Rahmah Untuk Siapa?

MUNGKIN, dalam banyak-banyak inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan sejak memegang kuasa, insiatif Menu Rahmah adalah yang paling popular dan mendapat sambutan ramai.

Mungkin kerana ia menepati kehendak sebahagian besar rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan perlukan satu pilihan menu yang mampu dijamah. Mungkin juga kerana makanan dekat di hati rakyat Malaysia dan apa sahaja berkaitan makanan pastinya akan menjadi topik perbualan.

Menu Rahmah adalah inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Ia adalah salah satu dari lima program di bawah inisiatif Payung Rahmah. Program lain di bawah Payung Rahmah adalah Jualan Rahmah, Bakul Rahmah, Pakej Rahmah dan Kafe Rahmah.

Tetapi di antara lima program ini, Menu Rahmah adalah yang paling ‘meletup’ serta kini tersebar luas di seluruh Malaysia. Ia agak luar biasa memandangkan Menu Rahmah adalah bersifat private driven initiative atau digerakkan sendiri oleh pihak swasta atau peniaga dan penyertaannya juga secara sukarela.

Konsep Menu Rahmah adalah mudah, ia melibatkan sebarang hidangan makan tengah hari atau makan malam yang seimbang nutrisinya, lengkap karbohidrat, sumber protein juga sayuran dan disertakan dengan minuman air kosong atau air berperisa lain. Harga untuk set Menu Rahmad adalah tidak melebihi RM5.

Sejak diperkenalkan, Menu Rahmah mendapat sambutan dari lebih 15,000 restoran atau kedai makan di seluruh negara yang turut serta. Maklum balas dari peniaga menunjukkan sambutan positif dari pengguna yang memang mencari Menu Rahmah bagi mengalas perut pada harga mampu milik.

Tetapi pelaksanaan Menu Rahmah juga tidak terlepas dari kritikan dan komen sinis sesetengah pihak.

Seperti yang berlaku di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini apabila ahli parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali mendakwa bahawa Menu Rahmah dikhuatiri menawarkan makanan tidak berkualiti kepada golongan miskin tegar dan B40. Beliau seterusnya menyatakan rasa bimbang jika makanan tidak berkualiti ini nanti boleh menjerumus kepada pemakannya terkena kanser atau autisme.

Kritikan Terhadap Menu Rahmah

Dakwaan tidak berasas Dr. Halimah sebenarnya lebih bersifat politik. Ia dibuat sebagai usaha untuk meremehkan usaha pihak kerajaan dalam menawarkan solusi kos sara hidup tinggi. Sebagai seorang ahli parlimen pembangkan, mungkin itulah tugas seorang seperti Dr. Halimah walaupun terpaksa membuat dakwaan tidak berasas biarpun dirinya sendiri seorang yang berpangkat doktor perubatan.

Menu Rahmah juga pernah menjadi pertikaian beberapa peniaga makanan lain yang melihat ianya sebagai satu persaingan yang menjejaskan perniagaan mereka. Para peniaga ini mendakwa harga RM5 yang ditetapkan adalah terlalu rendah dan tidak boleh menampung kos bahan mentah mereka. Kebanyakan peniaga ini adalah peniaga kecil, yang tidak mempunyai economies of scale untuk bersaing dengan syarikat besar seperti Mydin atau Burger King.

Di kalangan pengguna pula, ada juga yang pernah mengadu bahawa harga Menu Rahmah masih terlalu mahal. Satu tangkap layar media sosial yang tular adalah tentang seorang individu yang mendakwa bahawa jika keluarganya seramai lapan orang makan di luar dan memilih Menu Rahmah, maka harga yang perlu dibayar ialah sebanyak RM40 untuk sekeluarga. Jika makan tengah hari dan makan malam, jumlah keseluruhan adalah RM80 sehari.

Rahmah Untuk Siapa?

Namun apa yang penting untuk difahami ialah, rahmah yang ada pada Menu Rahmah sebenarnya untuk siapa?

Mengikut KPDN, Menu Rahmah adalah quick win dalam membantu golongan sasar iaitu B40 dan miskin tegar. Ia bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup dengan dua strategi utama iaitu ‘membantu’ dan ‘mendaya upaya’.

Tetapi secara praktisnya, Menu Rahmah dilihat memenuhi keperluan rakyat di kota yang bekerja di kawasan yang sukar untuk memperolehi makanan pada harga yang murah. Contohnya pekerja bergaji rendah di tengah bandar, khususnya jurujual di dalam gedung beli belah yang mahukan makanan mampu beli dan bukannya makanan di restoran-restoran dalam mall yang agak mahal.

Menu Rahmah juga memenuhi keperluan mahasiswa di universiti dan kolej, yang perlukan akses pada makanan seimbang nutrisi pada harga yang berpatutan. Dengan harga tetap RM5, ia memudahkan mahasiswa mengurus perbelanjaan secara berhemah.

Apa yang perlu kita fahami ialah Menu Rahmah pastinya bukan solusi jangka panjang dalam menangani kos sara hidup. Tetapi ia menawarkan jalan keluar mudah ketika kesempitan dan perbelanjaan perlu dicermati. Apatah lagi untuk pekerja makan gaji di pertengahan bulan yang perlu mengawal belanja makan untuk 10 hari lagi sebelum gaji dengan hanya sekitar RM50 sahaja boleh diperuntukkan untuk makan dan minum di luar.

Justeru, kita perlu sambut baik program seperti Menu Rahmah. Bukannya difitnah boleh membawa kanser, atau diberikan alasan bukan-bukan kononnya terlalu mahal untuk satu keluarga besar makan dua kali sehari setiap hari.

 

Komen