Selepas setahun bertarung melawan pandemik Covid-19, terbukti kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal.
Cukup kita melihat pada data yang ada hari ini. Hari ini, 8 Mei 2021 dicatatkan sejumlah 4,519 kes terkini, yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia ke angka 436,944 kes. Sejumlah 1,657 individu telah gugur dalam peperangan ini.
Pada tarikh yang sama tahun lalu, hanya 68 kes terkini dicatatkan membawa kepada jumlah keseluruhan 6,535 kes. Hanya 107 kes kematian ketika itu.
Ini bermakna dalam tempoh setahun, jumlah kes Covid-19 di Malaysia meningkat hampir 67 kali ganda. Jumlah kes kematian pula meningkat sebanyak 15 kali ganda.
Peningkatan ini sebenarnya tidaklah berlaku secara konsisten. Bermakna, ada naik turun dalam tempoh sepanjang setahun yang berlalu. Malaysia pernah sahaja mencatatkan sifar (0) kes tempatan beberapa kali pertengahan tahun lalu, dan juga berjaya menurunkan jumlah kes terkini serendah dua atau satu angka dalam tempoh yang sama.
Akan tetapi, keadaan tersebut berubah apabila berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020. PRN yang tidak sepatutnya berlaku tetapi terjadi akibat cubaan rampasan kuasa yang diaturkan oleh kerajaan persekutuan PN sendiri yang cuba menumbangkan kerajaan negeri WARISAN. Cubaan membeli beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berkesudahan dengan terbubarnya DUN Sabah yang merintis kepada PRN Sabah.
Peranan PRN Sabah dalam menghancurkan perang pandemik yang telah hampir kita menangi diakui sendiri Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah. Kegilaan kempen pilihan raya menyaksikan pelanggaran SOP berlaku di seluruh negeri Sabah, selain pergerakan merentas Laut China Selatan oleh pemimpin politik dan petugas parti dari Semenanjung ke Sabah.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila Menteri Kana Pertahanan, Ismail Sabri memutuskan untuk tidak mewajibkan kuarantin kepada individu yang pulang dari Sabah, satu keputusan yang dilihat bersifat politik dan membelakangkan isu kesihatan.
Sabah dilanda penularan Covid-19 yang kronik pasca PRN Sabah. Manakala kepulangan individu dari Sabah baik pemimpin politik, petugas parti atau pun rakyat biasa yang hanya ke Sabah untuk tujuan mengundi bebas bergerak di Semenanjung walaupun mereka berkemungkinan dijangkiti Covid-19 yang turut dibawa pulang dari Sabah.
Malaysia mencatatkan kes harian terkini sebanyak 150 kes pada 27 September 2020, sehari selepas PRN Sabah. Jumlah kes meningkat naik secara konsisten dan seterusnya mencecah empat angka iaitu 1,228 kes harian pada 24 Oktober 2020, hampir sebulan selepas PRN Sabah.
Akan tetapi kerajaan PN ketika itu masih enggan menyalahkan PRN Sabah sebagai punca, kerana tidak mahu terpalit kepada diri mereka sendiri sebagai arkitek yang mencetuskan terjadinya PRN tersebut. Bukanlah sesuatu yang pelik, kerana siapa sahaja yang mahu mengaku bermain lubang dubur sekalipun jika ianya sedap?
Hanya selepas kes harian terkini mencatatkan jumlah empat angka selama beberapa hari berturutan, akhirnya kerajaan PN akur untuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada 11 Januari 2021, berserta Darurat yang diproklamasikan oleh Yang Di Pertuan Agong (YDPA).
Namun ramai yang mengkritik PKP 2.0 kerana ia dijalankan seperti melepas bedok di tangga, tidak seketat PKP 1.0 yang dilaksanakan pada tahun 2020. Kebanyakan sektor masih dibenarkan beroperasi, antaranya perkilangan. Lantaran kebanyakan rakyat masih perlu merentas negeri atau keluar dari rumah untuk hadir kerja, tidak seperti PKP 1.0 yang mewajibkan hampir semua rakyat duduk diam di rumah. Perniagaan kebanyakannya berjalan seperti biasa, termasuklah pusat beli belah yang sebenarnya merupakan kawasan berisiko berlaku penularan kerana ianya bangunan dengan ruang tertutup tanpa aliran udara yang baik. Tetapi semua ini diabaikan atas alasan ekonomi perlu terus bergerak.
Tidak dinafikan pentingnya ekonomi demi kelangsungan hidup rakyat. Tetapi pertimbangan serta analisa kos dan faedah perlu dibuat terperinci agar PKP yang dilaksanakan tidak berlarutan atau gagal melandaikan lekuk. Inilah yang telah berlaku dalam PKP 2.0 apabila jumlah kes terus meningkat selama sebulan lamanya sejak ia dilaksanakan. Cakap-cakap rakyat di bawah sudah mula mempersoalkan jika PKP 2.0 dibuat sekadar syarat dan Darurat yang dilaksanakan sebenarnya lebih kepada melindungi hayat PN yang sudah hampir di penghujung.
Namun begitu, pematuhan SOP oleh sebahagian besar rakyat menyaksikan kes harian terkini berjaya diturunkan pada bulan Februari 2021. Akan tetapi, keputusan pada 30 Mac 2021 oleh Ismail Sabri yang membatalkan arahan bekerja dari rumah menyaksikan kes melonjak naik kembali kepada paras yang ada kini.
Suara-suara rakyat untuk PKP dijalankan dengan ketat seperti awal dahulu tidak diberi perhatian oleh kerajaan. Sebaliknya sektor tertentu terus dibenarkan beroperasi, terutamanya sektor perkilangan yang hari ini mencatatkan bahawa 48.06% dari kluster yang wujud berasal dari sektor tersebut. Hampir separuh dari penularan Covid-19 dalam tahun 2021 ini datang dari kilang, tetapi kilang jugalah yang masih diberi lampu hijau untuk kekal beroperasi seperti biasa.
Hari ini, selepas huru-hara yang melanda tanpa jalan penyudah yang jelas, Malaysia kembali melalui fasa PKP apabila kerajaan PN memutuskan untuk melaksanakan PKP 3.0. Dengan Aidilfitri yang hampir menjelang tiba, rakyat ditekan lagi akibat dari kegagalan kerajaan PN dalam perang melawan Covid-19 yang telah berlarutan setahun lamanya.
Dan disebalik semua ini, tidak ada banyak pilihan buat rakyat. Parlimen kekal digantung dan Darurat kekal berkuatkuasa, walaupun jelas sudah bahawa Darurat yang kononnya mengekang Covid-19 langsung tidak berfungsi untuk melawan pandemik.
Apalah dosa kita dilaknat dengan kerajaan gagal ini?
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.