APABILA baginda Nabi Muhammad dipelawa ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda secara politiknya adalah mengemukakan politik muakhah (mempersaudarakan) antara kaum Muhajirin yang merupakan penghijrah dari Mekah dengan bumiputera di Madinah iaitu kaum Ansar.
Politik muakhah ini dilaksanakan oleh seseorang yang lebih berkedudukan, berwibawa, senior dan mempunyai status lebih tinggi; gunanya untuk mendamaikan kumpulan bertelagah atau di dalam krisis. Dalam hal ini tokoh atau figur yang mulia tersebut tentulah baginda Nabi yang merupakan utusan Allah.
Baginda melakukan bimbingan sehingga kumpulan Aus dan Khazraj yang membentuk kaum Ansar itu juga malah boleh melupakan konflik sesama sendiri, malah sanggup membina perpaduan dengan kaum yang datang dari luar.
Hari ini, di luar dari tradisi Islam khusus dalam komuniti atau organisasi tertentu kadang-kala kita akan mendengar istilah sworn brother atau saudara dengan ikrar.
Ahli atau anggota yang tiada kena mengena dari segi hubungan darah akan dipersatukan lantas membentuk persaudaraan yang kuat.
Solidariti ini amat utuh sehingga melampaui banyak tahun dan keturunan. Dalam konteks agama Islam, Rasulullah amat menekankan politik muakhah ini sehingga terdapat banyak hadis atau pesan Nabi mengenai persaudaraan dan perpaduan, dan larangan berselisih.
Bahkan Nabi mengingatkan mengadu domba atau memulai kelahi sebagai memakan bangkai saudaranya sendiri.
Untuk umat Melayu yang begitu mementingkan kerajaan dan kekerabatan, kedudukan Raja amat besar dan bermakna sekali. Baginda malah dianggap bayang-bayang Tuhan di muka bumi.
Secara negatifnya, tentulah kita boleh menghujahkan feudalisme ini adalah beban psikologi.
Akan tetapi dari segi positifnya, Raja juga boleh mempersatukan orang Melayu yang berkrisis dengan menggunakan pendekatan politik muakhah ini.
Ia tidak bertentangan dengan agama. Ia juga terpuji dari sudut pandang Melayu sebagai bangsa beradab.
Makanya perseteruan Umno (Barisan Nasional) dan parti-parti dalam komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR, Amanah, DAP diikat bersekali dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak membolehkan krisis yang menekan negara ini terpadam seketika dengan nama Kerajaan Perpaduan.
Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada parti PAS, Bersatu dan Gerakan bagaimanapun enggan mematerai politik muakhah ini.
Pengerusi PN, iaitu Muhyiddin Yassin sendiri pada 22 November 2022 menyatakan mereka menolak idea muakhah ini; “Jadi saya diminta tandatangani surat – saya tanda ‘tak setuju’; untuk kerajaan perpaduan.”
Alasan PN enggan menyertai politik muakhah ini adalah kerana mereka sudah cukup jumlah (meskipun dakwaan ini ditolak oleh Istana Negara) dan kemudiannya, kerana alasan-alasan yang kebanyakannya kembali kepada DAP.
PN bagaimanapun berusaha memadam hakikat bahawa terdapat Gerakan di dalam PN, seperti mana juga terdapatnya DAP di dalam PH.
Seperti mana politik muakhah di zaman Nabi Muhammad, ia bukanlah sesuatu yang mudah hari ini. Sayugia diingatkan suku Aus dan Khazraj telah berperang begitu lama, ada yang mengatakan puluh tahun; ada yang menuliskan 300 tahun. Itu sebelum mereka dipersaudarakan oleh baginda sebagai Ansar.
Pokoknya tempoh pergaduhan dan perpecahan Aus dan Khazraj itu jauh lebih lama dari perseteruan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin yang sebelum PRU15 saling mencaci dan menuduh, tetapi kini sudah boleh berproklamasi Melayu.
Jika Melayu bermusuh secara manja-manja – seperti ditunjukkan oleh PAS Bersatu dengan Pejuang dan GTA – bani Aus dan Khazraj pula bermusuh dengan keras.
Sehingga ikut berperang. Dalam Perang Bu’ats (lima tahun sebelum hijrah) semua pemimpin kedua pihak tumpas.
Tempoh lima tahun itu dapat kita anggap semacam satu penggal PRU. Akan tetapi hebatnya Nabi Muhammad, baginda dapat mendamaikan mereka dengan politik muakhah.
Maka kita dapat memahami yang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tidak cukup hebat berbanding Rasulullah kerana tidak dapat melembutkan hati Muhyiddin dan Abdul Hadi Awang.
Namun, kita tidak dapat menafikan yang paling tidak permusuhan BN dan PH dapat diredakan dengan politik muakhah. Tentu sahaja ia rapuh.
Kita boleh memahaminya, bahawa dalam kerapuhan itu ada proses untuk mengikat dan menjadi kukuh. Pilihan Raya Negeri adalah ujian pertama.
Politik muakhah yang disaran Nabi Muhammad di Madinah memang telah bermula sebelum hijrah baginda. Pun, apabila kaum Muhajirin tiba di Mekah, proses perpaduan itu terangkat satu takah lagi di mana 45 orang Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan.
Hikmah politik muakhah ini amat besar. Kaum muhajirin yang meninggalkan harta benda sehelai sepinggang di Mekah kini beroleh aset mereka semula. Muhajirin yang minoriti kini menjadi majoriti.
Kaum Ansar pula beroleh manfaat terbesar iaitu kalibernya Nabi. Di sebalik politik muakhah itu tentulah ada pula puak yang berpura-pura menerima perpaduan tetapi kemudian berpaling dan mencari perseteruan dan ingin melawan dan bersaing mengatasi.
Mereka ini dinamai kaum munafikin. Mereka ini ada tua ada pula muda.
Kebalikan kepada politik muakhah tentulah politik pecah. Iaitu politik yang enggan kepada perpaduan dan persaudaraan.
Tentulah mereka yang enggan kepada persaudaraan ini mempunyai muslihat dan agenda sendiri. Dalam hal ini mereka adalah kaum yahudi. Pun bukan semua yahudi di Madinah begitu.
Ia terbatas kepada yahudi Bani Nadhir dan Bani Quraizah sahaja. Bahkan, setelah Rasulullah membuka kota Mekah dan melebarkan konsep muakhah ke Mekah, ada juga parti atau suku yang menolak persaudaraan ini.
Mereka adalah Bani Tsaqif di Taif dan Bani Hawazin di pinggiran Mekah. Sebaik-baik dan semulia baginda pun ada manusia yang melawan dan memilih perpecahan. Tidaklah menghairankan ada puak yang suka membantah.
Puak yang melawan Nabi Muhammad ini selalunya khuatir kehilangan benda, materi, dan kuasa. Maklumlah sekarang semua harus berbahagi demi “persaudaraan”. Tentulah merugikan berbanding kestabilan.
Menyanggah politik muakhah, Muhyiddin dan Hadi memilih untuk menggonggong dan menyalak Kerajaan Perpaduan saban hari dan waktu di luar Dewan Rakyat. Apa objektif mereka?
Kita mengetahui agenda bukan muakhah ini kerana ia dinyatakan sendiri oleh Muhyiddin yang dilaporkan berkata PN bersedia membentuk kerajaan di semua enam negeri jika memenangi pilihan raya dan telah memperuntukkan jawatan pentadbiran, termasuk ketua GLC negeri.
(Artikel ini asalnya diterbitkan di The Malaysian Insight dan diterbitkan kembali di Solidaritas dengan izin)
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.