PENGGUNAAN RON95: T20 VS B40

Harga bahan api di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia berikutan langkah kerajaan memberikan subsidi untuk petrol RON95, diesel dan LPG.

Termasuk elektrik, kerajaan menanggung subsidi pukal lebih RM80 bilion setahun untuk menampung kos subsidi bahan api dan ini boleh menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Justeru salah satu usaha kerajaan pada tahun 2024 adalah untuk merasionalisasikan subsidi dengan memberikannya secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Ini termasuklah menarik peruntukan subsidi petrol RON95 kepada golongan T20 tetapi mengekalkan subsidi yang sama kepada kumpula B40.

Pemberian subsidi bersasar ini perlu kerana secara purata, T20 berbelanja sebanyak RM399 sebulan untuk petrol RON95 berbanding RM243 sebulan yang dibelanjakan oleh B40.

Makna kata, adalah jelas bahawa T20 lebih banyak menggunakan petrol RON95 yang bersubsidi berbanding B40, justeru mereka juga lebih banyak menikmati faedah subsidi berbanding golongan yang memerlukan.

Pada tahun 2022, penggunaan ketiga-tiga bahan api dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus, manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus.

Secara kasar, pada kadar 35% penggunaan ketiga-tiga bahan api oleh T20, ia membawa nilai subsidi dinikmati mereka sebanyak RM17.8 bilion.

Justeru menarik subsidi bahan api dari golongan T20 dan mensasarkan ia kepada B40 dan sebahagian M40 dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM17.8 bilion.

Penjimatan ini boleh digunakan bagi perbelanjaan pembangunan lain yang boleh memberikan faedah kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Komen