JUALAN tiket konsert Dewa 19 licin dalam masa satu jam. Dek kerana sambutan luar biasa itu, konsert malam kedua diadakan dan itu pun, jualan tiketnya habis licin sekelip mata.
Julat harga tiket konsert Dewa 19 bermula dari RM148 (early birds) untuk tiket baris paling belakang, dan memuncak sehingga RM488 (full price) bagi barisan paling lumayan.
Bagaimana tiket dengan harga ratusan ringgit boleh habis dijual dalam tempoh sejam sebanyak dua kali telah mengundang komentar dari beberapa tokoh. Seorang yang bergelar profesor dan seorang lagi yang bergelar pendakwah pantas mempersoal bagaimana tiket berharga ratusan ringgit habis terjual ketika harga barang dikatakan naik dan rakyat merungut kos sara hidup kini di luar kemampuan mereka.
Profesor Dr Teo Kok Seong dari Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia mengulas jualan laku keras tiket konsert Dewa 19 dengan berkata;
“Dalam keadaan gawat ini, sewajarnya kita sebagai rakyat perlu berhemah dalam perbelanjaan, mengatur keutamaan untuk keperluan asas diri, sekali gus kita dapat mendidik diri sentiasa bersederhana ketika keadaan memerlukan. Apabila kita bersederhana, kita bersyukur dengan keadaan yang berlaku. Kita tidak menjadi generasi melenting, protes tetapi tenang ketika berdepan dengan apapun situasi. Kalau tidak ada keutamaan dalam hidup, maka inilah yang berlaku. Tidak salah kalau masih mahu hiburan jika anda ada limpahan wang, hidup senang. Tetapi jika kita bukan dari kelompok ini (senang) tetapi sanggup mengeluarkan wang untuk berkonsert, jangan lagi merungut tentang kenaikan harga barang; usah bising kerana tidak ada duit dan jangan tunding jari ke mana-mana pihak.”
Turut menyertai Profesor Dr Teo Kok Seong adalah pemimpin PAS, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang memuat naik status Facebook dengan menulis;
Mengapa tiket sold out? sebab ter uja kan? gemerlapan dunia.. Masjid tak perlu tiket pun!! majlis ilmu dan tazkirah.. itu jalan syurga, tak perlu bayar pun tapi mengapa kita tak ter uja? sebab akhirat tu jauh? kita dan akhirat senipis kulit bawang je!!!.. bersiaplah
Falasi Pukul Rata
Falasi pukul rata adalah istilah bahasa Melayu yang boleh kita gunakan bagi menyamai istilah Inggeris, straw man fallacy. Jika dalam straw man fallacy ia membawa maksud menggunakan hujah yang tidak berkaitan untuk membangkang hujah yang lain, maka falasi pukul rata pula adalah menggunakan hujah yang lain untuk menafikan lain yang tidak berkaitan.
Profesor Dr Teo Kok Seng dalam mengulas jualan laku keras tiket konsert Dewa 19 melihatnya dari sudut ekonomi. Pada beliau, sambutan luar biasa untuk tiket konsert yang berharga ratusan ringgit adalah hujah yang boleh digunakan untuk menafikan hujah lain yang mengatakan rakyat sedang terkekan dengan kenaikan kos sara hidup.
Tetapi, adakah logik untuk menggunakan sampel yang melibatkan beberapa ribu pembeli tiket konsert untuk menidakkan realiti yang dihadapi oleh jutaan rakyat Malaysia yang berdepan krisis ekonomi? Sedangkan sebagai seorang profesor beliau sendiri patut sedar bahawa krisis ekonomi yang berlaku sekarang kesannya lebih besar ke atas kelompok B40 dan sebahagian M40, manakala untuk golongan T20 ianya tidaklah begitu memberi kesan.
Kita tidak pasti ribuan pembeli tiket konsert itu datang dari demografik ekonomi yang bagaimana. Tetapi pastilah mereka yang mengeluarkan ratusan ringgit itu berbuat demikian selepas menghitung kedudukan kewangan masing-masing. Kalau mampu, apa salahnya?
Jika kita menunggang falasi pukul rata, maka kita juga akan melihat pada data jualan kenderaan yang naik atau hotel-hotel yang habis ditempah setiap hujung minggu sebagai hujah mengatakan rakyat tidak berdepan krisis ekonomi. Sedangkan jika kita bersikap lebih objektif kita akan melihat di kawasan perumahan rakyat termiskin, kawasan luar bandar atau di kalangan mereka yang bergaji rendah kelompok ini sedang mengikat perut kerana tidak mampu membeli barangan keperluan akibat kenaikan harga yang mendadak.
Begitu juga dengan Ustaz Ahmad Dusuki yang menunggang falasi pukul rata tadi dari sudut agama. Perbandingan beliau bahawa majlis ilmu di masjid tidak mendapat sambutan walaupun percuma berbanding konsert dengan tiket ratusan ringgit adalah meleret. Majlis ilmu diadakan setiap hari di merata masjid, tetapi konsert melibatkan Dewa 19 bukanlah sesuatu yang berlaku setiap hari. Dan kita juga belum pasti sama ada mereka yang membeli tiket konsert, mungkin sebenarnya adalah individu yang sama turun naik masjid setiap hari tanpa lelah.
Gelaran profesor dan ustaz adalah gelaran terhormat yang sepatutnya dibawa dengan sikap yang mendatangkan hormat dari masyarakat umum. Untuk mengeluarkan hujah dangkal dengan pukul rata sebegini hanya mencemarkan gelaran profesor dan ustaz yang disandang oleh Teo Kok Seong dan Ahmad Dusuki. Malahan kenyataan kedua tokoh ini dilihat berkepentingan seperti berpihak kepada kerajaan dalam mencipta naratif yang membangkang realiti rakyat hari ini.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial antarabangsa. Gadis liberal yang juga mendukung idea-idea demokrasi sosial dan percaya Malaysia asasnya sebuah negara sekular.