Politik Perak Dan Persoalan Luar Biasa

Berikutan krisis politik yang melanda Perak buat kali kedua dalam tahun ini, dan ketiga dalam kurun ini, sudah mula timbul cakap-cakap tentang penjajaran semula politik di negeri yang pernah diakui termaju dan terkaya ketika era Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Tetapi penjajaran politik di negeri seperti Perak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tidak seperti di peringkat persekutuan.

Hal ini bertitik tolak dari demografi negeri Perak itu sendiri. Ya, sebagai negeri termaju dan terkaya ketika era kolonial British, Perak adalah antara negeri yang terawal menerima kemasukan besar imigran tenaga buruh dari China dan India untuk aktiviti perlombongan dan perladangan. Sejarah lampau itu membentuk Perak pada hari ini, sebuah negeri majmuk yang terdiri dari 57% Bumiputera, 30% Cina dan 12% India. Populasi Bumiputera negeri Perak adalah yang ketiga terendah di Malaysia, selepas Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kemajmukan yang ketara ini menjadikan Perak sebuah negeri yang sukar untuk dikuasai oleh mana-mana parti politik tunggal. Jumlah kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebanyak 59 semuanya bererti majoriti mudah yang wajib ada adalah 30 kerusi untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri. Jika disoroti sejarah pilihan raya negeri Perak, maka kita akan dapati mencapai angka 30 ini bukan mudah. Ia hanya boleh dilakukan dengan gabungan parti-parti politik seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Rakyat (PR), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Semua ini kerana dalam negeri Perak, imbangan kerusi supermajoriti Melayu dan campuran, juga bandar dan luar bandar adalah hampir seimbang.

Taburan kerusi bandar dan campuran wujud di sepanjang kaki banjaran Titiwangsa bermula dari sempadan Perak dan Selangor kemudian mengunjur hingga ke Lembah Kinta. Begitu juga di daerah Manjung dan seterusnya di dua kluster bandar di Taiping dan Teluk Intan. Kawasan-kawasan ini adalah kubu kuat PH.

Taburan kerusi luar bandar dan supermajoriti Melayu pula adalah di sepanjang lembangan Sungai Perak, dari Hulu Perak membawa ke Kuala Kangsar dan Perak Tengah seterusnya ke Hilir Perak kecuali kluster di Teluk Intan. Sepanjang sungai kebanggaan negeri ini, penduduknya majoriti adalah Melayu dan kawasan luar bandar. Ia adalah kubu kuat UMNO, seperti di Grik, Kuala Kangsar, Pasir Salak dan Bagan Datuk.

Kemudian, wujud pula satu kawasan dimana penduduknya bertutur loghat Utara, bersawah padi dan menyuburkan institusi pondok agama. Ini adalah di Gunung Semanggol tempat lahirnya PAS dan juga kawasan sekitar seperti Selama dan Parit Buntar. Rata-rata pengundi di sini cenderung kepada PAS.

Imbangan yang kompleks ini membuatkan situasi politik di Perak sukar untuk dikuasai secara majoriti mudah oleh mana-mana parti politik secara sendirian. Bahkan UMNO sendiri hanya pernah melakukannya pada tahun 2004 terima kasih pada faktor feel good zaman Pak Lah. Di dalam pilihan raya negeri yang lain, UMNO sendiri sukar mencapai majoriti mudah 30 kerusi jika tidak dibantu rakan sekutu seperti MCA dan MIC.

Begitu juga di pihak PH. Walaupun DAP mempunyai sokongan kuat di kerusi bandar dan campuran, ia masih belum cukup untuk membantu mereka mendapatkan majoriti mudah 30 kerusi. Parti seperti DAP memerlukan bantuan kerusi tambahan dari PKR, AMANAH dan BERSATU dalam PRU14 untuk membolehkan gabungan PH menang 29 kerusi, tetapi masih kekurangan 1 kerusi untuk majoriti mudah. Kerajaan negeri hanya berjaya dibentuk setelah dua ADUN UMNO menyatakan sokongan kepada pembentukan kerajaan negeri Perak di bawah PH.

Pasca Langkah Sheraton, sekali lagi kerumitan politik Perak diuji dengan penjajaran semual di bawah jenama PN. Kali ini, UMNO bersama BERSATU dan PAS membentuk kerajaan negeri baharu dengan majoriti 33 kerusi, dibantu confidence and supply sebanyak 2 kerusi dari GERAKAN dan Bebas. Tetapi majoriti dalam kerajaan negeri dikuasai oleh UMNO dengan 25 ADUN. Dan kumpulan ADUN dari UMNO inilah yang berkuasa memberikan nyawa kepada kerajaan negeri Perak di bawah PN.

Nyawa tersebut, bagaimanapun ditarik kembali pada Jumaat 4 November 2020. UMNO hampir sebulat suara mengundi tidak percaya ke atas Faizal Azumu, Menteri Besar dari BERSATU.

Tetapi, selepas undi tidak percaya yang menyingkirkan seorang MB, UMNO masih belum punyai cukup angka untuk menubuhkan kerajaan negeri secara sendirian.

Dan persoalan kini timbul dari manakah sumber angka yang boleh diperolehi UMNO untuk mencukupkan jumlah 30 kerusi?

Adakah masih dari BERSATU dan PAS, yang baru sahaja ditikam belakangnya oleh UMNO sendiri?

Atau dari blok PH, yang secara gabungan memegang 24 kerusi DUN dan boleh membantu UMNO mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang kuat dan stabil dari segi angka?

Atau, dan ini adalah persoalan yang paling luar biasa, bolehkah UMNO dan DAP (masing-masing dengan 25 dan 16 kerusi DUN) mencapai kata sepakat untuk membentuk sebuah kerajaan negeri bersama?

Kesemua senario di atas adalah kemungkinan yang boleh sahaja terjadi di Perak.

Tetapi yang paling tidak masuk akal, tetapi boleh sahaja terjadi jika hendak seribu daya, BERSATU dan PAS meninggalkan UMNO dan membentuk blok politik bersama PH dan menubukan kerajaan negeri baharu dengan 34 kerusi DUN.

Ya, ia boleh sahaja berlaku. Di Perak, kerumitan politik negeri yang dicorak oleh demografi memungkinkan apa sahaja senario.

 

Komen