Apakah persamaan di antara Jakarta dan Toronto walaupun bandar-bandar ini berbeza kemajuannya? Jawapannya adalah keduanya mengalami masalah kesesakan jalan raya dan mengakibatkan kerugian lebih RM9 bilion setahun dari segi kehilangan produktiviti.
Bagaimana pula halnya di Malaysia? Kesesakan di ibu kota Kuala Lumpur masih belum separah di Jakarta atau di Toronto tetapi ini tidak bermakna negara kita tidak akan kerugian lebih RM9 bilion akibat kehilangan produktiviti. Sebaliknya kita perlu berasa bimbang dan segera mengambil tindakan. Mengapa?
Dengan lebih 680,000 jumlah kenderaan baru di jalan raya setiap tahun, kadar bilangan kenderaan di Malaysia adalah antara tertinggi di dunia. Di sebalik rungutan dan rintihan harga kereta yang mahal, data menunjukkan sebaliknya.
Pada tahun 2004, jumlah kenderaan yang didaftarkan adalah sebanyak 537,000 buah. Lewat 10 tahun kemudian, jumlah ini bertambah pada kadar 12% setahun. Ini menjadikan secara puratanya bagi setiap 2.8 orang di Malaysia, mereka memiliki sebuah kenderaan. Kadar ini melebihi nisbah rakyat dan kereta di negara pengguna terbesar di dunia iaitu China.
Jika kadar pertumbuhan ini tidak berubah menjelang tahun 2020 (tahun di mana Malaysia akan menjadi negara maju), Malaysia akan menerima 1.2 juta kenderaan baru setiap tahun. Sekarang ini pun jumlah kenderaan di Malaysia adalah sejumlah 11 juta kenderaan. Bayangkan apa yang akan terjadi jika kadar pertumbuhan kenderaan ini tidak ditangani dengan baik.
Tetapi kita tidak perlu menunggu sehingga tahun 2020 untuk melihat kesannya. Setiap hari pekerja di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur perlu bangun seawal jam 6 pagi dan perlu memandu selama 1 hingga 2 jam hanya untuk memastikan mereka tiba di tempat kerja sebelum jam 9 pagi. Di waktu petang, mereka akan berlumba-lumba untuk keluar pejabat dengan cepat kerana tidak mahu terperangkap selama 1 hingga 2 jam lagi di atas jalan raya semata-mata untuk pulang ke rumah.
Ini tidak dicampur lagi masa yang terbuang jika berlaku sesuatu di luar jangkaan seperti hujan lebat, kemalangan, jalan ditutup dan sebagainya. Bahkan pada hari Sabtu juga jalan raya akan sesak dengan kereta.
Kesemua perkara ini sudah pastilah menyumbang kepada kerugian produktiviti. Bagaimana untuk kita mengukur kerugian tersebut?
Pertama dari segi kos masa. Masa yang hilang akibat kesesakan jalan raya boleh digunakan untuk perkara yang produktif. Jika diambil gaji purata bagi pekerja di Malaysia adalah RM2,500 sebulan, ini bermakna sejam masa mereka bernilai RM5.70. Jika 3 jam dihabiskan sehari di atas jalan raya selama 22 hari bekerja, pekerja tersebut telah kehilangan produktiviti berjumlah RM376.20 sebulan.
Ini untuk seorang pekerja. Katakan 10% dari jumlah pekerja Malaysia terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, ini bermaksud negara telah kerugian produktiviti dari segi masa berjumlah RM5.51 bilion untuk setahun.
Selain dari kos masa, kos emosi dan kesihatan juga perlu diambil kira. Kita mungkin pernah mengalami keadaan kelam kabut bagi menghadiri mesyuarat atau janji temu penting. Dan tekanan ini diburukkan lagi dengan keadaan lalu lintas yang amat dahsyat sehinggakan kita terpaksa membatalkan pertemuan tersebut. Bukan satu dua, tetapi ada kes sampai lima pertemuan sekaligus!
Mungkin ini menjelaskan mengapa jualan Panadol di Malaysia antara jualan ubat yang paling laris.
Kos kepada kerajaan juga tidak dapat dielakkan khususnya kos subsidi bahan api. Pada tahun 2013 sahaja, kerajaan menanggung bil subsidi berjumlah RM28.9 bilion. Bil ini sudah pastilah meningkat ekoran peningkatan jumlah kenderaan yang bertambah.
Untuk pengetahuan, kos subsidi bahan api pada 2004 hanyalah sekitar RM4.8 bilion. Maknanya bil subsidi telah naik sebanyak 500% dalam masa 10 tahun.
Di sebalik angka-angka yang menggerunkan ini timbul persoalan, mengapa kerajaan tidak melakukan sesuatu sebelum Kuala Lumpur menjadi Jakarta kedua? Mengapa kerajaan tidak memperkenalkan langkah bagi mengurangkan jumlah kenderaan?
Hakikatnya, ini adalah antara sumber pendapatan terbesar bagi kerajaan Malaysia. Pada tahun lepas sahaja lebih RM12.7 bilion telah dikutip daripada duti eksais. Adalah kerja gila bagi mana mana kerajaan untuk menutup lubuk emas ini.
Tetapi ini bukanlah alasan yang kukuh untuk kerajaan tidak melakukan apa-apa. Bahkan jika ditolak dengan bil subsidi yang tinggi tadi, kerajaan sebenarnya telah kerugian sebanyak RM15 bilion setahun. Sudah jelas kerajaan tidak boleh berdiam diri.
Projek MRT adalah langkah yang tepat untuk meningkatkan taraf pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Tetapi projek sebegini menelan belanja yang besar. Untuk MRT ‘Line 1’ sahaja, lebih RM30 bilion dibelanjakan. Kita tidak tahu adakah negara punyai banyak wang untuk membiayai projek MRT di bandar-bandar raya sesak yang lain. Mungkin ya atau mungkin tidak.
Memahami kesesakan yang parah di sesetengah kawasan, kerajaan memutuskan untuk membina lebuh raya baru dan melebarkan jalan. Logiknya jalan raya yang lebih banyak akan mengurangkan kesesakan lalu lintas. Untuk itu lebih 10 lebuh raya baru bakal disiapkan dalam masa 5 tahun ini.
Persoalannya, adakah logik ini berkesan? Apa yang berlaku dengan pembinaan lebuh raya baru adalah, pemandu baru yang baru sahaja membeli kenderaan akan melalui jalan tersebut sehinggalah jalan tersebut juga menjadi sesak.
Oleh yang demikian, penyelesaian yang perlu diambil bukan sahaja pada perbelanjaan sumber yang besar untuk projek-projek infrastruktur tetapi ia harus mengambil kira pengagihan sumber yang sedia ada.
Misalnya kerajaan boleh sahaja menaik taraf laluan kereta api di antara bandar yang sudah usang. Cara ini lebih menjimatkan berbanding membina kereta api berkelajuan tinggi.
Yang kedua kerajaan wajar membebaskan sektor perkhidmatan awam dari monopoli kerajaan. Mengapa kerajaan masih enggan meliberalisasi perkhidmatan bas awam dan teksi? Apa istimewanya Bas Rapid milik Prasarana memonopoli laluan-laluan bas? Seharusnya kerajaan membiarkan mana-mana syarikat swasta yang berminat untuk bersaing dan menentukan harga tambang mereka.
Yang ketiga adalah dengan mengurangkan kos pemilikan kereta tetapi meningkatkan kos membawa kereta. Sebagai contoh kerajaan boleh menghapuskan duti eksais. Harga kereta akan murah. Pembeli kurang hutang. Pendapatan boleh guna bertambah. Pada masa yang sama biarkan harga bahan api untuk kenderaan individu mengikut harga pasaran. Oleh itu pemandu akan cuba mencari alternatif lain untuk memandu. Ini secara tidak langsung membolehkan kerajaan menjimatkan bil subsidi yang kian meruncing.
Yang terakhir adalah dengan memberikan pelepasan cukai bagi syarikat yang mempunyai sejumlah pekerja yang tinggal di lingkungan radius 5km. Ini sekaligus mendorong majikan mencari pekerja yang tinggal berdekatan atau memaksa bakal pekerja untuk mencari syarikat yang berdekatan. Insentif seperti pemindahan pejabat ke kawasan yang kurang sesak juga wajar diberikan kepada syarikat.
Kemungkinan idea-idea ini tidak berkesan. Tetapi tuntasnya yang kita mahukan adalah usaha kerajaan dalam mengurangkan kerugian produktiviti yang berpunca dari kesesakan jalan raya.
Kita tidak mahu Kuala Lumpur menjadi Toronto atau Jakarta kedua.
(Artikel ini adalah petikan dari buku Saring Sebelum Mereng)
Radzi Tajuddin adalah graduan arkitek lulusan United Kingdom. Beliau juga merupakan penulis buku Saring Sebelum Mereng dan juga Apa Habaq Orang Muda? yang dinukil bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada waktu yang lain beliau menjawat jawatan CEO Hartabumi.com dan merupakan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).