TIDAK ada apa yang menghairankan setelah keputusan PISA (Programme for International Student Assessment), sebuah penilaian Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menguji persembahan akademik anak berumur 15 tahun di seluruh dunia keluar semalam.
Malaysia mencatatkan keputusan yang “memberangsangkan”; tangga ke-54 (Matematik), tangga ke-60 (Membaca) dan tangga ke-52 (Sains). Malaysia bukan saja ditinggalkan dengan begitu jauh oleh negara maju seperti Jepun, Korea ataupun Kanada. Kita bahkan kalah begitu teruk dengan Singapura, Vietnam serta Brunei. Kita juga bahkan jauh lebih corot jika dibandingkan dengan Israel, Kazakhstan, Mongolia ataupun Chile.
Markah Malaysia untuk ketiga-tiga ujian ini semuanya di bawah skor purata negara OECD; Matematik 409 (skor purata OECD 470), Membaca 388 (skor purata OECD 475) dan Sains 416 (skor purata OECD 480). Markah PISA 2022 ini juga menurun secara signifikan berbanding pencapaian Malaysia pada 2018 iaitu Matematik 440, Membaca 415 dan Sains 438.
Untuk Matematik, hanya 41% pelajar mencapai sekurang-kurangnya kecekapan Tahap 2, berbanding purata negara OECD adalah 69%. Sedangkan lebih 85% pelajar di Singapura, Macao (China), Jepun, Hong Kong, Chinese Taipei dan Estonia berjaya pada peringkat ini.
Hanya 42% pelajar di Malaysia mencapai Tahap 2 atau lebih tinggi dalam kategori Membaca sedangkan purata negara OECD adalah 74%. Singapura mencapai sehingga 89% pada tahap ini dengan hampir tiada pelajar Malaysia berjaya mencapai Tahap 5 atau lebih tinggi dalam kategori ini.
Dalam Sains pula, hanya 52% pelajar di Malaysia mencapai Tahap 2 sedangkan purata negara OECD adalah 76%).
PISA Dan Kaitannya Dengan Kemiskinan Pembelajaran
Saya nyatakan bahawa tiada apa yang menghairankan dengan skor Malaysia dalam persembahan PISA 2022 di atas adalah kerana hampir 3 bulan yang lalu pada September 2023, World Bank telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk ‘Fixing The Foundation, Teachers & Basic Education in East Asia & Pacific’.
Laporan ini adalah laporan yang penting kerana ianya mendedahkan ‘kemiskinan pembelajaran’ di Malaysia telah mencecah sehingga 42%. Sebelum pandemik, World Bank menyatakan kemiskinan pembelajaran di Malaysia berada pada tahap 13%. Secara mudahnya terma ‘kemiskinan pembelajaran’ ini bermaksud ‘tidak dapat membaca dan memahami teks mudah pada usia 10 tahun’.
Ini bermakna jika seramai 444,343 anak di Tahun 4 pada hari ini, hampir 186,636 orang ‘tidak berupaya untuk membaca dan memahami teks mudah’. Sekali lagi, prestasi Malaysia dalam kategori ‘kemiskinan pembelajaran’ ini lebih buruk daripada Vietnam, China, Thailand mahupun Mongolia. Korea Selatan hanya mencatatkan 3% sahaja ‘kemiskinan pembelajaran’ di dalam laporan tersebut.
Ini menjelaskan kaitannya dengan keputusan PISA 2022 yang telah diumumkan semalam. Hampir separuh daripada anak-anak kita berumur 10 tahun mengalami ‘kemiskinan pembelajaran’. Inilah punca utama mengapa 7096 anak-anak kita yang berumur 15 tahun dari 199 sekolah yang menyertai PISA 2022 ini gagal menunjukkan prestasi yang memberansangkan berbanding prestasi PISA 2018. 7069 anak-anak Tingkatan 3 ini adalah cerminan kepada hampir 390,400 anak-anak berumur 15 tahun di sekolah atau 75% daripada populasi anak berumur 15 tahun di Malaysia.
Kemiskinan Pembelajaran Meningkat Empat Kali Ganda Perjelas Isu Sistemik
Peningkatan kemiskinan pembelajaran di Malaysia daripada 13% pada 2019 kepada 42% pada 2023 adalah bukti jelas isu sistemik dalam pendidikan nasional pada masa ini sedangkan kemiskinan pembelajaran untuk negara lain seperti Singapura, Jepun dan Korea hanyalah sekitar 3% hingga 4%.
Laporan ini juga mendedahkan bagaimana Kazakhstan, sebuah negara yang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)nya lebih kurang seperti Malaysia hanya mencatatkan kemiskinan pembelajaran sekitar 2% sahaja walaupun membelanjakan hanya dua pertiga daripada apa yang telah dibelanjakan oleh Malaysia di sektor pendidikan.
Perbandingan ini mencetuskan persoalan bagaimana Malaysia, sebuah negara yang telah membelanjakan sehingga 4.2% daripada KDNK telah mencatatkan kemiskinan pembelajaran sehingga 42% sedangkan negara lain dengan saiz ekonomi yang sama dan membelanjakan lebih sedikit untuk sektor pendidikannya telah menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang?
Pembina Dasar Dan Pembuat Polisi Tidak Menyedari Magnitud Masalah
Satu lagi aspek penting laporan World Bank di atas adalah pengkaji menyatakan bahawa pembina dasar dan pembuat polisi selalunya tidak menyedari magnitud masalah yang sedang mereka hadapi daripada 1000 survei yang telah mereka laksanakan kepada hampir 40 negara yang terlibat.
Kenyataan Yang Berhormat (YB) Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 17 Februari 2023 yang lalu, setelah 2 bulan menjawat jawatan tersebut bahawa kurikulum pendidikan Malaysia setara dengan negara Singapura dan Jepun adalah contoh bagaimana pegawai yang menasihati beliau dan menyediakan kenyataan tersebut cuba menyadur (sugarcoat) masalah yang sedang dihadapi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan sebuah ilusi.
Ianya adalah contoh klasik bagaimana birokrat serta pegawai yang membina polisi gagal menyedari masalah utama yang sedang dihadapi oleh KPM. Singapura dan Jepun menduduki tempat pertama dan kedua dalam ranking PISA 2022 (Membaca & Sains), manakala untuk Matematik, Singapura di tempat pertama & Jepun di tempat kelima. Bahkan kemiskinan pembelajaran di Singapura & Jepun hanya sekadar 3% hingga 4% sahaja. Bagaimana kurikulum Malaysia boleh dikatakan setara dengan Singapura dan Jepun?
Mengemudi Kemahuan Politik Untuk Reformasi Kpm
Walaubagaimanapun Kerajaan Perpaduan mempunyai empat tahun lagi untuk menguatkan kemahuan politik (political will) untuk menggerakkan reformasi sistem pendidikan di KPM. Kesemua angka melibatkan prestasi PISA 2022 dan kemiskinan pembelajaran pasca pandemik yang didedahkan oleh World Bank bukanlah akibat langsung daripada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak setahun yang lalu.
Semua Kerajaan yang lalu termasuk Umno ketika mengemudi negara sebelum 2018 harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap masalah sistemik di dalam KPM kini, termasuk Kerajaan yang telah menutup sekolah paling lama di Asia Tenggara ketika pandemik berlaku di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Semuanya menyumbang secara tidak lansung kepada krisis yang sedang kita semua hadapi kini.
Sejak bertahun yang lalu saya telah cuba mengingatkan bahawa krisis kemiskinan pembelajaran yang telah kita hadapi sejak 2019 adalah sebuah bom jangka yang akhirnya akan menjurus kepada krisis keciciran dan bakal menimbulkan krisis produktiviti kepada negara pada masa depan. Laporan World Bank mengenai kemiskinan pembelajaran yang terbaru dan prestasi PISA 2022 Malaysia seharusnya menjadi sebuah ‘wake up call’ kepada pihak berwajib, atau jika tidak kita bakal berdepan dengan bencana yang tidak dapat kita ubati lagi di masa depan.