara pembangkang lantang memekakkan telinga. Setiap sen kejatuhan ringgit dijadikan modal politik, seolah-olah jatuh bangunnya mata wang terletak pada kekuatan mereka bersuara. Namun kini, tatkala ringgit kembali mengukuh, suara-suara itu tiba-tiba lenyap. Tiada ucapan tahniah. Tiada pengiktirafan. Sunyi. Barangkali kerana kejayaan hari ini tidak menguntungkan naratif mereka.
Di sinilah kita harus kembali bertanya: adakah kritikan mereka dahulu berdasarkan analisis ekonomi yang jujur, atau sekadar retorik politik? Jika benar mereka mendambakan kestabilan, seharusnya pengukuhan ringgit disambut sebagai kejayaan negara — bukan disenyapkan demi menjaga sentimen politik.
Pengukuhan ringgit membawa kesan langsung kepada rakyat. Kos import menjadi lebih terkawal, memberi ruang kepada penurunan harga input industri dan mungkin mengurangkan tekanan kepada harga barang tertentu. Selain itu, dana awam yang dijimatkan daripada penyasaran subsidi boleh disalurkan kepada sektor yang lebih produktif seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan sosial. Ini adalah pembangunan yang menyentuh hidup rakyat secara nyata.
Ringgit yang kukuh adalah lebih daripada prestasi ekonomi; ia adalah simbol keyakinan terhadap pentadbiran negara. Ia menunjukkan bahawa Malaysia sedang melangkah keluar daripada tempoh ketidaktentuan, menuju ke arah urus tadbir yang lebih berdisiplin. Inilah masa untuk rakyat melihat gambaran besar: kejayaan seperti ini tidak datang dengan mudah. Ia lahir daripada keputusan berani, strategi konsisten dan reformasi yang sukar namun perlu.
Sekiranya pembangkang memilih untuk terus berdiam diri, biarlah. Apa yang penting, rakyat harus tahu bahawa pengukuhan ringgit adalah hasil kerja keras dan keberanian kerajaan hari ini. Malaysia tidak perlu menunggu pujian mereka untuk mara ke hadapan. Yang penting, kita terus bergerak dengan yakin — membina ekonomi yang lebih kukuh, tatakelola yang lebih bersih, dan masa depan yang lebih stabil untuk semua.
Ringgit mengukuh bukan kerana nasib. Ia mengukuh kerana kerja. Dan kerja itu sedang dijalankan dengan bersungguh-sungguh.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.









