Perincian Prosa Lisan Dalam Kesusasteraan Rakyat

Setelah berlakunya kelahiran kesusasteraan dalam aliran kehidupan masyarakat Melayu, masyarakat dibangunkan dengan pemikiran, lantas mencerminkan sikap serta kebudayaan mengikut zamannya. Sastera rakyat atau sastera lisan merupakan genre kesusasteraan yang terawal dalam masyarakat. Menurut Kamus Kesusasteraan (2015), sastera lisan didefinisikan sebagai bentuk karya sastera yang muncul dalam masyarakat pratulisan, dicipta dan disampaikan secara lisan. Selain berfungsi sebagai hiburan, sastera lisan juga menceritakan tentang kewujudan nilai dan pengajaran. Siti Zaleha M. Hashim (2013) memperakukan sastera lisan bukan sahaja dianggap sebagai hiburan, malah merupakan wahana penting untuk mengasuh, mendidik, mengajar dan membentuk perilaku masyarakat terutama generasi muda. Oleh sebab itu, sastera lisan ini menjadi lebih kukuh dalam jiwa masyarakat setelah wujudnya sistem pembukuan bahkan dipermudahkan lagi dengan pembahagaian genre dalam sastera lisan.

Walaupun fasa sastera lisan kelihatan sering hanyut dengan teknologi tetapi para ilmuwan dalam bidang sastera telah mengklasifikasikan sastera lisan kepada beberapa bahagian bagi memudahkan masyarakat kini faham dengan lebih terperinci. Salah satunya ialah cerita binatang. Cerita binatang merupakan sastera lisan yang terawal dalam masyarakat Melayu dan dipercayai sebagai cerita tertua sama usianya dengan cerita asal usul. Masyarakat Melayu dahulu sememangnya sinonim dengan binatang kerana kebanyakan daripada mereka menjalani kehidupan di kampung, di pinggir-pinggir hutan, di lereng sungai dan sekitar bukit bukau. Oleh sebab penempatan mereka sedemikian rupa, mereka mendapat ilham daripada binatang-binatang yang wujud sekitar mereka. Antara cerita binatang yang termasyhur dalam masyarakat Melayu ialah Sang Kancil. Kini, cerita animasi yang bejudul ‘Pada Zaman Dahulu’ terbitan Les’ Copaque telah mengemukakan watak Sang Kancil sebagai peneraju dalam memberi pengajaran kepada kanak-kanak. Oleh itu, cerita binatang dapat membimbing masyarakat supaya lebih cakna akan nilai dan pengajaran yang disampaikan daripada sesebuah cerita.

Selain itu, cerita penglipur lara. Cerita ini merupakan cerita yang bertujuan untuk menghiburkan hati yang duka. Cerita ini yang terkandung unsur dongeng dan mempunyai beberapa orang watak seperti putera raja yang menjadi wira serta puteri raja pula menjadi wirawati dalam cerita penglipur lara ini. Ismail Yusoff (2008) menyatakan usaha mengumpul cerita penglipur lara telah dimulakan pada kurun ke-19 oleh orientalis Barat seperti William Maxwell, Wilkinson, A. J. Sturrock dan R. O. Winstedt. Cerita penglipur lara mempunyai tukang cerita yang tersendiri sama ada tukang cerita itu profesional ataupun amatur. Ada juga daripada individu dalam masyarakat Melayu melakukan kerja sambilan menjadi tukang cerita dan dikatakan hanya sekali dalam lima tahun mereka melakukan persembahan. Ketika persembahan dijalankan di hadapan khalayak, alat muzik seperti rebab, biola, batil, gendang keling juga turut dimainkan bahkan ada juga yang tidak menggunakan alat pengiring. Salah satu cerita penglipur lara yang terkenal ialah Hikayat Malim Deman. Malim Deman seorang yang gagah dan berani dan mempunyai kuasa sakti. Isterinya Puteri Bongsu berasal dari kayangan yang mempunyai keperibadiaan yang cantik, pemaaf dan penyayang. Secara kesimpulannya, cerita penglipur lara dapat dikategorikan sebagai cerita yang berlegar-legar dengan kehebatan dan kesaktian putera raja.

Kewujudan cerita asal usul ini sememangnya datang daripada nenek moyang kita yang bermukim di sesuatu tempat dan mendapat ilham daripada sesuatu peristiwa yang berlaku serta melihat seseuatu yang ajaib berlaku dengan pancaindera mereka. Darmabakti (1986) menyabitkan cerita asal usul merupakan cerita yang tertua sekali di antara sastera lisan yang lain. Sebagai cerita lisan yang tertua, unsur dongeng semestinya muncul dalam galur penceritaan yang ada. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya cerita asal usul ini kadangkala tidak masuk dek akal untuk memikirkannya. Cerita asal usul ini telah dijadikan sebagai pegangan masyarakat Melayu kerana dengan cerita ini sebahagian daripada warisan turun temurun nenek moyang kita terdahulu. Sebagai contoh cerita asal usul yang wujud dalam masyarakat Melayu ialah cerita Pembukaan Kota Melaka. Parameswara yang berehat di bawah pokok Melaka telah melihat satu kejadian yang aneh iaitu seekor pelanduk menendang seekor anjing pemburunya. Tuntasnya, unsur-unsur mitos, kejadian luar biasa serta kepercayaan masyarakat setempat yang mewarnai tradisi lisan yang disampaikan dari generasi ke generasi.

Di samping itu, kelahiran cerita mitos dalam masyarakat Melayu sering digambarkan dengan unsur-unsur keagamaan dalam sesebuah kisah yang disampaikan kepada masyarakat. Cerita mitos pada dasarnya merupakan cerita yang mampu membuatkan masyarakat Melayu kagum akan kehebatan dan keajaiban sesuatu mahkluk atau dewa yang berkaitan rapat dengan manusia. Cerita mitos juga boleh mempengaruhi khalayak meskipun mempunyai unsur tahyul yang tidak mampu difikir oleh akal manusia. Sebagai contoh cerita mitos yang masih menjadi bualan masyarakat Melayu sehingga kini ialah ‘Hikayat Merong Mahawangsa’. Sebagaimana yang kita ketahui, Merong Mahawangsa merupakan anak dewa yang beran dan bijaksana membuka kerajaan di Kedah. Isterinya pula berketurunan raksasa dan gergasi. Menerusi penceritaan tersebut, Merong Mahawangsa bermatiaan berperang dengan burung Garuda sehinggakan beliau sendiri yang memanah burung Garuda sebelum datangnya burung Jentayu. Melalui penceritaan ini, kita dapat melihat unsur Hindu Buddha dimasukkan dalam penceritaan kerana ketika itu masih wujud masyarakat Melayu yang beragama Hindu Buddha walaupun Islam telah dibawa masuk ke kawasan orang Melayu.

Bagi cerita legenda pula, kelahiran cerita ini telah membuka mata masyarakat Melayu tentang wujudnya sesuatu tempat yang dianggap sebagai tempat bersejarah malah menceritakan kejadian aneh yang berlaku terhadap seseorang individu. Cerita ini mempunyai persamaan yang hampir dengan cerita mitos kerana terselit perkara yang ajaib dan menyebakan masyarakat kurang percaya dengan kejadian yang berlaku. Walau bagaimanapun, cerita legenda dapat diperhatikan dari sudut penceritaan seseorang individu yang sememangnya wujud dan dikategorikan sebagai manusia yang mepunyai jasad dan roh. Salah satu cerita legenda ialah Hang Tuah. Sebagaimana yang kita ketahui, Hang Tuah merupakan pahlawan yang handal ketika zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka ketika itu. Sikapnya yang pintar, berani dan taat kepada raja inilah yang membuatkan seluruh masyarakat Melayu kagum dengan Hang Tuah. Oleh sebab itu, kedatangan cerita legenda dalam masyarakat bukanlah untuk dijadikan sebagai hiburan semata-mata tetapi mempunyai nilai sejarah yang tinggi khususnya kepada masyarakat Melayu.

Seterusnya, cerita jenaka menampilkan watak dan perwatakan yang lelucon sehingga mampu memberikan hiburan kepada khalayak pendengar. Watak utama dalam cerita jenaka kebanyakannya menonjolkan perwatakan seorang yang bodoh. Hal ini turut diperakui Siti Zaleha M. Hashim (2013) yang menyatakan sifat bodoh yang ditonjolkan merupakan salah tafsir watak utama terhadap sesuatu perkara sehingga mengakibatkan watak utama ini melakukan sesuatu yang salah dan aksinya menimbulkan kelucuan. Salah satu cerita jenaka yang tergolong dalam golongan bodoh ialah Lebai Malang. Lebai Malang merupakan seorang ahli agama yang dikenali masyarakat tetapi malangnya dia seorang yang tamak. Kisah dia berhenti di pokok nira kabungnya itu mengudang malang, akibat lempengnya yang ditinggalkan telah dilarikan anjing bahkan nira dalam buluh itu pecah kerana dia melontarnya kepada anjing tersebut walaupun tidak mengena. Melalui cerita jenaka ini, mereka memasukan nilai-nilai murni dan pengajaran kepada masyarakat bahkan menjadi hiburan kepada pendengar dan pembaca.

Secara kesimpulannya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan cakna dalam memartabatkan sastera lisan dalam masyarakat khususnya masyarakat Melayu. Walaupun sastera lisan ini tugasnya perlu digalas oleh masyarakat, kerajaan juga perlu memainkan peranan bagi mengetengahkan kesusasteraan lisan kepada rakyat melalui pendedahan awal. Secara tidak langsung, masyarakat Melayu yang bergelumang dengan arus modenisasi dapat menilai semula jati diri bangsa dan memupuk rasa kecintaan terhadap sastera lisan yang seharusnya dipelihara zaman-berzaman.

Tentang Penulis

Muhammad Afif Zulhusni adalah siswa Universiti Malaysia Kelantan dalam jurusan Kesusasteraan Warisan. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen