Pelopor-pelopor teori elit politik Machiavellian seperti Mosca, Pareto dan Robert Michels jelas memperakui dalam sesebuah organisasi akan wujudnya dua buah kelompok iaitu kumpulan pemerintah (ruler) dan kumpulan yang diperintah (ruled by). Hasil-hasil penulisan ketiga-ketiga tokoh pemikir ini banyak menumpukan kepada sifat dan amalan elit-elit politik dalam sesebuah parti politik selain daripada penguasaan elit politik sebagai sebuah keberangkalian yang tidak boleh dielakkan .
Berlainan pula dengan C.W. Mills yang melihat pengaruh elit ini daripada struktur kesatuan buruh di Amerika Syarikat pada era Perang Dunia ke-2 dan sejurus selepas itu. Selain itu, Mills juga turut melihat pengaruh tentera dalam sfera politik Amerika Syarikat pada tempoh yang sama, serta turut punya hubungan dengan kaum pemodal dan pengilang senjata. Justeru itu, penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia ke-2 bagaikan sudah dibina sifirnya sejak awal lagi.
Malaysia juga tidak lari daripada persoalan dan kecelaruan berkenaan dengan elit politik. Sejarah lampau yang tidak hanya terhad kepada kegemilangan kerajaan Melayu Melaka menyaksikan penjajaran struktur elit politik di Malaysia sentiasa akan berlangsung dan memberikan kesan kepada masyarakat umum tanpa mengira kesan baik atau sebaliknya.
Kajian Ahamad Jama’ Amin et. al (2016) menyaksikan permulaan kepada struktur elit politik Melayu dan pemusatan kuasa banyak berkisarkan kepada konsep devaraja. Bayangan tuhan di muka bumi pada zaman tersebut tidak lain tidak bukan, raja-raja Melayu. Hal ini menyaksikan kerangka rejim Melayu tradisi berkisarkan kepada penguasaan penuh institusi raja-raja Melayu pada ketika itu. Pemusatan top-down ini menyaksikan hanya wujud dua kelompok sahaja pada era tersebut iaitu, golongan beraja/bangsawan (kelas pemerintah) serta rakyat jelata (golongan yang diperintah).
Pada zaman tersebut, sistem beraja masih lagi dipengaruhi dengan ajaran Hindu dan Buddha yang memperlihatkan raja-raja Melayu sebagai sempurna sifatnya, suci dan tiada sebarang cacat cela. Oleh yang demikian, setiap keputusan dan arahan yang dikeluarkan oleh raja-raja Melayu pada waktu itu tidak boleh disanggah walau bagaimana buruk sekalipun.
Apabila syiar Islam menjengah ke Kepulauan Melayu, maka arus perubahan turut menjengah ke dalam struktur sosio-politik Melayu pada era tersebut. Kedatangan Islam dikatakan memberikan elemen spiritual ke dalam institusi beraja di negeri-negeri Melayu seperti Melaka misalnya.
Jika sebelum ini, raja-raja Melayu hanya bersifat sebagai penaung semata-mata, kedatangan Islam menjadikan raja-raja Melayu sebagai pemimpin yang bertanggungjawab serta menjadi pelindung dan pembela kepada rakyat. Perkara ini selari dengan konsep pemerintah dalam Islam yang dilambangkan sebagai pewaris kepada khalifah di muka bumi oleh Allah S.W.T.
Sepanjang dua era ini, struktur elit Melayu berpusatkan kepada dominasi raja-raja Melayu dalam mengurus tadbir negeri. Meskipun raja-raja Melayu sentiasa didampingi oleh para penasihat namun keputusan akhir tetap terletak pada tangan raja-raja Melayu.
Perubahan seterusnya dalam struktur politik di Tanah Melayu sekali lagi melalui fasa perubahannya. Kedatangan imperialis barat terutama sekali British memberikan kesan kepada struktur pemerintahan negeri-negeri Melayu. Sultan dan raja-raja tidak lagi berkuasa mutlak malahan perlu mengikut telunjuk penasihat British.
Selain itu, pada era ini golongan-golongan bangsawan Melayu juga sudah mula menjadi elit-elit politik utama di negeri-negeri Melayu. Mereka yang dulunya hanya menurut perintah raja-raja Melayu semata-mata, sudah mula dapat mempengaruhi hala tuju pemerintahan negeri. Sejajar dengan itu, elit-elit politik utama pada zaman itu terbahagi kepada tiga iaitu raja/sultan, pembesar-pembesar dan juga penasihat British.
Contohnya, selepas daripada Perjanjian Perlis-British 1930 (Azmah Abd Manaf et. al, 2017), nama-nama pembesar seperti Tuan Haji Ahmad dan Syeikh Ahmad banyak memainkan peranan penting dalam urusan pentadbiran negeri Perlis. Hal ini menyaksikan hubungan baik mereka dengan penasihat-penasihat British serta Raja Syed Alwi telah berjaya mengekang Syed Hamzah daripada merampas takhta kerajaan Perlis daripada Raja Syed Alwi.
Pengaruh Tuan Haji Ahmad dan Syeikh Ahmad menyaksikan, Raja Syed Alwi sendiri perlu menjaga hubungannya dengan kedua-dua pembesar ini supaya penguasaan baginda kekal tidak dicabar. Hal ini menunjukkan betapa raja-raja Melayu bermula pada era itu sudah tidak lagi boleh membuat keputusan secara semberono tanpa memelihara hubungan mereka dengan pembesar-pembesar yang ada. Tiada lagi hubungan satu hala semata-mata.
Menjelang kemerdekaan Tanah Melayu, parti-parti politik tumbuh dengan subur dan menjadi elit politik utama. Parti sayap kanan yang mesra dengan penjajah British iaitu UMNO cukup dominan setelah penubuhannya pada tahun 1946 dengan menentang penubuhan Malayan Union walaupun ada beberapa raja Melayu yang menyokong penubuhan Malayan Union.
Kejayaan UMNO menentang penubuhan Malayan Union menjadi titik tolak kepada perubahan takhta elit politik di Tanah Melayu sehinggalah ke hari ni. Kuasa Raja-Raja Melayu sudah tidak lagi bersifat mutlak malahan hanya bersandarkan kepada bidang kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka tiga komponen utama Parti Perikatan iaitu UMNO, MCA dan MIC berkongsi kuasa dan menjadi wajah elit politik negara yang mendominasi sehingga 1969 sebelum sekali lagi penjajaran elit politik terjadi.
Selepas peristiwa 13 Mei 1969, penubuhan Barisan Nasional menyaksikan parti-parti pembangkang seperti PAS, GERAKAN dan lain-lain lagi kecuali DAP, menyertai Barisan Nasional. Jika sebelum ini dalam Parti Perikatan amalan perkongsian kuasa menjadi temanya, penubuhan Barisan Nasional tidak meneruskan legasi tersebut. Penubuhan Barisan Nasional menyaksikan pemusatan kuasa politik terletak pada UMNO manakala parti-parti lain menjadi ‘adik-adik’ kepada UMNO. Hal ini menyaksikan wujudnya pembahagian kelas elit politik dalam Barisan Nasional.
Sekitar 20 tahun kemudian, perubahan dinamik kuasa ini terjadi sekali lagi. Hasil daripada perpecahan UMNO sejurus daripada kekalahan Tengku Razaleigh di tangan Dr Mahathir pada Pemilihan Agung UMNO 1987, Dr Mahathir bukan sahaja berjaya menyingkirkan musuh-musuh politiknya dalam UMNO namun turut berjaya menjadi pusat kuasa utama bagi politik negara.
Pemusatan kuasa daripada UMNO berubah kepada tangan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sehinggalah kejatuhan Barisan Nasional pada PRU 2018. Hal ini menyaksikan kepatuhan hulubalang-hulubalang UMNO terhadap Presiden UMNO. Namun yang demikian, tidak semua Presiden UMNO selepas era Mahathir dapat menikmati penguasaan 100% tanpa ada penentangan daripada elit-elit UMNO yang lain.
Sewaktu Pak Lah menggantikan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, beliau menjanjikan pelbagai usaha-usaha pembaharuan bagi mereformasikan UMNO, namun yang demikian kebanyakan usaha-usaha beliau ditentang sendiri oleh elit-elit UMNO yang tidak mahu berganjak daripada sistem yang diguna pakai pada zaman Dr Mahathir dahulu. IPCMC dan kebebasan media antaranya ditentang separuh mati oleh Muhyiddin Yassin dan lain-lain sehingga menyaksikan Pak Lah meletak jawatan setelah kegagalan UMNO mempertahankan majoriti ⅔ di Dewan Rakyat pada PRU 2008.
Sepanjang era Reformasi sehinggalah PRU 2008, penjajaran elit politik di Malaysia berterusan berlangsung. Kejayaan Pakatan Rakyat (PAS, PKR & DAP) menawan 5 buah negeri menyaksikan dominasi mutlak UMNO-Barisan Nasional tergugat. Mereka sudah tidak boleh sewenang-wenangnya mentadbir negara mengikut kesesuaian mereka sahaja kerana pakatan pembangkang yang ada tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka malahan akan sentiasa menduga mereka pada setiap ketika. Era ini menyaksikan persaingan elit-elit politik tidak hanya menumpukan kepada ragam-ragam elit politik Barisan Nasional semata-mata. Elit-elit politik Pakatan Rakyat dan seterusnya Pakatan Harapan juga menyaksikan peluang mereka untuk berada pada puncak kuasa terbuka luas dan perlu terus-menerus membunuh Najib Razak dan UMNO-Barisan Nasional.
Selepas 9 Mei 2018 penjajaran semula elit politik di Malaysia melalui satu fasa baharu. UMNO tidak lagi berada di tampuk kuasa tetapi bukanlah bermakna muka baharu yang duduk di singgahsana Putrajaya tidak ada langsung talian dengan UMNO. Baik BERSATU, baik PKR, elit-elit politik mereka juga merupakan bekas pemimpin-pemimpin utama UMNO suatu ketika dahulu, Dr Mahathir, Anwar Ibrahim dan lain-lain lagi. Namun begitu penjajaran itu menyaksikan ramai muka-muka baharu dapat merasai empuknya kerusi pemerintah.
Selain itu, penjajaran elit politik 9 Mei 2018 juga menyaksikan kembalinya amalan perkongsian kuasa antara kaum yang pernah diamalkan selepas merdeka. Bezanya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ini datang daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dan tidak mengikut acuan penjajah British seperti dahulu.
Selepas 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan, Langkah Sheraton menandakan suatu lagi penjajaran semula elit politik. Selepas 22 bulan amalan perkongsian kuasa antara kaum terjadi, elit-elit politik Melayu terutamanya merasakan kedudukan mereka tergugat serta merasakan wujudnya keperluan untuk mereka memastikan pemusatan kuasa kembali ke tangan elit-elit politik Melayu. Maka wujudlah sebuah kerajaan Perikatan Nasional yang terasnya ialah BERSATU, UMNO dan PAS bagi memastikan elit politik Melayu menguasai semula kuasa pemerintahan sepenuhnya.
Kembalinya elit-elit politik Melayu ke tampuk pemerintahan melalui kerjasama parti-parti utama Melayu ini ‘enak’ untuk didengari namun tenunannya tidaklah halus malahan carca-marba pada permukaanya. Daripada sebuah kesatuan ‘Melayu Bumiputera’ menjadi sebuah persatuan Melayu sama Melayu berantam setiap waktu. Maka apa sebenarnya maksud di sebalik perkelahian berterusan elit-elit politik di Malaysia tidak kiralah sesama Perikatan Nasional baik Pakatan Harapan?
Malam 9 Mei 2018 menandakan sebuah penjajaran semua elit politik yang paling besar dan terpanjang dalam sejarah negara. Perubahannya bukan sahaja melibatkan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan dan seterusnya Perikatan Nasional, namun menyaksikan ruang lingkup elit politik terbuka luas dan membolehkan sesiapa sahaja untuk memegang tampuk pemerintahan jika kena sifirnya. Mungkin parti-parti dominan yang sudah lama bertapak mempunyai kelebihan dari sudut struktur akar umbinya namun parti-parti baharu seperti MUDA dan PEJUANG juga turut berpeluang untuk menyusun langkah ke puncak kuasa.
Mana tidaknya, parti BERSATU yang hanya wujud selepas tahun 2016, sudah mampu untuk menguasai kerajaan dan menjadi teraju utama pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional. Seperti yang dikatakan sebelum ini, jika tepat sifirnya maka penguasaan itu tidak boleh dihalang lagi. Cuma, sampai bila BERSATU mampu bertahan? Dapatkah perintah darurat memberikan BERSATU satu tempoh sehingga Ogos 2021 untuk membunuh UMNO dan menjadi parti Melayu tunggal serta sakti di negara ini? Ataupun plot membunuh BERSATU akan tiba ke suatu peringkat yang menyaksikan elit-elit politik yang dahulunya berantam dapat berciuman serta berpelukan sesama mereka atas satu tujuan iaitu, menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin?
Permukaan politik Malaysia yang terbuka luas di saat ini memungkinkan sejuta macam kemungkinan. Dahulu kala, UMNO dan DAP tidak mungkin berada pada kutub yang sama. Namun pada hari ini, Faizal Azumu, mantan Menteri Besar Perak dijatuhkan dengan kerjasama UMNO dan DAP. Adakah UMNO dan DAP boleh bekerjasama? Oh, ini politik. Seni serba kemungkinan. Tukang ukir, seniman dan biduan-biduannya tidak lain daripada elit-elit politik yang ada pada hari ini.
Oleh yang demikian, kepada mereka-mereka di luar sana yang penuh dengan aspirasi untuk menyusun semula sususan dan ritma politik di Malaysia, sekarang ini adalah masa terbaik untuk terjun ke lapangan politik sejajar dengan aspirasi tuan-tuan dan puan-puan. Di saat ini, pintu masuk ke arena politik Malaysia sudah terlalu banyak, tebuk atap pun boleh. Penstrukturan semula elit politik Malaysia sebenarnya baru sahaja bermula dan dramanya barangkali akan lebih panjang daripada sinetron Indonesia. Perkara ini baik buat negara jika elit-elit politik yang ada pada hari ini dan bakal-bakal elit politik menyedari bahawa demokrasi yang sihat tidak akan muncul dengan hanya penguasaan mutlak elit-elit politik dalam setiap bidang di bawah sebuah panji yang sama. Amalan perkongsian kuasa dan toleransi antara pembangkang dan kerajaan begitu penting bagi memastikan nasib rakyat di negara ini kekal terbela. Jika tidak, rakyat Malaysia akan terus bergelumang dengan dosa-dosa maksiat elit politik Malaysia sejak dahulu lagi.
Akhir sekali, tuan-tuan dan puan-puan, segera masak air dan keluarkan bekal biskut dan teh kalian semua. Bertih jagung pun boleh. Panggung elit politik Malaysia sedang menayangkan wayang gambar yang penuh drama, kerakusan, persaingan dan aksi berterusan sesama elit-elit politik bagi berada di puncak kuasa. Penjajaran elit politik jangka masa panjang sedang berjalan.

Shahrul Shahabudin seorang penganut bola sepak juga pencinta politik, falsafah & muzik-muzik punk serta bunyian-bunyian nusantara yang nerd. Sering berkicauan di Twitter.