Pemerintahan Kesultanan berkuasa mutlak dengan pelukan sistem feudalisme di Tanah Melayu telah digoncang dan digugat hebat oleh kuasa penjajah Inggeris di Tanah Melayu yang mula betapak pada akhir abad ke-18. Pertapakan ini semakin dikukuhkan lagi pada pertengahan abad ke-19 dengan adanya campur tangan penjajah Inggeris yang telah menghilangkan kemutlakan titah seorang Sultan dalam sesebuah Kerajaan.
Transisi telah berlaku dari segi politik, ekonomi dan sosial masyarakat di Tanah Melayu. Lalu, feudalisme secara bentuk institusi dan praktiknya yang berasaskan kemutlakan kuasa Sultan telah terkikis sikit demi sedikit. Sistem feudal telah diruntuhkan oleh sistem politik, ekonomi dan sosial yang moden dibawa oleh Inggeris dari Barat. Namun, ada sesuatu yang tertinggal dan masih teguh berdiri di dalam diri masyarakat Melayu di Nusantara khususnya, iaitu psikologi feudal.
Seperti yang telah dijelaskan oleh Syed Hussein Alatas (1968) dalam sebuah makalah beliau,
“Without going into further details, suffice it to say that the institutional and judicial system of feudalism in Malaysia had gradually disappeared over since the beginning of modernization during the latter part of the 19th century. Despite however, the psychological traits remain.”
Psikologi feudal inilah yang masih hidup di lingkungan masyarakat di Nusantara ini. Selain psikologi feudal, ia turut dikonsepkan sebagai Neo-Feudalisme yang telah mendapat banyak kritikan serta sanggahan daripada para intelektual oleh kerana sifat yang dipencarkan olehnya kepada masyarakat merupakan sifat yang menyekat kepada kemajuan dan pembangunan. Antara tokoh yang banyak melaungkan sanggahan terhadap sifat feudalisme yang masih menghuni diri masyarakat ini adalah seperti Usman Awang, Za’ba, Abdullah Munsyi dan lain-lain lagi.
Jika dahulu, psikologi feudal ini bermain di lingkaran kekuasaan mutlak yang mempunyai jalur keturunan yang disadur oleh mitos. Hari ini psikologi feudal itu telah berlangsung dengan mengambil kira muasal seseorang yang disadur oleh unsur yang dianggap sebagai ‘agama’. Orang yang dikatakan ‘beragama’ akan diberikan penghormatan yang luar biasa hebatnya. Hal ini dilakukan sehingga ke tahap seseorang itu seolah-olah tidak mempunyai kesilapan atau maksum adanya.
Inilah ketaatan dan ketaksuban yang telah berakar dalam fikiran umat manusia di Alam Nusantara yang masih memeluk erat memori feudalisme mereka. Masyarakat mudah melakukan penilaian atau mengangkat sosok yang dilihat ‘beragama’ sebagai tokoh hebat dan terhormat hanya dengan mendengar sama ada sosok tersebut ada mengutip ayat al-Quran dan hadis untuk menghiasi bicaranya. Lebih parah, ‘beragama’ itu telah mereka konsepkan dengan pakaian yang dikatakan pakaian ‘beragama’ seperti berjubah, berserban dan memegang tasbih ke hulu dan ke hilir.
Kecetekan ini telah menyebabkan mereka mengangkat seseorang sosok kepada tingkat yang tinggi dan dihormati dengan terlalu mudah. Akibat daripada sistem kehidupan kita yang tidak gemar mengangkat rasionalisme dan budaya penghujahan, maka hal ini semakin teguh berada di lingkungan sosial kita. Kerana itu, tidak hairan apabila kita melihat adanya kelompok yang bermati-matian mempertahankan ‘Tok Guru’, ‘Ustaz’, atau ‘Ulama’ mereka walaupun sosok tersebut melakukan kesilapan.
Ini kerana sifat ketaksuban dan ketaatan yang dipencarkan oleh memori feudalisme yang lepas masih lagi segar di fikiran manusia Nusantara ini. Pengukuhan elemen psikologi feudal ini dilakukan dengan menolak tradisi ilmu yang progresif dan tradisi ilmu yang mengangkat nilai kemanusiaan. Tradisionalisme Agama diangkat bagi memastikan suatu bentuk ‘agama’ yang lunak terhadap feudalisme dibentuk dan dicorakkan ke dalam fikiran segala anak-anak cucu yang telah digerunkan dengan tradisi keilmuan yang progresif.
Oleh itu, sebagai manusia yang sedar dan tercerah, adalah penting untuk menyingkirkan sikap dan sifat yang telah dibumbui oleh nilai feudalisme yang menyekat kemajuan. Penolakan terhadap elemen ini juga bermaksud kita mengangkat kemanusiaan dan kebenaran. Mengisi fikiran dan jasad dengan sifat psikologi feudal yang menyekat kepada pembangunan manusia ini telah menjadikan kita sebagai jasad yang telah menggerakkan usaha dehumanisasi yang bertujuan jahat.
Menyanggah dan menjauhi psikologi feudal yang membawa kita kepada ketaksuban dan ketaatan melulu merupakan tuntutan yang perlu kita penuhi. Ini merupakan suatu usaha pembebasan manusia daripada terus disesatkan oleh para ‘Tok Guru’, ‘Ustaz’ dan ‘Ulama’ yang menyebabkan kita kehilangan nilai kemanusiaan dan menyebabkan kita melencong daripada kebenaran yang manusiawi. Inilah tuntutan yang perlu untuk kita penuhi.
(Artikel ini adalah tulisan saudara Izzat Dahelan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.