Rasuah merupakan antara barah dalam sesebuah organisasi ataupun negara yang telah lama bertapak. Rasuah tidak sepatutnya diberi tumpuan untuk huraian lagi. Apatah lagi dalam iklan yang baru-baru ini ditayangkan di televisyen, seorang budak perempuan yang masih bersekolah rendah sudah tahu apa itu rasuah serta boleh menegur si ayah untuk tidak turut terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral ini.
Syed Hussein Al-Attas telah menulis dengan begitu jelas dan panjang di dalam bukunya. Syed Hussein tidak menulis sebuah, bahkan sebanyak tiga buku berkenaan dengan rasuah serta kesannya yang mampu menjatuhkan sesebuah negara. Sebagai seorang ilmuan dalam bidang sosiologi, penulisan beliau mengenai rasuah ini menunjukkan kepada kita bahawa rasuah atau apa juga namanya yang begitu pelbagai itu, perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.
Tidak dapat dinafikan rasuah pada hari ini sudah menjadi satu amalan yang dilihat biasa. Syed Hussein di dalam bukunya Kita dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah, menulis tentang bagaimana rasuah kini dilihat sebagai sebuah amalan biasa oleh ahli politik. Tambahan beliau lagi, orang Islam di Malaysia lebih risau, takut dan mengeji mereka (orang Islam) yang memakan babi atau arak lebih dari mereka yang mengambil rasuah di dalam pekerjaan mereka.
Kita tidak dapat menutup kerisauan kita apabila melihat bagaimana seorang ahli politik yang telah dibuktikan bersalah dalam melakukan jenayah rasuah ini, masih lagi dilihat sebagai seorang wira yang disanjung untuk pekerjaan yang memang perlu dilakukan olehnya. Jenayah rasuah ini membarah dalam negara kita sebegitu besar dan hebat sehinggakan para ilmuan yang memperjuangkan tentang bahayanya rasuah tidak diambil peduli langsung, malah kebanyakan masyarakat masih lagi menyanjung tinggi pelaku rasuah ini.
Rasuah merupakan masalah sikap. Sikap kebanyakan rakyat dalam negara yang sudah terbiasa dengan perkara yang terbukti bermasalah namun tetap tidak melihat perkara tersebut dengan serius. Kebiasaan yang menjadi ikut-ikutan sehingga telah menjadi normalisasi akan menolak etika lalu menerima kebiasaan tersebut. Maka dari situ, normalisasi ini tidak membawa kepada kebaikan malah akan membawa manusia menuju collective mindmasses yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh pihak autoriti.
Behaviorisma cuba untuk menyangkal psikoanalisis suatu masa dulu. Kajian tentang tingkah laku manusia yang cuba untuk mengenal manusia dari sudut jiwa manusia oleh Freud, Bapa Psikologi Moden suatu masa dulu mengalami jalan buntu apabila Freud cuba untuk mengambil jalan berkecuali dengan agama. Freud juga tidak mahu berdamai dengan falsafah dalam percubaannya untuk menjadikan kajiannya terhadap tingkah laku manusia ini tetap saintifik. Oleh kerana itu, psikologi moden yang diimani oleh Freud hilang tentang kajian konsep jiwa manusia yang sepatutnya menjadi akar tunjang dalam memahami tingkah laku.
Mazhab behaviorisma masih berputar di dalam idea yang sama. Behaviorisma cuba untuk mengkaji tingkah laku manusia dengan idea mereka sendiri kerana tidak bersetuju dengan teori separa sedar, dan juga idea keinginan-keinginan yang ditekan sebagai tunjang utama manusia bertingkah laku di dalam dunia. Behaviorisma, dengan kejayaan mereka terhadap kajian eksperimen telah mewujudkan teori tingkah laku manusia yang menyatakan manusia ini hanya bertindak balas dengan alam persekitaran. Idea yang turut jauh dari perkaitan agama dan falsafah ini sekali lagi mengikut acuan sama Freud namun berbeza dari sudut bagaimana behaviorisma ini melihat manusia itu pasif dan segala tingkah laku manusia merupakan sebuah tindakbalas terhadap persekitaran. Behaviorisma dikritik rapat, bahkan kajian mereka pada waktu itu dilihat mampu merejuvenasikan sains tingkah laku sehingga mendapat hadiah Nobel, namun ia kekurangan dalam memahami manusia itu dari sudut jiwa serta akal yang membezakan kita dengan makhluk lain.
Idea behaviorisma dikritik rapat oleh Carl Rogers yang akhirnya menubuhkan ideanya sendiri bersama Abraham Maslow iaitu psikologi humanistik. Tunjang asas behaviorisma yang mengatakan manusia itu bersikap hanya sebagai tindakbalas terhadap persekitaran menolak fungsi otak dan minda manusia. Profesor Malik Badri di dalam buku The Dilemma of Muslim Psychologist pula mengkritik hebat behaviorisma sebagai sebuah ideologi yang hanya nyata menolak kebaikan dan keburukan, nyata tingkah laku manusia ini hanya dinilai dari sudut normalisasi sesebuah masyarakat sahaja.
Normalisasi tiada etika. Ianya bergerak seiring dengan pemikiran sesebuah masyarakat. Ia senada, sesekali juga dicabar oleh minoriti yang cuba bergerak menyangkal minda kelompok. Kekuatan normalisasi ini bergantung kepada tahap pendidikan dan juga olahan politik dan ekonomi sesebuah negara.
Rasuah telah bergerak senada dengan normalisasi. Ketakutan kita kepada korupsi ini sebagai barah yang bergerak perlahan namun kesannya jelas ternyata masih lagi sukar untuk membangunkan minda masyarakat yang kolektif, yang sukar untuk melihat keburukan rasuah ini melepasi bayangan minda ethico-religo.
Korupsi pada zaman kini dapat kita lihat dari serendah-rendah urusan pengurusan pembersihan hinggalah setinggi-tinggi urusan pentadbiran. Normalisasi yang berakar umbi dari behaviorisma ini menyangkal etika manusia, apatah lagi turut menolak fungsi agama khususnya agama Islam dalam menerapkan keadilan sosial terhadap masyarakat. Korupsi, tidak hanya dilihat biasa, namun terdapat juga cubaan untuk membenarkan tujuan penggunaan rasuah tersebut sebagai keperluan masyarakat. Namun yang sebetulnya, rasuah tidak pernah menguntungkan semua pihak. Jika ada yang untung, maka ada pihak yang akan rugi.
Profesor Malik Badri menyangkal behaviorisma dari sudut nihil etika. Behaviorisma yang dipopularkan oleh Skinner, meletakkan asas tingkah laku manusia sebagai mengikut situasi atau persekitaran. Jika persekitaran tersebut mengamalkan perbuatan yang buruk, maka manusia akan terdorong untuk melakukan perbuatan tersebut tanpa ada penilaian etika dalam diri mereka, iaitu fungsi otak dan minda manusia itu sendiri.
Normalisasi, atau bahasa mudah sekarang ini seperti mengikut trend, viral dan istilah seperti FOMO (Fear of Missing Out) berkait rapat dengan percubaan mengolah masyarakat ke arah collective mindmasses ataupun minda kolektif. Kegelisahan masyarakat untuk turut serta mengikut apa yang dilihat sedang laris di media sosial tanpa mengira baik atau buruk, memenuhi etika atau tidak telah dikritik rapat oleh Carl Jung yang menyatakan minda kolektif ini mudah untuk dikawal oleh pihak autoriti. Pemikiran yang sama, sekata dan senada oleh masyarakat akan menguntungkan pihak autoriti tanpa perlu risau tentangan dari pihak minoriti.
Normalisasi kepada perkara yang tidak beretika seperti rasuah merisaukan kita semua. Normalisasi yang bertunjangkan idea behaviorisma ini membenarkan apa yang dikritik oleh Profesor Malik Badri suatu ketika dahulu.
Korupsi mudah membiak, tambahan lagi dalam masyarakat yang tidak mengambil peduli akan hal-hal keadilan sosial.
Rasuah perlu ditentang secara umum, dan perlu sering diulang-ulang seperti para penceramah kita yang sering mengulang tentang pentingnya waqaf, sedekah sambil menghulur tabung derma. Rasuah perlu ditolak habis-habisan supaya ia tidak jadi ikut-ikutan wahana normalisasi bayangan baru behaviorisma.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Mohd Rashidi Radzali dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.