Pendidikan Mempengaruhi Kehidupan

Saban tahun, bilangan institusi pendidikan di negara kita semakin meningkat, hampir seluruh negeri mempunyai institusi pendidikannya sendiri sama ada institusi awam mahupun swasta. Lihatlah cepatnya perkembangan ini berlangsung.

Nampaknya masyarakat semakin sedar akan kepentingan pendidikan. Jika dahulu dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah boleh menjadi sijil tertinggi, tapi hari ini paling kurang mestilah memiliki diploma atau ijazah sarjana muda paling kurang. Barangkali kerana peningkatan taraf hidup yang semakin moden telah membawa kepada penerimaan tahap pendidikan hari ini.

Bertambahnya golongan berpendidikan tinggi juga semakin meningkat dengan peratusan lepasan institusi pendidikan saban tahun. Terlalu ramai lepasan lulusan universiti sehingga terjadi pula pengangguran.

Apa pentingnya pendidikan dalam sesebuah tamadun atau masyarakat?

Sudah lama terbukti, pendidikan mampu membawa kemajuan terhadap tamadun manusia dari semasa ke semasa. Iaitu, menarik keluar dari kehidupan yang primitif kepada yang lebih moden dan terkehadapan. Buktinya pada zaman dahulu manusia mempelajari pelbagai ilmu tetapi dengan cara tertentu, itu tetaplah ilmu pengetahuan juga.

Tamadun Mesopotamia, yang mengamalkan bidang pendidikan mereka dari segi pertanian lalu membina sistem pengairan yang dapat mengawal pengaliran air sungai. Begitu juga dengan tamadun-tamadun lain yang berkembang pesat melalui perkembangan sistem pendidikan. Lihatlah sejarah awal empayar China yang sangat mementingkan ilmu pendidikan dan mengagungkannya. Bagi mereka pendidikan mampu mengubah nasib negara, oleh itu mereka amat menitikberatkan soal pendidikan kepada rakyatnya.

Perkembangan pendidikan dari awal sehingga peringkat tertinggi ketika tamadun awal adalah bukti terbaik perkaitan ilmu amatlah penting dan mampu menaikkan atau memundurkan sesebuah masyarakat atau tamadun.

Sehingga hari ini, pendidikan berkembang dan lebih sebati dengan kehidupan manusia lantaran ianya lebih bersistematik, teratur dan tersusun dalam silibus tertentu. Sehinggakan wujudnya ‘sektor’ dan ‘bidang’ dalam aliran pendidikan. Seterusnya melibatkan pengkhususan sektor-sektor tertentu seperti; robotik, akuatik, pertanian, teknologi sains, perubatan dan lain-lain. Ini sebenarnya telah banyak memudahkan kehidupan manusia dalam zaman tertentu selain  mempengaruhi kemodenan dan kemajuan di masa akan datang.

Bidang pendidikan di Malaysia sesekali tidak pernah mengasingkan golongan-golongan tertentu. Bahkan sentiasa terbuka kepada setiap ahli masyarakat tidak kiralah kaya atau miskin. Sebab itulah, tidak ada sesiapapun mempunyai alasan kukuh untuk tidak berjaya dan tertinggal di mana-mana.

Dengan itu, banyak pelajar yang begitu bersungguh dalam pelajaran termasuklah dari semua golongan. Dari latar belakang yang sederhana pun banyak melahirkan golongan yang berjaya dan mendapat keputusan yang sangat cemerlang dalam setiap peperiksan penting. Paling mustahak hanyalah kesungguhan dan kemahuan untuk mengubah kehidupan melalui ilmu.

Antaranya, Abdul Manaf Abdul Aziz yang baru-baru ini berjaya mencapai 10A dalam peperiksaan SPM walaupun kehidupannya bergantung sepenuhnya kepada ayahnya yang bekerja sendiri sahaja. Sesungguhnya ilmu pengetahuan dapat menaikkan martabat dan kedudukan seseorang dalam sekelip mata sahaja.

Tidak boleh dinafi lagi,  golongan yang berpendidikan ini sering dipandang tinggi dan dihormati. Banyak dalam kalangan ahli akademik di negara kita dianugerahkan  dengan pelbagai jenis gelaran pendidikan, seperti Dr (PhD), Prof Madya, Profesor, Prof Emeritus dan sebagainya. Ini tidak lagi dengan gelaran Datuk, Tan Sri dan sebagainya. Inilah bukti bahawa pendidikan akan meletakkan seseorang di tempat yang sebaiknya serta mendapat kehormatan tinggi daripada masyarakat, bahkan agama juga sangat memartabatkan sesiapa yang berilmu tinggi.

Lihatlah juga jawatan-jawatan tertinggi di peringkat kepimpinan negara seperti Datuk Dr.Zulkifli Mohamad al-Bakri. Beliau merupakan bekas mufti Wilayah Persekutuan dan terkini sebagai menteri hal ehwal agama di negara ini, yang juga lulusan pendidikan dari dalam dan  luar negara. Kesungguhan beliau mempelajari ilmu agama dan menyebarkannya kepada masyarakat membuatkan beliau diangkat sebagai salah seorang ikon yang wajar diteladani. Sememangnya negara memerlukan seorang pimpinan yang berlatarbelakangkan agama, yang diharapkan mampu mengeluarkan masyarakat dari kelompok kejahilan di samping menerapkan nilai murni dalam kalangan sejagat.

 Lihatlah isu dan masalah yang melanda saat ini, iaitu semestinya penularan COVID-19. Jika negara kita tidak ada golongan bijak pandai agaknya bagaimanalah negara dan kita bakal menghadapinya? Bolehlah difahami bahawa pendidikan pasti menemukan cara menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan seharian. jelaslah solusi dan jalan keluar sesuatu masalah negara sangat bergantung kepada golongan yang berpelajaran. Pemimpin yang bagus juga adalah yang berpelajaran dan berpendidikan, bukan kelayakan politik semata-mata.

Pendidikan bukan sahaja penting, tapi ianya semustahak nadi bagi yang masih hidup. Bagi manusia yang berakal dan cuba memanfaatkan hidup, maka sudah tentu ilmu dan  pendidikan digunakan dengan cara yang  terbaik. Lebih bagus, jika tawaran serta kemudahan pelajaran yang tersedia dan terbentang ini tidak disia-siakan. Ingat, tidak semua negara dan manusia berpeluang merasa pendidikan! Akhir kalam, majulah pendidikan untuk negara bangsa dan agama.

Tentang Penulis

Muhammad Syafiq adalah siswa Universiti Sains Islam Malaysia dalam jurusan Pengajian Aqidah dan Agama. Beliau adalah penulis yang terpilih dalam Liga Penulisan Artikel Pengajian Tinggi.

Komen