Percaturan Politik Malaysia

Politik adalah angka.

Di Malaysia, berapa ramai ahli Dewan Rakyat yang berjaya dikumpulkan menjadi ukuran untuk membentuk sebuah kerajaan. Perkumpulan ini boleh sahaja hadir dalam bentuk satu parti politik, atau dalam bentuk gabungan beberapa parti politik.

Di dalam negara yang majmuk dengan pelbagai kaum, agama dan budaya; adalah hampir mustahil untuk mana-mana parti politik secara tunggal membentuk kerajaan dengan sendirinya. Ini terbukti jelas dengan sejarah politik negara mencatatkan bahawa kerajaan hanya pernah wujud melalui gabungan parti-parti seperti Perikatan, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Beberapa parti politik perlu duduk semeja mencapai konsensus untuk memerintah bersama, sesuatu yang membezakan Malaysia dengan banyak negara lain seperti Indonesia, Singapura, United Kingdom atau Amerika Syarikat.

Pembentukan kerajaan melalui gabungan parti-parti politik, walaupun dapat menjamin kepentingan setiap pihak untuk diwakili bagaimanapun ada kelemahannya. Dan kelemahan ini terbukti jelas pasca PRU-14 apabila gabungan seperti Barisan Nasional berpecah sejurus tamat pilihan raya umum apabila Gerakan mengumumkan keluar dan parti-parti Sarawak pula memilih untuk menubuhkan gabungan baharu beranam Gabungan Parti Sarawak (GPS). Manakala yang terkini menjadi mangsa pula adalah pembubaran Pakatan Harapan akibat usaha-usaha menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’.

Ini adalah percaturan politik Malaysia. Selepas 23 Februari 2020, keadaan politik negara tidak menentu apabila Pakatan Harapan dibubarkan dengan Bersatu memilih untuk keluar dari gabungan tersebut manakala sekelompok ahli parlimen PKR pula menubuhkan Blok Azmin dan keluar parti. Akibat dari tindakan ini, Pakatan Harapan hilang majoriti di dalam Dewan Rakyat. Tetapi pada masa yang sama, tidak ada mana-mana parti yang mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baharu, bahkan gabungan parti seperti Barisan Nasional juga tidak mempunyai angka yang cukup untuk menggantikan kerajaan Pakatan Harapan tadi.

Lantaran itu keunikan yang kita hadapi pasca PRU-14 ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara. Buat pertama kalinya tiada parti tunggal atau gabungan parti yang boleh menubuhkan kerajaan dengan sendirinya. Satu-satunya cara yang ada ialah mewujudkan apa yang kita panggil kerajaan campuran, dimana parti-parti atau gabungan-gabungan parti perlu bekerjasama mendapatkan majoriti dan mencapai kesepakatan untuk bersama menubuhkan kerajaan campuran yang baharu.

Dalam senario ketika artikel ini ditulis, percaturan politik Malaysia terlihat seperti berikut:

Pecahan Kerusi Mengikut Parti (Lima Parti Utama)

1)  DAP – 42 kerusi

2) PKR – 39 kerusi

3) UMNO – 39 kerusi

4) BERSATU – 26 kerusi

5) PAS – 18 kerusi

Pecahan Kerusi Mengikut Gabungan Parti (Tiga Gabungan Utama)

1) Pakatan Harapan – 92 kerusi

2) Barisan Nasional – 42 kerusi

3) Gabungan Parti Sarawak – 18 kerusi

Senario pecahan di atas memperlihatkan bagaimana tidak ada mana-mana parti atau gabungan parti yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Lantaran persoalan seterusnya ialah bagaimana kerajaan baharu dapat dibentuk dalam keadaan Dewan Rakyat yang tergantung seperti ini?

Jawapan kepada persoalan itu mungkin ada pada apa yang berlaku pada petang Isnin, 23 Februari 2020. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru sahaja meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri telah menghadap Yang Di Pertuan Agong dan telah mendapat perkenan untuk memegang jawatan Perdana Menteri secara interim (sementara).

Rata-rata, kita semua tidak pasti apakah yang dimaksudkan sebenarnya dengan Perdana Menteri Interim. Bahkan persoalan sama ada istilah atau jawatan sedemikian memang wujud dalam sistem pemerintahan negara turut menjadi pertikaian. Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara adanya Perdana Menteri Interim, maka persoalan apakah fungsi dan peranan Perdana Menteri Interim ini menjadi tanda tanya semua pihak.

Tetapi apa yang boleh disimpulkan, Perdana Menteri Interim mungkin berperanan untuk memastikan pentadbiran negara dan badan eksekutif masih berjalan seperti biasa, selain mewujudkan situasi adanya kepimpinan dalam Dewan Rakyat dan pemerintahan kerajaan.

Seterusnya, apakah yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri Interim apabila menyentuh hal penubuhan kerajaan baharu yang sah?

Jika dilihat dari percaturan politik Malaysia yang ada sekarang, telahan yang boleh dibuat ada dua.

Pertama, Perdana Menteri Interim akan membiarkan pemimpin-pemimpin parti yang ada untuk berkempen dan tawar menawar bagi mendapatkan sokongan dari parti-parti yang lain. Pemimpin utama seperti Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin dan juga Azmin Ali akan berencana untuk mendapatkan majoriti yang diperlukan bagi menubuhkan gabungan parti yang baharu seterusnya kerajaan baharu. Dan mereka-mereka inilah yang akan menghadap Yang Di Pertuan Agong dengan angka yang mereka ada sekaligus mendapatkan apa yang diidamkan, iaitu jawatan Perdana Menteri.

Telahan kedua pula melibatkan Perdana Menteri Interim membiarkan pemimpin politik yang ada membuat kerja untuk dirinya. Dalam kata lain, baik Pakatan Harapan atau Barisan Nasional perlu berkempen mendapatkan sokongan dan angka dari parti atau gabungan parti yang lain seperti PAS, WARISAN, Gabungan Parti Sarawak atau Blok Azmin untuk memperolehi majoriti mudah. Angka yang ada ini kemudian akan dipersembahkan kepada Perdana Menteri Interim untuk digunakan beliau bagi menghadap Yang Di Pertuan Agong lalu menubuhkan kerajaan baharu.

Ya, dalam telahan kedua ini yang untung ialah Perdana Menteri Interim. Yang perlu buat beliau ialah duduk diam dan menanti siapa yang sudah ada angka majoriti mudah untuk dipersembahkan sebagai ufti. Dalam senario percaturan politik Malaysia hari ini, dimana Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu-satunya pemimpin yang jauh mengatasi pesaing lain baik Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Muhyiddin Yassin dan juga Azmin Ali; hampir semua parti dalam Dewan Rakyat perlukan beliau untuk mereka menjadi kerajaan.

Telahan yang mana akan berlaku, hanya akan dapat kita lihat apabila habis permainan catur politik ini.

Komen