Ras, Rasis Dan Rasisme

Dari mana datangnya rasa prejudis ini? Dari mana datangnya terma yang memberi makna terhadap stigma, diskriminasi dan stereotaip terhadap bangsa lain ini? Adakah menjadi rasis itu normal?

Rasisme berkembang dari terma bagi membezakan manusia secara biologi seperti warna kulit dan keadaan fizikal. Seperti mana kita sering melihat saiz tubuh orang Asia lebih kecil berbanding manusia di Afrika, Eropah dan bahagian benua lain. Itu kata dasar bagi rasis, penjelasan sudut sains bagi mengelaskan ras manusia.

Penambahan kata ‘is’ bagi ras yang menjadikannya satu perkataan ‘rasis’ adalah bagi menggambarkan perlakuan membezakan, mengasingkan manusia bergantung kepada konteks makna perkataan tersebut.

Penggabungan ‘isme’ pula adalah bagi menggambarkan gagasan fahaman berakar dari perlakuan mengasingkan manusia tadi dari pembentukan fizikal dan budaya secara mutlak. Rasisme.

Adakah rasisme ini satu corak pemikiran yang sedia ada dalam diri kita? Apa benar susur galur ketamadunan seluruh dunia didirikan bersandar pada idea rasisme?

Dalam buku Are We Born Rascist? New Insight From Neuroscience and Positive Psychology karya sekumpulan penyelidik terdiri dari Jason Marsh, Rodolfo Mendoza-Denton dan Jeremy Adam Smith; mereka membahaskan usul rasisme dalam individu dan rantaiannya terhadap masyarakat.

Antara petikan perbincangan;

Manusia mempunyai kelaziman semulajadi untuk membuat perbezaan antara “kita” dan “mereka.” Unsur lahiriah ini mempunyai nilai bagi kelangsungan hidup. Anda ingin tahu siapa yang boleh dipercayai bagi berkongsi sumber, dan siapa musuh anda. Sejak dari awal usia, kita menunjukkan kecenderungan semula jadi kita sebagai makhluk sosial untuk memberi perhatian kepada isyarat yang diberikan oleh penjaga kita. Dan kita mempunyai pengesan corak yang sangat sensitif terhadap manusia lain. Katakan sebagai seorang anak anda mempunyai pengalaman menakutkan dengan Santa Claus. Ini mungkin membuat anda merasa tidak selesa dengan sesiapa yang mempunyai janggut putih kemudian dalam hidup. John Watson menunjukkan fenomena ini dengan subjek ujian terkenalnya “Little Albert” pada awal tahun 1900-an.

Aku melihat baris ayat di atas sebagai rujukan terhadap sifat manusia secara primitif, dengan mengambil latar hukum rimba dan lanskap susur evolusi manusia. Cuma ada beberapa persoalan bagi menimbang semula kerelevenan bait ayat kajian tersebut dengan situasi pada masa kini.

  1. Baris kedua perenggan di atas, bagaimana kita mendefinisikan musuh pada usia muda? Siapa yang kita anggap musuh dan bagaimana proses permusuhan itu berlaku, dan siapa yang mempengaruhi kita untuk menganggap satu entiti sebagai musuh?
  2. Adakah rasa takut, atau pengalaman buruk bersama kumpulan tertentu adalah permulaan awal bagi rasa sangsi dan curiga terhadap kelompok lain yang berkongsi ciri yang sama dengan kumpulan tadi?
  3. Adakah ini bermaksud menjadi rasis itu normal sebagai manusia?

Yang pastinya, rasisme adalah perkembangan dari akar rasis yang membawa bencana berbanding kebaikan, kerna perkembangan istilah ini sendiri membawa makna tujuan bagi perpecahan pada skala masyarakat.

Rasisnya kita pada hari ini bukan kerana beza warna kulit, tapi kerana merasa jijik dengan mereka yang tidak berkhatan.

Rasisnya kita hari ini bukan kerana beza budaya, tapi sering merasa tertipu dengan mereka yang bijak ambil kesempatan atas kebodohan kita sendiri.

Rasisnya kita hari ini bukan kerana beza agama, tapi kerana merasa kepercayaan mereka mengarut dan cuma layak dibakul sampahkan.

Tulisan Hishamuddin Rais dalam menyentuh perihal rasisme baru-baru ini mengambil pendekatan dari sudut ekonomi, imperialisme dan kapitalisme. Memandang manusia secara ‘bogel’ ini mudah, kerana secara prinsipnya manusia adalah sama. Malang sekali, pembentukan sistem dan alas kuasa adalah punca yang membentuk segala perpecahan kononnya demi mencapai tahap kemajuan dan pembangunan manusia. Niccolo Machiavelli seringkali melihat peluang di atas perbezaan inilah yang diambil oleh politikus bagi meraih perhatian dan dokongan.

Bagaimana dengan olahan dari tokoh ilmuan Ibn Khaldun yang menyifatkan semangat Assobiyyah sebagai tunjang kepada perkembangan dan kekuatan masyarakat? Adakah ini bermakna kita harus menjadi rasis untuk memartabatkan satu kaum?

Tidak. Boleh rujuk semula Kitab Muqaddimah (terjemahan) bagi memahami semula apa pendekatan Assobiyyah yang dimaksudkan Ibn Khaldun. Ibn Khaldun menjelaskan semangat Assobiyyah sebagai kesepaduan moral dan nilai agama bagi membina keutuhan masyarakat secara bersama. Bukan dengan menafikan hak kumpulan yang berbeza budaya, agama dan warna kulitnya.

Perbezaan warna kulit, latar agama dan budaya adalah satu bentuk hikmah dari Tuhan tentang bagaimana kita boleh saling membentuk kefahaman dan perpaduan secara bersama. Kerana hakikat penciptaan manusia adalah untuk diuji dan diduga. Bagaimana mungkin kasih sayang diukur berdasarkan bangsa?

Rasis adalah sebahagian dari kita. Tapi menjadi rasis adalah satu pilihan.

Komen