Bagaimana kalau pertembungan politik antara parti dan individu di Malaysia dapat diselesaikan melalui perlawanan sepak bola? Ya, memang bunyinya merepek; tetapi keinginan bertanya ‘bagaimana kalau’ ini adalah kunci kepada seni berpolitik yang mempunyai imaginasi. Jauh meninggalkan politik tua bangka yang masih terhad kerangkanya kepada tanda pangkah di atas sekeping kertas.
Malang bagi kita, cuba bertanya ‘bagaimana kalau’ ini akan pantas dicantas oleh warga Gegarvaganza politik Malaysia kerana mereka sudah biasa dengan cara lama. Jadi sebarang usaha pembaharuan akan disambut dengan memek muka seperti tergigit buah pelaga.
Andaikan kita bertanya, bagaimana kalau pilihan raya di Malaysia hanya melibatkan parti politik tanpa mengetengahkan nama individu, bolehkah rakyat Malaysia memilih organisasi mana yang mereka suka untuk mendapatkan bilangan yang mencukupi bagi membentuk kerajaan?
Di Twitter, saya sebutkan bahawa politik negara ini sudah lama tersekat-sekat perkembangannya ekoran budaya feudal yang mengangkat individu, ketimbang memandang dasar dan program parti politik. Kerana itu, kita sukar beranjak pergi daripada premis bahawa ahli-ahli politik adalah pemimpin umat yang perlu diusung dan dilayan seperti anak raja. Sedangkan itu bukan cara yang sepatutnya.
Budaya feudal ini dapat kita fahami melalui pendekatan karipap dan air teh dalam mesyuarat kerajaan. Kenapa mesyuarat kerajaan kena ada karipap dan air teh?
Politik Balairung Istana
‘Kerajaan’ negara ini mengamalkan politik dan sistem pentadbiran feudal Melayu di mana monarki punya istana dan balairungnya itu adalah pusat pentadbiran dan dewan menyelesaikan permasalahan rakyat.
United Malays National Organisation (UMNO), yang lahir dari rahim istana melanjutkan amalan feudal ini. Lihat sahaja rumah-rumah pemimpin UMNO dan kita akan memahami kenapa mereka lebih gemar mempunyai rumah besar-besar seakan istana.
Politik pembesar UMNO adalah politik istana, di mana rumah mereka menjadi tempat bertemu, bermesyuarat dan menyelesaikan masalah (atau merekayasa masalah). Laman rumah mereka juga tidak kalah besar, untuk memuatkan kereta-kereta besar tetamu yang hadir. Tetamu itu pula haruslah dilayan dengan baik. Nah di sini lah kita temukan rukun politik Melayu nombor satu: bagi makan anak buah.
Menjamu anak buah yang datang bertandang mahu bertanya khabar, atau memohon nasihat adalah pendekatan paling ampuh untuk membina pertalian. Kalau sedap air teh dan karipap yang dihidang, paling kurang itu lah yang menjadi bualan.
Perbualan yang dimulakan dengan “Aku pi mengadap Datuk hari tu, dia jamu teh masala dengan karipap ayam. Sedap!” akan disambut dengan penilaian tentang hubungan si tetamu dengan tuan rumah. “Apa barang teh dengan karipap, aku pi haritu dia jamu gulai kepala ikan,” sambut kawan yang satu lagi. Dan seterusnya begitulah.
Politik daripada adat menjamu anak buah ini tentunya dibawa sampai ke pejabat kerajaan. Nama pun pejabat ‘kerajaan’, tentulah feudal juga amalannya. Demikianlah adat Melayu berpolitik dan menjaga anak buah. Sambil berfikir menyelesaikan masalah negara di pejabat, apalah salahnya jamah karipap sambil hirup teh panas; sebagaimana amalannya di rumah pembesar dan balairung istana.
Sama ada monarki dahulu kala turut hidang karipap atau air teh itu, saya tiada periksa. Tetapi begitulah amalan politik Melayu.
Jika dibandingkan hal ini dengan adat politik orang Cina DAP (misalnya), rumah bukan tempat untuk bermesyuarat. Bahkan rumah pemimpinnya hampir sahaja off limits kepada sesiapa yang bukan ahli keluarga. Belum pernah lagi kita melihat rumah pemimpin DAP yang begitu besar mewah sehingga muat untuk bersidang Ahli Jawatankuasa parti. Belum la lagi.
Mahu mesyuarat, pergi lah ke pejabat. Mahu makan, boleh ke restoran. Mahu tidur, tukar baju, baru balik ke rumah.
Justeru apabila ada rakan-rakan DAP yang bertanya apa perlunya bermesyuarat dengan dihidang karipap air teh segala, maka inilah jawabnya. Demikianlah beza politik feudal istana, dan politik kita rakyat biasa.
Meninggalkan Politik Feudal
Feudalisme dalam berpolitik inilah yang membuahkan amalan karpet merah buat menyambut hatta ketua pengarah, sambil dipasangkan bunga di dada, dicium tangannya dan dijamu makan minum di meja VIP. Di kampung-kampung juga begitu. Ketua kampung merangkap pengerusi UMNO cawangan dihormati kerana dia ketua, dengan usia orang yang sudah perlu makan ubat kerana darah tinggi akibat lama makan garam.
Feudalisme ini juga faktor yang mengekang kemajuan politik orang muda, contohnya gerombolan Syed Saddiq yang tidak diberi muka dalam pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.
Sebagai gerombolan yang baharu, ternyata sukar untuk mereka berunding mendapatkan peluang bertanding atas tiket gabungan Pakatan Harapan. Sementelahan, parti-parti Pakatan Harapan pun ada calon-calon muda masing-masing. Apa diharap kepada kanyaq-kanyaq yang belum diluluskan pun pendaftarannya oleh ROS.
Pun begitu apa yang lebih meresahkan ialah kesanggupan MUDA untuk bermain politik feudal ini, ketimbang mengetengahkan gagasan baharu untuk generasi pengundi yang saban hari kerjanya (antara lain) bermain PUBG dan melakukan cabaran Tiktok. Di sini muncul pentingnya keperluan bertanya ‘bagaimana kalau’.
Bagaimana Kalau?
Melaka tempoh hari memutuskan untuk kembali memberi peluang kepada Barisan Nasional, seraya memalukan Pakatan Harapan dengan kekalahan total parti komponen PKR, yang diketuai Anwar Ibrahim. Orang ramai selanjutnya mempersoalkan kredibiliti Anwar Ibrahim dalam mengemudi strategi kempen pilihan raya, berasaskan kekalahan besar di Melaka.
Dan kerana masalah politik feudal dan berpaksikan individu yang diangkat sebagai pemimpin ulung, Pakatan Harapan berdepan dilemma: kalau Anwar bukan pemimpin mereka, siapa?
Bagaimana kalau bukan individu yang diangkat sebagai simbol harapan, perpaduan, masa depan dan upaya membaiki negara?
Bagaimana kalau rakyat negara ini diberi pendidikan kesedaran politik bahawa mereka seharusnya membuat pilihan atas dasar dan polisi serta program yang ditawarkan oleh parti-parti politik dan gabungan mereka?
Bagaimana kalau seluruh negara mengundi untuk memilih parti yang mereka suka untuk membentuk kerajaan, dan kemudian parti-parti itu menghantar cerdik pandai mereka yang paling cemerlang ke Parlimen untuk merangka dasar?
Bagaimana kalau jawatan-jawatan eksekutif diberikan kepada penjawat awam yang jauh lebih mahir dengan modus operandi jabatan kerajaan, ketimbang orang politik yang datang serta pergi dengan cubaan untuk meninggalkan legasi masing-masing di kementerian? Tidak lah menteri asyik ponteng Parlimen.
Bagaimana kalau undi ketiga dipulihkan dan pemimpin masyarakat yang benar-benar intim dengan isu parit, sampah dan tiang lampu dipilih sendiri oleh autonom-autonom kecil dalam komuniti masing-masing dan tak perlu pening kepala untuk cuba jadi anggota legislatif di Dewan-dewan Negeri?
Bagaimana kalau Syed Saddiq cadangkan supaya MUDA diserap ke dalam organisasi Pakatan Harapan sebagai sebuah fraksi dengan autonomi sendiri, dengan peruntukan kerusi untuk orang muda; ketimbang perlu memujuk orang tua untuk memberi peluang kepada organisasi yang tidak ada kepentingan dalam gabungan politik mereka itu?
Perlu ada imaginasi dalam mengolah politik Malaysia menjelang 2022. Kejadahnya sudah masuk zaman begini kita masih mengundi berdasarkan tokoh dan kekuatan kewangan mereka dengan dua garis pangkah pada sehelai kertas. Setelah itu sang tokoh boleh pula melompat-lompat ke parti mana yang dia suka. Mengarut sungguh.
Izmil Amri adalah seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu