Perhambaan Dalam Islam

Beberapa minggu yang lepas, saya terlihat perbualan-perbualan hangat di media sosial khususnya di Twitter mengenai soal perhambaan dalam Islam. Intipatinya merupakan dimana kedudukan Islam mengenai amalan perhambaan serta apakah Islam menghalalkannya secara mutlak sedangkan Islam begitu menitikberatkan kesamarataan sejagat. Kedua-dua belah pihak yang saling bertukar fikiran itu masing-masing mengambil sudut pandang anachronistic yang tidak sesuai dengan gambaran serta konteks yang berada pada zaman itu. Oleh itu, saya akan cuba mengupas perkara ini dengan seadil yang mungkin.

Apa yang saya tulis ini kebarangkalian besar telahpun diulas baik oleh Dr. Jonathan Brown di dalam bukunya Slavery in Islam. Sekiranya anda ingin mempelajari hal ini dengan lebih lanjut, silakan untuk menelaahnya kerana saya hanya memberi ulasan ringkas.

Oleh itu, adalah suatu hal yang mustahak untuk kita tanya apakah maksud perhambaan itu sendiri. Dr. Brown memperlihatkan kesukaran untuk menentukan maksud perhambaan yang tuntas kerana betapa citranya amalan ini, berbeza-beza dalam tiap-tip kebudayaan yang merentas agama. Sebagai contoh, istilah perhambaan sekarang boleh ditakrifkan kepada amalan membenarkan jual beli individu melalui akad sehala. Dalam erti kata lain, individu yang dijadikan hamba tidak dapat menikmati hak-hak asas seperti manusia lain dan tarafnya hanya sepadan dengan sesuatu harta.

Pada permukaannya, istilah ini sudah cukup untuk untuk menerangkan intipati perhambaan dengan baik sekali. Walau bagaimanapun, istilah ini berkembang maknanya dengan konteks yang berbeza, yang jelas tidak dapat menggambarkan perbezaan merentas budaya. Sebagai salah seorang pelajar dalam bidang sejarah serta budaya dunia, memahami amalan-amalan di muka bumi ini kerapnya berbeza walaupun masih menggunakan istilah yang sama adalah sesuatu yang amat mustahak.

Konteks yang telah difahami orang kita pada ketika ini mengenai amalan perhambaan adalah amalan perhambaan di Amerika Syarikat. Perhambaan suku-suku benua Afrika, lelaki dan wanita diculik daripada pedagang hamba, dicabut dari keselesaan rumahnya sendiri, disumbat bagaikan lembu di perut-perut kapal, lantas dilelong dan dijual kepada pemilik tanah tanaman yang saban hari tidak segan melibas cemeti mengukir luka di badan. Jika ditanya orang ramai, gambaran ini yang akan keluar sekiranya kita menyoal apakah perhambaan, terus terpampang wayang gambar Kunta Kinte.

Gambaran ini muncul dek kekerapan pendedahan budaya ini dalam kehidupan seharian budaya pop, juga dek betapa kejamnya amalan orang putih Amerika. Walau bagaimanapun, seperti yang telah saya telah ulaskan di atas, amalan perhambaan itu citra nan bukanlah sama dalam setiap kaum. Malahan, ada juga amalan yang lebih dekat dengan perhambaan tetapi tidaklah dipanggil perhambaan jika kita mengambil takrif “buruh paksa” dalam makna perhambaan. Sebagai contoh, amalan serfdom ketika zaman pertengahan Eropah; mereka bebas untuk berjual beli, makan dan sebagainya, tetapi usaha buruh mereka terikat dengan tanah yang disediakan Tuan Tanah. Segala hal-ehwal mereka dikawal oleh Tuan Tanah dalam pelbagai sudut. Selain itu, buruh hutang (amalan ini juga dipanggil perhambaan dalam dunia Melayu: hamba hutang) yakni apabila seseorang itu tidak dapat membayar hutang, maka jiwanya akan terikat dengan pemberi hutang. Amalan-amalan ini jarang sekali dibincangkan sebagai perhambaan, namun masih masuk akal untuk kita sebut perhambaan. Kita dapat perhatikan kecitraan perhambaan itu sendiri.

Oleh itu, apakah yang berbeza mengenai amalan perhambaan di dalam Islam?  Apa yang disyorkan dalam Islam, amalan perhambaan mestilah juga menitik beratkan hal-hal hak asasi manusia. Pemilik hamba tidaklah boleh sewenang-wenangnya melayan hamba dengan kekerasan, dan masih tertakluk pada Syariah sekiranya terdapat aduan daripada hamba. Pemilik hamba juga mestilah memberikan makan minum kepada hambanya, selain daripada wang poket. Bahkan, membebaskan hamba itu adalah suatu amalan yang amat mulia dan hamba itu boleh membeli kembali kebebasannya sendiri dengan jumlah wang poket dikumpul. Perlu diingatkan, amalan perhambaan ini bukan sesuatu yang baru datang dari Islam, namun sisa baki amalan zaman Jahiliah Arab ketika itu. Islam mengubahnya malahan meringankan amalan ini, bertujuan untuk menghapuskannya sedikit demi sedikit kerana sumbangannya yang masih besar pada ekonomi Muslim ketika itu. Ini merupakan keadaan ideal, apa yang ingin digapai oleh Syariah mengenai perhambaan atau secara ringkasnya, dibenarkan tetapi ditegah.

Amalan ini dapat dilihat dalam hidup Perdana Menteri Uthmaniyah, Sokullu Mehmet Pasha. Dia merupakan salah satu Perdana Menteri yang hebat dalam babad Uthmaniyah, berkhidmat di bawah tiga Khalifah; Sulaiman Kanuni, Salim II dan Murad III. Projek-projeknya tersebar luas dalam empayar Uthmaniyah, kebanyakannya direka khas oleh Arkitek Agung Mimar Sinan. Hakikatnya, dia hanyalah seorang hamba Khalifah yang bernilai 80 Juta Dukat emas (atau USD12 billion). Diambil dari kecil melalui system Devshirme, menerima pendidikan Janissari, dan akhirnya dilantik menjadi orang-orang kanan istana. Hidupnya merupakan salah satu contoh bahawa seorang hamba, secara Syariah, masih boleh memiliki harta, menerima pangkat, dan berkahwin seperti biasa (dia kahwin dengan puteri Khalifah). Cuma hidupnya perlulah berada dalam khidmat Khalifah. Inilah kecitraan yang dibincangkan, bahawa amalan perhambaan adalah berbeza dalam tiap-tiap budaya.

Tetapi ada saat dalam sejarah Muslim yakni undang-undang yang ditetapkan Syariah mengenai perhambaan dilanggar oleh pemerintah. Pada sekitar tahun 800 masihi, pemerintah Abbasiyah memerintahkan kawasan selatan Iraq yang terbiar diusahakan bagi menambah keluaran makanan yang boleh memacu ekonomi kerajaan Abbasiyah. Bangsawan yang kaya-raya mulai menghantar hamba-hamba mereka untuk pergi ke kawasan itu, membanting tulang membersihkan kawasan untuk tanaman. Walau bagaimanapun, mereka tidak diuruskan terus oleh bangsawan tersebut, namun mandur-mandur yang dilantik. Mandur ini mengerah tenaga hamba-hamba ini dengan kejam, tidak diberi makan minum, pakaian pun tidak diberikan. Tempat tidur mereka lebih sesuai dipanggil perigi buta berbanding sebuah bilik. Kebuluran dan kematian mulai meningkat antara hamba itu. Bak kata Dr. Alexandre Popovic dalam kajian kedoktorannya, keadaan hamba yang daif itu sangatlah asing dalam sejarah layanan Muslim terhadap hamba. Keadaan ini menambah perasaan tidak puas hati hamba-hamba ini, dan akhirnya terjadilah Penentangan Zanj pada tahun 869 masihi. Diketuai oleh Ali ibn Muhammad, mereka menyusun gerak-geri mereka dan berjaya mengalahkan tentera Abbasiyah. Kejadian ini memberikan kesan yang besar kepada kerajaan Abbasiyah, mengurangkan perbendaharaan negara. Malahan, di dalam dunia Islam, tidak lagi amalan perhambaan ini berterusan dan undang-undang Syariah mengenai perhambaan dipatuhi oleh kebanyakan pemerintah.

Kita nampak bahawa sudut pandang anachronistic tidaklah padan untuk digunakan dalam menerangkan hal-hal sejarah, terutamanya mengenai perhambaan. Sekarang ini, kita pun sedikit-sebanyak sudah faham mengapa pasal asal-usulnya amalan perhambaan ini dibenarkan di dalam Islam (walaupun terdapat banyak undang-undang yang perlu dipatuhi). Tetapi, hal ini tidaklah ingin mengatakan bahawa perhambaan ‘patut’ untuk dijalankan semula, Islam juga telah menggariskan bahawa amalan ini dibenarkan namun masih ditegah.

Sejak bila perhambaan diharamkan di dalam Islam? Pada tahun 1846, dengan perbincangan Ulama serta Faqih, pemerintahan Tunisia Uthmaniyah, Ahmad Bey, mengeluarkan firman (bersamaan dengan titah) dalam pengharaman perhambaan. Selari dengan permulaan zaman moden awal abad ke-19, pandangan ini dijalankan berdasarkan keperluan untuk memiliki hamba adalah tidak lagi sesuatu yang mustahak bahkan akan mengakibatkan penyelewengan. Firman ini merupakan suatu firman yang pertama sekali dibuat dalam sejarah Islam, malahan berjaya mempengaruhi warga Amerika Syarikat melalui berita yang disampaikan oleh duta Amerika di Tunis, Samuel Daniel Heap kepada Presiden James K. Polk.

Sebagai kata-kata akhir, perhambaan dalam Islam adalah tidak sama dengan perhambaan Barat. Walau bagaimanapun, keizinan perhambaan dalam Islam mempunyai matlamat untuk memberhentikannya, dan jika tidak tercapai hak-hak kemanusiaan masih tetap perlu dijaga. Perbincangan yang menggerakkan hati saya untuk menulis ini pun, memberikan pengajaran pada kita, yakni ilmu sejarah dan ketamadunan adalah rumit serta perlu diperhatikan dalam pelbagai sudut pandangan. Keengganan mereka untuk berhenti sebentar dan melihat mana bahagian ilmu yang tidak cukup hanya mendedahkan kesombongan mereka terhadap ilmu malahan menunjukkan mereka berbincang bukan dengan tujuan untuk menggapai kebenaran tetapi untuk memuaskan hati masing-masing. Semoga menjadi pengajaran untuk kita semua.

Komen