Ribuan tahun dahulu, di Athens sebuah kota terbesar di Yunani yang berasalnya sistem pendemokrasian, wujudnya satu sistem yang dinamakan ostracism (pemulauan). Ostracism ini pada asalnya merupakan satu kaedah untuk meneutralkan fikiran penduduk yang menjadi ancaman kepada negara atau tirani. Istilah ini berasal dari perkataan ‘ostrakon’ yang bermaksud ‘sekeping tembikar yang pecah’. Di atas kepingan tersebut akan ditulis nama calon pengundi yang akan dipulaukan dan akan dibuang dari Athens selama 10 tahun.
Kembali ke abad ke-21, di mana media sosial menjadi ‘imam’ bagi manusia sejagat, ostracism telah dinaiktarafkan menjadi cancel culture (budaya pengenyahan). Cancel culture ialah satu budaya popular (pop culture) dipercayai mula muncul pada tahun 2017 di Twitter dengan gerakan #MeToo yang mana gerakan tersebut menentang penderaan dan gangguan seksual di tempat kerja. Gerakan ini berjaya menyedarkan satu dunia dengan hanya menggunakan tanda pagar di Twitter dan ia telah menjadi satu gerakan yang menggoncang dunia.
Khairul Aming dalam ciapan Twitternya gusar terhadap cancel culture yang berleluasa dalam alam siber. Kerisauannya berasas kerana mungkin terdapat netizen yang akan menunggu beliau untuk berbuat salah, dan pada ketika itulah, dia akan dinyahkan oleh masyarakat melalui media sosial.
Cancel culture ini mengakibatkan satu sosok, ataupun satu organisasi ‘jatuh’ dengan hanya makian dan cercaan para netizen yang datang entah dari mana-mana. Kepercayaan masyarakat mula hilang apabila sudah di’cancel’ di dalam media sosial.
Sosok atau organisasi tersebut tidak tertentu bagi public figure atau ahli politik sahaja, tetapi ia akan merebak kepada semua orang tanpa mengira pangkat. Setakat ini, hipotesis yang kita dapat lihat; semakin masyhur seseorang di dalam media sosial, semakin mudah untuk dinyahkan.
Pengenyahan ini berlaku apabila seseorang tersebut melakukan kesalahan – sama ada secara sedar atau tidak. Kita tidak perlu lagi mengundi seperti rakyat Athens ribuan tahun dahulu, tetapi hanya perlu menjentik emosi ‘tentera bawang’ untuk mengenyahkan individu-individu tertentu.
Contoh terbaru ialah bagaimana tentera bawang Malaysia telah menggegarkan akaun Twitter milik Ido Daniel dengan tanda palang #KoyakToYouToo. Gerakan ini berjaya untuk ‘mengoyakkan’ pemilik Twitter tersebut dan menjadi sohor kini di seluruh Malaysia bahkan mungkin di seluruh dunia.
Kebiadaban tentera Israel menyerang Palestin telah mendapat reaksi dari seluruh dunia dan juga Malaysia. Ia menyebabkan rakyat Malaysia bertungkus-lumus menyerang media sosial milik Israel dan juga penggodam Malaysia dan Indonesia bersatu untuk menyerang laman-laman sesawang milik Israel.
Gerakan ini tercetus dari berita yang terlalu cepat beredar dalam media sosial. Persoalannya sekarang, adakah berita yang terlalu cepat ini dapat menyenangkan semua pihak? Saya tidak menganggap perkara ini sebagai satu budaya yang buruk atau baik sepenuhnya. Tetapi ia perlu didahului dengan pertimbangan akal yang waras. Dari empirikal saya sendiri, cancel culture ini mudah merebak apabila kita mengimani satu-satu fahaman yang sama dengan orang lain.
Fahaman yang kita anuti sebagai orang Islam dan juga menolak sebarang bentuk peperangan dapat mewujudkan satu gerakan yang dapat menyatupadukan rakyat untuk menolak rejim Zionis seperti contoh di atas tadi.
Contoh cancel culture yang lain, yang mana saya sering bercanda dengan rakan-rakan saya dengan gurauan, “kau boleh mengutuk dan mencerca sesiapa sahaja, tetapi bukan K-pop.” Februari lalu saya masih ingat lagi bagaimana K-pop stan menyerang Janna Nick di atas kekhilafan beliau di Instagram yang menulis ‘Lisa Blackpig’. K-pop stan tidak berdiam diri dan terus menyelar Janna Nick dengan #JannaNickGoingToJailParty dan mengakibatkan dia menutup seketika Instagram, Facebook dan Twitter miliknya.
Saya lihat, dan kita perlu akui, di Malaysia ini fanbase K-Pop sangat kuat dan utuh. Ia ibarat satu cult atau fahaman yang tidak dapat dibendung. Fanbase ini secara mudah untuk meng’cancel’kan seseorang bahkan dengan mudah juga untuk mengumpulkan ‘tentera’ untuk membuat kebajikan.
Sebagai contoh, terjadi pada tahun lalu, BTS Army di Malaysia telah mengadakan satu kempen untuk menolong rakyat Sabah yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Mereka berjaya mengumpulkan sekitar RM20,000 dengan kempen #BTSArmyHelpSabah di Twitter.
Banyak lagi sosok atau organisasi yang terlibat atau terpalit turut merasa budaya ini; dari pimpinan-pimpinan politik, ahli-ahli parlimen, artis, influencers, sehinggalah pada kedudukan paling tinggi – orang-orang istana; pernah terjebak sama dinyahkan oleh masyarakat hanya melalui media sosial.
Masalah dalam cancel culture ini ialah semua benda hendak dinyahkan. Mungkin ini kesan dari herd mentality – satu-satu tindakan seragam atau yang sama dibuat oleh ramai orang, akan mempengaruhi kita untuk membuat tindakan yang sama, tujuannya adalah untuk kita dapat fit into society.
Baru-baru ini di Twitter, ‘Farah’ telah sohor kini akibat dari ciapannya bahawa dia tidak mahu cakna akan isu Palestin-Israel ini dan turut menyalahkan Palestin kerana tidak lari dari negara tersebut untuk menyelamatkan diri. Dengan hanya satu ciapan, terus dapat menduduki tangga pertama dalam papan carta Twitter (Malaysia).
Saya beranggapan bahawa ada lagi ‘Farah’ yang lain di luar sana (dalam konteks ‘tidak ambil kisah mengenai isu Palestin’), sama ada untuk isu Palestin-Israel ini ataupun isu-isu lain. Dengan contoh Farah ini, hipotesis saya menyatakan bahawa di media sosial yang penuh dengan budaya pengenyahan ini, adalah lebih baik kita untuk berdiam diri, tidak menulis apa-apa kerana kita tidak akan mampu untuk berbeza pendapat dari pendapat majoriti.
Cancel culture ini akan menjadi barah dan juga boleh menjadi penawar. Media sosial sebagai satu alat, dan kitalah yang menggunakan alat tersebut untuk membuat kebaikan atau keburukan. Era ini, dengan mudah untuk meng’cancel’kan orang, tetapi adalah sedikit sukar untuk membaiki kembali kerosakan – damage has been done.
Kesimpulannya, pertama, cancel culture ini dapat memusnahkan seseorang atau satu-satu organisasi sekelip mata. Kedua, dengan budaya popular ini jugalah kita akan dapat lihat bagaimana masyarakat hari ini menggunakan akal untuk bertindak atau membuat keputusan.
Naim Al-Kalantani, graduan ijazah sarjana muda dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini menyambung pengajian di peringkat sarjana seni di universiti yang sama.