BEBERAPA minggu yang lalu kami dijemput sebagai pemerhati ke sebuah program untuk menangani masalah keciciran murid di sekolah.
Sekolah ini adalah sebuah sekolah di tengah Lembah Klang dengan 77% majoriti keluarga muridnya terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah ataupun B40. Masalah sekolah ini adalah purata peratus kehadiran murid hanya mencecah 75% sahaja, terlalu jauh daripada KPI yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu pada paras 90%.
Ini bermakna sekitar 25% muridnya tidak hadir ke sekolah sejak awal penggal persekolahan dibuka pada Mac 2022 yang lalu.
Definisi Keciciran
Dalam konteks melihat keciciran pendidikan ini, dua terma yang selalu digunapakai oleh pihak sekolah adalah pertama i) ‘murid ponteng sekolah’; digunakan untuk melabel murid yang tidak hadir ke sekolah tanpa sebab tetapi berada di rumah dan dalam pengetahuan ibu bapa atau penjaga. Kedua adalah ii) ‘murid berisiko cicir’; digunakan untuk melabel murid yang berada di dalam sistem tetapi menunjukkan kebarangkalian yang tinggi untuk keluar daripada sistem pendidikan sebelum mereka tamat sekolah.
Hampir 10% daripada jumlah ‘murid berisiko cicir’ yang sudah lama tidak hadir ke sekolah ini malangnya adalah dari murid Tingkatan 5, dengan 8% darinya adalah murid Tingkatan 4 serta hampir 7% darinya adalah murid Tingkatan 3. Sementara hampir 70% daripadanya adalah murid lelaki.
Daripada perkongsian oleh pihak sekolah, daripada 4 sebab utama punca mengapa ‘murid berisiko cicir’ ini tidak hadir ke sekolah iaitu i) sikap diri, ii) bekerja, ii) masalah keluarga serta iv) masalah pengangkutan, punca ‘bekerja’ seperti menolong keluarga, menampung diri sendiri, mencari pengalaman serta bekerja untuk mendapatkan barangan seperti motorsikal ataupun telefon pintar adalah punca tertinggi yang menyebabkan anak-anak ini tidak lagi pergi ke sekolah.
Selain dari itu punca ‘sikap’ seperti ‘tidak mementingkan akademik’ juga antara punca yang tinggi menyebabkan ramai anak-anak ini tidak lagi berminat untuk bangun pagi ke sekolah sebaliknya lebih banyak meluangkan masa bermain gajet dan menumpukan perhatian mereka ke media sosial misalnya.
“It takes a village to raise a child”
Menariknya sekolah ini walaupun berdepan dengan kesukaran meningkatkan peratusan kehadiran murid ke sekolah, pihak pengurusan sekolah bersama-sama dengan kaunselor akhirnya menemui cara untuk menarik semula anak-anak ke sekolah.
Bayangkan dengan 25% purata ketidakhadiran ke sekolah setiap hari, ini bermakna kaunselor sekolah mahupun guru kelas berdepan dengan ratusan murid yang tidak hadir.
Ratusan murid ini bermakna ratusan nombor telefon untuk dihubungi dan ratusan alamat rumah untuk dijejaki. Kerja mencari dan menghubungi kesemua murid berisiko cicir ini bukan kerja guru sendirian. Menurut perkongsian pihak sekolah, setiap guru hanya mampu menjejaki satu atau dua buah rumah sahaja pada satu hari kerana kadangkala alamat yang dibekalkan kepada sekolah bukan alamat rumah terbaharu murid. Guru berdepan dengan beban kerja baharu untuk keluar dari sekolah dan masuk ke kampung-kampung dan membawa kereta mereka masuk ke lorong yang mereka tidak ketahui semata-mata kerana mahu menjejak rumah anak murid.
Pihak pengurusan sekolah akhirnya memilih untuk menghubungi pihak Polis dan Ketua Kampung dan memohon mereka untuk hadir ke sekolah untuk bersama-sama membincangkan isu yang kritikal ini. Akhirnya dengan kerjasama pihak Ketua Kampung, lebih ramai anak-anak dapat dihubungi kerana Ketua Kampung lebih arif dengan alamat di kampung-kampung mereka sendiri. Dalam masa yang sama proses untuk menghubungi murid dan bercakap dengan ibu bapa atau penjaga lebih mudah kerana kebanyakan ibu bapa lebih segan jika dihubungi oleh Ketua Kampung berkenaan dengan isu anak mereka tidak ke sekolah jika dibandingkan mereka dihubungi oleh pihak seklah sendiri.
Impaknya kepada sekolah, daripada 149 ‘murid berisiko cicir’ yang diperhatikan pada Jun 2022, jumlah ini menurun dengan drastik kepada hanya 63 ‘murid berisiko cicir’ pada Ogos 2022.
Realiti Di Sekolah
Dihujung taklimat program ini, kami dibahagikan kepada 3 kumpulan untuk pergi ke 3 rumah murid. Saya terpilih untuk mengikut Pengetua ke rumah pertama di mana seorang murid Tingkatan 5 dikatakan tidak hadir ke sekolah sejak sekolah mula dibuka pada awal Mac yang lalu.
Dua orang lagi teman saya dari Untuk Malaysia juga turut mengambil bahagian. Rumah kedua adalah rumah seorang murid Tingkatan 1 yang kini bekerja di sebuah kedai makan dengan gaji RM 500. Anak ini rupanya tidak pulang ke rumah sejak Jun yang lalu dan tidur di kedai makan. Bekerja untuk menyara diri dan membeli motor.
Rumah ketiga pula adalah rumah seorang murid Tingkatan 2 yang bekerja di sebuah kilang elektronik menggunakan kad pengenalan temannya yang lebih dewasa. Juga bekerja untuk mencari wang dan membeli motor.
Tetapi rumah yang saya pergi iaitu rumah pertama agak mengejutkan kerana terdapat sebuah kereta Mercedes dan sebuah kereta Porsche. Ternyata anak ini tidak ke sekolah bukan kerana masalah keluarga mahupun masalah kemiskinan.
Ketika kami sampai kedua ibu bapanya memaklumkan kepada kami sang anak masih tidur di dalam biliknya. Anak ini tidak hadir ke sekolah kerana di malam hari beliau sibuk bermain game bersama teman-temannya di hadapan rumah mereka sehingga pagi.
3 kali cubaan untuk mengejutkannya daripada tidur iaitu ayahnya, ibunya dan yang terakhir daripada datuknya juga gagal. Kami terpaksa redha dan mengambil peluang untuk berbicara dari hati ke hati dengan kedua ibu bapanya. Para guru menzahirkan kebimbangan kerana tempoh waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) makin dekat dan sangat rugi jika anak ini tidak hadir mengambil peperiksaan tersebut semata-mata kerana terlalu fokus bermain permainan video tanpa ada sebarang perancangan jelas tentang masa depannya.
Realitinya di sekolah, ramai anak-anak berhenti pergi ke sekolah kerana sibuk bekerja untuk membeli motor. Media sosial telah membentuk generasi yang ada untuk saling berlumba-lumba sesama mereka dan akibatnya harapan jangka masa pendek yang hadir hadapan mereka kebanyakannya pada hari ini adalah – motorsikal.
Harapan Yang Memusnahkan
Dengan memiliki motorsikal mereka boleh menjadi pekerja gig-ekonomi dan menjadi penghantar makanan seperti Food Panda ataupun Grab Food. Dalam pandangan mereka yang sempit akibat kemiskinan dan masalah keluarga di rumah, motorsikal boleh menyelesaikan isu pendapatan. Akademik ataupun pelajaran di sekolah sama sekali tidak lagi menjadi agenda penting dalam pemikiran mereka dan keluarga.
Dalam masa yang sama, pemikiran bahawa akademik dan pelajaran tidak lagi penting ini juga melarat dikalangan anak-anak muda tanpa mengira sosio-ekonomi keluarga sama ada keluarga kaya mahupun miskin.
Anak muda Generasi Tik-Tok hari ini hidup dengan memiliki pandangan bahawa kehidupan mereka hanya cukup dengan sekadar memiliki sebuah motor Ysuku. Ysuku menurut mereka adalah harapan, bahawa hidup boleh diteruskan tanpa perlu hadir ke sekolah dan belajar subjek-subjek yang tidak mereka minati itu.
Buat apa memiliki sijil SPM ataupun meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi jika nanti semua Sijil, Diploma mahupun Ijazah yang mereka miliki itu tidak mampu menyara kehidupan mereka? Sedangkan menjadi penghantar makanan sahaja sudah membolehkan mereka memiliki gaji mereka perlukan?
Harapan yang memusnahkan ini adalah hasil daripada ketidakupayaan kita semua berbicara dan berkomunikasi dengan Generasi Tik-Tok ini. Tidak ada orang yang berupaya untuk meyakinkan kepada mereka bahawa pelajaran dan sekolah itu penting untuk masa depan mereka. Mereka tidak lagi mendengar kata para guru. Mereka bahkan tidak lagi mendengar nasihat ibu bapa.
Mungkin pada hari ini yang kita perlukan sebenarnya adalah seorang Haqiem Stopa, orang yang mampu berbicara menggunakan bahasa mereka, bahasa Tik-Tok Live dan bahasa media sosial.
Kerana jika kita tidak bersungguh menangani isu keciciran di sekolah pasca pandemik hari ini, negara akan berdepan dengan krisis produktiviti yang kritikal dalam jangka masa 10 ke 20 tahun ke hadapan. Cuba saudara-saudari singgah ke sekolah yang terdekat dan bertanya tentang isu keciciran, saudara-saudari akan melihat betapa besarnya krisis tersebut pada hari ini.