Ketika seluruh negara tersentak dengan berita pemergian Siti Sarah Raissuddin pada hari Isnin lalu, ada seorang lagi insan yang gugur akibat Covid-19 dengan jalan cerita yang sama.
Allahyarham Izzati Najah Amran berusia 26 tahun apabila dijemput Tuhan pada hari Ahad, 8 Ogos 2021 jam 4 petang. Sehari sebelum itu, arwah telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.02 kilogram secara pembedahan pada pukul 5 pagi, Sabtu di Hospital Pulau Pinang. Bayi perempuan itu merupakan anak pertama arwah hasil perkahwinannya dengan suami sejak tahun lalu.
Kisah arwah ada dilaporkan di media massa walaupun ia tenggelam di sebalik berita pemergian Siti Sarah yang lebih mendapat perhatian ramai. Bukanlah niat untuk mempertikaikan liputan media, kita sendiri akui tumpuan pastinya lebih kepada individu yang dikenali ramai semasa hayatnya.
Namun, apa yang membuatkan kita sedikit terkilan ialah kisah di sebalik bagaimana Izzati Najah Amran dijangkiti Covid-19 hingga membawa maut dan menghalang impian arwah untuk membesarkan anaknya sendiri dan menafikan peluang untuk anaknya membesar dengan kasih sayang seorang ibu.
Beberapa ketika sebelum arwah dijemput Tuhan, Izzati Najah Amran ada menulis komen di Facebook tentang bagaimana “sebab jaga ekonomi kilang” arwah telah dijangkiti Covid-19 dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara bayinya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Kita semua sedar, salah satu isu yang menjadi keluhan rakyat dalam naiknya kes Covid-19 secara mendadak adalah keengganan atau kegagalan kerajaan menutup kilang-kilang dari beroperasi. Akibatnya, muncul kluster-kluster tempat kerja dan kes-kes dan kematian Covid-19 melibatkan kilang-kilang, antara yang paling teruk di sebuah kilang di Johor yang mencecah lebih 400 kes positif Covid-19 dan kematian berjumlah 15 orang.
Persoalan yang timbul, adakah kematian Izzati Najah Amran berpunca dari kilang? Adakah mungkin jika kerajaan tegas dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang benar-benar bersifat full lockdown maka insiden kematian seperti yang berlaku kepada arwah dapat dielakkan?
Kisah arwah sama dengan kisah allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Tetapi, ada perbezaan dalam bagaimana kerajaan memberikan reaksi antara dua insan yang gugur ini.
Keluarga arwah tidak menerima ucapan takziah khas dari Menteri Hal Ehwal A̶g̶a̶m̶a̶ Artis. Keluarga arwah tidak disantuni Menteri Wanita yang tampil memberi jaminan kementeriannya akan membantu anak arwah bukan sahaja dari segi kewangan bahkan moral. Keluarga arwah juga tidak dihubungi oleh Timbalan Perdana Menteri melalui panggilan telefon bertanya khabar dan diberi talian untuk berhubung terus jika memerlukan sebarang bantuan.
Ya, arwah dan keluarganya tidak mendapat semua keistimewaan itu. Kita tahu puluhan ribu yang lain juga tidak mendapat keistimewaan layanan sedemikian rupa. Tiada liputan meluas pihak media, tiada tular di media sosial oleh warganet dan tiada keghairahan menteri-menteri mengucap takziah dan menunjukkan betapa mereka mengambil berat atas apa yang berlaku.
Puluhan ribu rakyat Malaysia yang lain gugur menjadi sebahagian angka statistik kematian Covid-19 atas sebab yang tersendiri. Untuk arwah Izzati Najah Amran, puncanya adalah “sebab jaga ekonomi kilang”. Untuk yang lain kita mungkin tidak tahu apa punca atau sebabnya.
Yang kita tahu, perhatian ke atas mereka tidak sehebat perhatian oleh menteri-menteri kepada keluarga artis.
Tidak, penulisan ini bukan bersifat cemburu atau berniat membanding-banding. Saya tidak peduli jika ucapan takziah khas, jaminan bantuan menjaga anak atau panggilan telefon bertanya khabar datang dari insan biasa seperti ahli keluarga atau sahabat handai arwah.
Tapi apabila ianya datang dari pucuk pimpinan kerajaan, menteri-menteri yang diamanahkan menjaga rakyat saya tidak boleh tidak lari dari merasakan wujudnya sikap layanan dua darjat. Satu hal yang sebenarnya sudah cukup sinonim dengan era pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kenapa perhatian yang lebih untuk arwah artis dan keluarganya, tapi tidak sebegitu untuk arwah Izzati Najah Amran dan ribuan yang lain? Adakah kerajaan ikhlas menonjolkan mereka prihatin, atau sekadar gila glamer mahu menumpang populariti agar dilihat seperti mengambil berat?
Sedarilah, ribuan yang lain berlalu pergi hanya sebagai angka statistik kematian Covid-19. Tidak ada Menteri Hal Ehwal A̶g̶a̶m̶a̶ Artis, Menteri Wanita dan Timbalan Perdana Menteri tunjuk lagak konon mengambil berat kerana ribuan yang lain itu, bukan orang ternama.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.