Dunia telah menyaksikan pertukaran kerajaan di Israel selepas parlimen (Knesset) meluluskan pembentukan kerajaan minoriti baharu pada 13 Jun 2021 dengan undian 60 menyokong dan 59 menolak. Siapa sangka, kekejaman Israel ke atas Palestin telah mengubah lanskap politik domestik Israel dan mengakhiri 12 tahun pemerintahan Benjamin Netanyahu sebagai Perdana Menteri.
Semasa ucapan terakhirnya sebagai Perdana Menteri di Knesset, Netanyahu telah memuji pentadbiran dan memberi amaran kerajaan baharu berideologi kiri ini bahaya dan tidak kekal lama.
Netanyahu juga tidak menghadiri upacara angkat sumpah Perdana Menteri baharu, Naftali Bennett pada 14 Jun 2021. Ramai penganalisis seperti Max Boot, seorang ahli sejarah dan kolumnis Washington Post menyamakan tindakan Netanyahu dengan sikap buruk Trump yang tidak menghadiri upacara angkat sumpah Joe Biden kerana tidak mahu menerima kekalahan pilihan raya.
Buat pertama kali, parti-parti yang berbeza ideologi membentuk gabungan politik di Israel. Terdapat hampir lapan parti politik telah membentuk gabungan baharu untuk membentuk kerajaan, antaranya Yamina (berhaluan kanan Yahudi), Yesh Atid (berhaluan tengah), dan Parti Buruh Israel (berhaluan tengah-kiri).
Menariknya, gabungan parti ini disertai sebuah parti Arab, iaitu Parti Arab Bersatu yang pertama kali menjadi sebahagian daripada kerajaan Israel. Menurut laporan The Times of Israel, Ketua Parti Arab Bersatu, Mansour Abbas berkata persetujuan membentuk gabungan parti ini dicapai untuk memperjuangkan nasib komuniti Arab yang tertindas di Israel.
Perkembangan politik Israel hari ini agak menarik. Siapa sangka parti Arab yang selama ini minoriti dan sering dipinggirkan rakyat akhirnya berjaya menjadi sebahagian daripada pentadbiran yang bakal membentuk dasar-dasar Israel. Namun, sejauh manakah gabungan politik baharu ini akan bertahan?
Kegusaran Kerajaan Minoriti
Proses untuk membentuk kerajaan baharu di Israel tidak mudah. Netanyahu telah menggunakan Speaker Knesset untuk melengahkan usul undi tidak percaya ke atas dirinya sebagai Perdana Menteri untuk menghalang pembentukan kerajaan baharu melebihi dua minggu. Dalam tempoh yang sama, pihak Netanyahu dan Naftali Bennett telah membuat percaturan politik untuk memastikan pihak mereka mendapat sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan.
Tapi, percaturan politik menolak kerajaan Netanyahu sudah dilaksanakan. Pada 2 Jun, Knesset telah memilih Presiden Israel yang baharu, Isaac Herzog, seorang yang berideologi Center-Left daripada Parti Buruh Israel, sebuah parti Sosialis yang menyokong penyelesaian ‘Two State Solution’ dalam konflik Palestin-Israel.
Isaac mengalahkan Miriam Perez yang pro Netanyahu dengan undian 87-26. Pertukaran Presiden Israel ini sedikit-sebanyak memberi naratif baharu politik Israel yang penuh kontroversi selama ini. Percaturan ini juga telah membantu gabungan politik baharu membentuk kerajaan di Knesset pada 13 Jun 2021.
Terdapat kebimbangan bahawa kerajaan minoriti Israel ini tidak akan bertahan lama. Penganalisis politik antarabangsa mempersoalkan bagaimana parti Arab ini dapat bertahan dengan Perdana Menteri baharu, Naftali Bennett, seorang yang keras, berhaluan kanan, dan kritikal menolak usaha damai dengan Palestin.
Sekiranya perbezaan dan persefahaman gagal diuruskan gabungan politik baharu ini, maka ia akan memberi jalan mudah kepada Netanyahu membentuk kerajaan. Tetapi, ini merupakan masa terbaik Israel untuk bereksperimentasi dengan politik baharu yang bakal menguji sistem tadbir urus dan integriti Israel.
Bolehkah Perdamaian Berlaku?
Ramai yang skeptik dengan melihat perubahan politik Israel ini tidak akan memberi kesan kepada usaha perdamaian Israel-Palestin. Mehdi Hasan, penganalisis politik di Al-Jazeera mendedahkan Natfali konsisten menolak ‘two state solution’ dalam konflik dengan Palestin.
Namun, George Birnbaum yang merupakan penasihat kempen bagi Natfali menyifatkan pendirian lampau Naftali telah berubah dan percaya Perdana Menteri Israel yang baru ini menjadi lebih bertanggungjawab dalam memimpin kerajaannya. Birnbaum menyatakan pandangan ini sebagai respon kepada soalan Mehdi Hasan ketika diwawancara MSNBC awal Jun lepas.
Melihat kepada keadaan semasa, tidak ada jalan mudah dalam isu Palestin-Israel. Malah, pentadbiran Palestin masih lagi tidak stabil apabila pilihan raya untuk memilih wakil rakyat dalam Majlis Perundangan Paestin (PLC) (seperti parlimen) masih belum dilaksanakan.
Pilihan raya yang sepatutnya berlaku pada 22 Mei tahun ini sudah ditangguhkan beberapa kali oleh Presiden Mahmoud Abbas daripada parti Fatah atas isu teknikal. Namun, parti Hamas yang mempunyai kerusi majoriti dalam PLC mendakwa Abbas sengaja melengahkan pilihan raya kerana sukar menerima hakikat bahawa Fatah akan kalah teruk pilihan raya nanti.
Apa yang diharapkan rakyat Palestin adalah Fatah-Hamas menubuhkan kerajaan perpaduan bagi menyatu dan membangunkan semula negara mereka, khususnya dalam menyatukan tadbir urus di Gaza (dikuasai Hamas) dan Tebing Barat (dikuasai Fatah). Ia juga dapat membantu Palestin menyatakan pendirian kukuh dalam konflik Israel apabila kerajaan perpaduan dibentuk.
Walau apa pun, perbezaan politik tidak menghalang pemimpin Israel menolak Netanyahu yang angkuh dan sombong sebagai Perdana Menteri. Pengajaran dalam isu ini mudah. Selama mana pemimpin yang jahat dan tidak bermoral cuba bertahan, kalau rakyat dan pemimpin tolak, maka dia akan tumbang.
Akhirnya, pemimpin Israel menolak Netanyahu dengan menggunakan undi di parlimen, tidak perlu senjata dan peluru untuk menundukkan pemimpin keras kepala dan zalim ini. Dengan undi sahaja Netanyahu sudah boleh berambus. Justeru, orang yang mengatakan undi tidak membawa perubahan atau parlimen tidak ada kesan kepada negara, adalah sama sekali tidak tepat.
Sekarang, kita boleh tunggu dan lihat bagaimana kerajaan baharu Israel dan pilihan raya Palestin akan datang mampu mempengaruhi kuasa besar Amerika Syarikat (AS) untuk pergi ke meja rundingan bagi menyelesaikan pelan damai antara kedua-dua belah pihak. Mampukah Israel dan Palestin berdamai nanti?
Fakhrurrazi Rashid berkelulusan Kajian Politik dan Pemerintahan di UNIMAS, Sarawak. Orang panggil Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia. Bapa muda kepada Aleesa yang peduli dengan nasib generasi akan datang. Menulis untuk mengganggu pemikiran orang supaya berfikir dan mengkritik.