Politik Angka Malaysia

Sekali lagi, politik Malaysia dilanda kemelut perebutan kuasa. Semuanya bermula sejak bulan September apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan yang cukup dari ahli parlimen lain untuk membentuk kerajaan. Perkataan yang digunakan ialah “strong, formidable, convincing majority” untuk menunjukkan bahawa beliau mempunyai majoriti yang selesa berbanding apa yang dimiliki oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tanggal 13 Oktober, Anwar telah mendapat perkenan untuk mengadap Yang Di Pertuan Agong (YDPA) bagi mempersembahkan angka yang dimiliki beliau. Selepas dari perjumpaan itu, imbangan kuasa politik Malaysia sekali lagi bercelaru, apa lagi setelah ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga turut mengadap YDPA pada hari yang sama disusuli mesyuarat Biro Politik UMNO pada malamnya yang membincangkan masa depan kerjasama dengan PN dalam kerajaan.

Umum tahu, kerajaan PN yang mempunyai majoriti 112 kerusi dengan 1 kerusi Bebas memberikan confidence and supply adalah sangat goyah kerana ketipisan majoriti. Perbezaan 113 menentang 109 (kini 108 kerana kekosongan kerusi parlimen Batu Sapi) di pihak pembangkang bermakna tindakan lompat parti melibatkan sekurang-kurangnya tiga ahli parlimen sudah cukup untuk menumbangkan kerajaan PN. Bayangkan jika ianya lebih dari sekadar tindakan lompat parti, tetapi sebaliknya berlaku penjajaran melibatkan parti politik seperti UMNO yang memiliki sejumlah 39 kerusi.

Mampukah Anwar Ibrahim mendapatkan sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan dan apakah formasi yang mungkin?

Menjawab persoalan ini pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebenarnya adalah sangat mencabar. Senario politik Malaysia telah berubah dan ia jauh berbeza dengan apa yang telah kita lalui dalam tempoh 60 tahun sejak kemerdekaan.

Pada masa ini, parti tunggal dengan jumlah kerusi terbesar di dalam Dewan Rakyat adalah DAP dengan 42 kerusi. Tiga parti besar lain dengan jumlah kerusi melebih 30 adalah UMNO (39), PKR (38) dan BERSATU (31). Kesemua parti-parti lain memiliki kurang dari 20 kerusi. Secara keseluruhan, dengan menolak tepi gabungan parti yang ada (seperti Perikatan Nasional, Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak), Dewan Rakyat hari ini diduduki oleh 20 parti politik dan seorang ahli parlimen Bebas.

Maka soalan utama yang bermain di fikiran kita semua, apakah formasi sokongan parti dalam Dewan Rakyat yang didakwa Anwar Ibrahim berpihak kepadanya?

Jika diambil formasi gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH), maka angka yang kita perolehi ialah 91 (DAP 42 + PKR 38 + AMANAH 11). Anwar Ibrahim mungkin boleh menarik sokongan dari kesemua parti pembangkang lain dan ini akan membawa sejumlah 17 lagi ahli parlimen yang menyokongnya, dengan angka total sebanyak 108. Hanya 4 kerusi atau ahli parlimen diperlukan untuk majoriti mudah 112 bagi membentuk kerajaan.

Jika dilihat pada senario semasa dan desas-desus yang kedengaran, kemungkinan sokongan buat Anwar Ibrahim akan datang dari UMNO. Mungkin secara en bloc ataupun dari beberapa ahli parlimen UMNO yang sanggup break the rank. Mengandaikan UMNO menyokong Anwar Ibrahim secara en bloc, maka angka akhir yang diperolehi mungkin melonjak kepada 130 (jika PH+UMNO) atau 147 (jika PH+UMN+semua parti pembangkang lain). Keduanya adalah angka majoriti untu membentuk kerajaan, walaupun masih belum mencapai angka magis 148 untuk majoriti 2/3.

Tetapi bolehkah UMNO bekerjasama dengan parti pembangkang?

Ini adalah persoalan yang sukar untuk dijawab. Di dalam PH sendiri, ada DAP yang dinobatkan sebagai musuh ketat UMNO sejak dari dulu. Di kalangan parti pembangkang kecil yang lain, ada PEJUANG yang ketuanya, Mahathir Mohamad tidak sebulu dengan pimpinan UMNO yang ada.

Persoalan juga timbul jika Anwar Ibrahim benar-benar mampu mendapatkan sokongan PEJUANG, yang berpendirian tidak menyokong usaha beliau menjadi Perdana Menteri. Walaupun dengan hanya 5 kerusi, tetapi di dalam imbangan kuasa politik Malaysia yang caca marba, ia masih angka yang berpotensi membentuk atau menumbangkan kerajaan.

Maka, jawapan atau kemungkinan yang logik untuk formasi sokongan Anwar Ibrahim di parlimen mungkin datang dari beberapa ahli parlimen UMNO yang mungkin boleh semeja dengan DAP. Angka yang kerap disebut-sebut Anwar Ibrahim adalah 120 dan lebih. Mengandaikan beliau memiliki sokongan 120 ahli parlimen, maka berkemungkinan besar formasi yang ideal ialah 91 dari PH dan maksima 29 ahli parlimen UMNO atau mungkin kurang dari itu jika beberapa parti pembangkang lain turut serta. Anwar Ibrahim mungkin tidak mendapat sokongan PEJUANG, tetapi beliau masih ada peluang dengan WARISAN, PSB, UPKO dan MUDA.

Politik adalah fleksibel. PAS yang satu masa dahulu juga merupakan musuh UMNO, tetapi keduanya kini berada dalam gabungan tidak rasmi Muafakat Nasional (MN). BERSATU juga sama, bermula sebagai serpihan UMNO dan kemudiannya merampas beberapa ahli parlimen UMNO untuk lompat parti, akhirnya ‘berbaik’ pula dengan UMNO untuk mewujudkan kerajaan PN. Dan fleksibiliti politik itu kini sedang diuji apabila UMNO dilihat cenderung untuk mengkhianati baik BERSATU atau pun PAS.

Jika semua perkara ini telah dan sedang berlaku, maka apa alasan untuk kita mengatakan bahawa UMNO tidak boleh semeja dengan parti-parti PH atau pembangkan lain, apa lagi jika tawaran bersama itu jauh lebih menarik buat UMNO yang dahagakan kuasa berbanding dengan apa yang mereka perolehi kini di dalam kerajaan PN yang didominasi BERSATU?

Komen