Corona Virus Disease-19 benar-benar sedang menghentam kita. Malangnya lagi bukan kita sahaja tetapi hampir 168 negara yang melibatkan sejumlah 307,105 kes sedang bertarung dengan virus ini. Penyakit ini tidak memilih warna kulit, status, pangkat, kedudukan malah kekayaan harta kerana semua orang ada potensi untuk dijangkiti lalu menyebarkan kepada orang lain. Setakat ini hampir 12,962 kematian di seluruh dunia telah dicatatkan. Namun dalam sisi cerah seramai 95,059 orang yang telah berjaya sembuh daripada penyakit ini.
Saya percaya satu hari kita bersama akan berjaya mengatasi masalah ini dan kita semua dapat menikmati kehidupan seperti sedia kala. Persoalaannya hanyalah cepat atau lambat sahaja. Jika semua orang dapat memberikan kerjasama, dan kita dapat menemui penawarnya sudah tentu virus ini dapat kita habiskan sehingga tak tersisa. Walaubagaimanapun setelah tamatnya virus ini nanti, ada beberapa perkara yang harus kita jenguk kembali kemudian diperhalusi supaya sekiranya berlaku bencana seperti ini lagi, kita semua akan lebih tenang dan matang untuk mengatasi.
Apa Yang Perlu Dijenguk Setelah COVID-19
Pelbagai perkara telah kita lalui semenjak pertama kali virus ini muncul, dari jumlah sedikit hinggalah bertambah berkali-kali ganda. Dari hanya nasihat untuk menjaga jarak sehinggalah undang-undang perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan. Pelbagai reaksi muncul, ada yang tenang, gelisah, panik, marah, gembira dan segala jenis emosi bercampur dalam satu situasi.
Jadi setelah semua ini berakhir apa yang boleh kita belajar?
Pertama, harus memikir-ulang sistem pendidikan yang sedang kita fahami. Selepas kes ini selesai mahu atau tidak kita perlu melihat kepada sistem pendidikan kita adakah ia membawa semangat kemanusiaan atau sekadar hafal-hafalan untuk mendapatlkan gred “A” di sekolah?
Sepatutnya di dalam masyarakat kita sudah mengerti bahawa menghormati harkat nyawa manusia merupakan satu tuntutan kemanusiaan. Kita memang bebas berbuat sahaja sehinggalah ia menyentuh pipi orang lain. Dalam kes ini kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat kita masih lemah, begitu juga nilai kemanusiaan. Sebabkan itu masih ada yang degil untuk mendengar arahan dengan melepak sesuka hati tanpa tujuan. Inilah perkara pertama yang patut kita jenguk, pendidikan negara harus berbuat sesuatu supaya kesedaran dapat ditarik pada landasan yang tepat.
Kedua, arahan dari penguasa haruslah lebih jelas dan teratur. Lihat ketika perintah kawalan pergerakan pertama kali dikeluarkan. Dari sempadan Johor-Singapura, stesen bas, pasar raya, pasar awam juga jalan raya rakyat berpusu-pusu dan berkumpul kerana bimbang dengan apa yang bakal berlaku selepas itu. Arahan yang pada awalnya untuk mengelakan pengumpulan ramai (mass gathering) bertukar menjadi perkumpulan ramai yang menyebabkan potensi virus itu tersebar dengan lebih cepat.
Kawalan panik dari penguasa sangatlah lemah. Pelan yang dikeluakan mereka sangat baik tapi pengaplikasiannya cukup lemah. Adakah mereka tidak berfikir bagaimana membawa pulang rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura, kemudian pelajar-pelajar universiti pula menerima dua arahan bercanggah lalu mengelirukan dan borang rentas negeri yang akhirnya menimbulkan kekacauan.
Semua itu umpama tidak disusun dengan teliti. Apatah lagi ada yang panik membeli barangan sehingga tidak menjaga jarak kerana tidak ada sistem dan panduan yang jelas untuk mereka. Sehinggalah setelah beberapa hari, baru tindakan diambil. Sepertinya perancangan penguasa sangat lambat dan kurang teliti. Ini sepatutnya dijenguk kembali,
Ketiga, fakta harus kekal fakta dengan mengambil kira akal rasional disokong dengan data-data saintifik. Dari menteri sampailah ke rakyat dua perkara ini haruslah menjadi keutamaan dalam menghadapi bencana. Bagi menteri mereka harus sentiasa berhati-hati dengan segala perkara yang diucapkan kerana sekiranya bercanggah dengan kajian sebenar akan mengelirukan rakyat. Mahu atau tidak menteri masih mempunyai pengaruh jadi apa yang diucap masih akan dipercayai oleh masyarakat.
Kemudian rakyat pula harus benar-benar peka dengan apa yang mereka sebarkan. Fakta harus kekal fakta. Jika kita mendesak menteri untuk menggunakan akal sihat rakyat harus berbuat yang sama juga, minum air suam atau minum air ketum seperti yang disebarkan di kumpulan-kumpulan Whatsapp tidak terbukti kebenarannya selagi ia tidak diuji secara klinikal di makmal-makmal kajian. Titik. Kita semua harus mengambil pengajaran tentang hal ini.
Keempat, agama bukan untuk kepentingan diri. Kadangkala virus ini datang dengan penuh hikmah ia umpama melondehkan pandangan-pandangan dangkal manusia mengenai agama. Agama dalam kes ini Islam sedang berhadapan dengan dua blok pemahaman iaitu konservatif dan juga progressif. Ada Muslim yang percaya virus ini tidak akan terkesan pada mereka sekiranya mereka sentiasa melakukan ibadat (ritual) kepada Tuhan. Oleh itu mereka mahu segala aktiviti atau ritual keagamaan yang melibatkan pengumpulan beramai-ramai tetap diteruskan.
Inilah hal yang patut kita pelajari dan kita semak semula. Islam tidak pernah mengajar kita untuk pentingkan diri sendiri malah Islam dengan jelas menyampaikan mesej bahawa nyawa manusia itu adalah perkara pertama yang perlu kita jaga. Jadi mengapa masih perlu berdegil dan tidak mahu bertanggungjawab dalam mendepani virus ini? Selepas kes ini selesai perlu ada rombakan besar-besaran terhadap kefahaman agama, pemikiran yang jumud dan konservatif harus dicantas supaya ia tidak menyusahkan lagi sekiranya bencana seperti ini muncul kembali.
Kelima, pelan ampuh buat mereka yang miskin. Umum mengetahui negara kita adalah negara yang sedang membangun. Masih ramai lagi rakyatnya yang hidup di bawah paras kemiskinan malah yang lebih buruk rakyat negara ini antara yang paling mudah terdedah (vulnerable) kepada kemiskinan. Jadi pelan-pelan khusus untuk kelompok ini haruslah jelas. Mereka tidak punya kuasa membeli sedangkan makan hari-hari pun kadangkala mereka gagal penuhi apatah lagi menyimpan bekalan makanan.
Sebabkan itu sebelum sesuatu usaha drastik mahu dibuat, kelompok ini harus difikirkan terlebih dahulu jika tidak ia akan mencetuskan panik. Mereka akan mempertarungkan nyawa mereka untuk terus membuat segala hal yang boleh memberikan mereka duit walaupun bertentangan dengan arahan dari pemerintah. Sebab itu kadang-kadang semua kesalahan bukannya dibahu rakyat semata. Itulah pengajaran yang perlu dipelajari selepas tamatnya bencana ini.
Yang keenam dan yang terakhir, mungkin bunyinya agak politikal tetapi harus disebut juga. Politikus usah berebut kuasa di saat negara sedang menghadapi krisis kerana terbukti ia tidak menguntungkan sesiapa, merosakkan kestabilan malah memburukkan lagi keadaan semasa.
Buat masa ini, itu sahaja yang boleh dikongsikan. Mungkin anda ada idea dan pandangan berbeza tetapi ia tidak mengapa, yang penting kita mahukan yang terbaik buat negara.

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.