Apabila ditanya apakah kriteria terkini seorang guru perlu ada dalam menjayakan dunia pendidikan, ramai akan mengutarakan jawapan berkisar teknologi maklumat dan komunikasi. Contohnya, seorang guru wajib mengetahui dan mengambil peluang dalam menggunakan kemudahan aplikasi berasaskan teknologi yang dapat membantu proses pembelajaran dan pengajaran. Apatah lagi dalam era pandemik kini, di mana aplikasi Google Meet, Zoom dan Microsoft Teams misalnya telah berjaya menggantikan empat penjuru kelas dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Itulah kehendak dan kriteria semasa yang dikatakan maha penting bagi memenuhi keperluan dunia pendidikan era pandemik dan endemik.
Namun begitu, terdapat satu ciri penting yang sepatutnya lebih tinggi letak duduknya, dan wajar untuk semua guru mempunyai ciri ini. Ia bukan bermakna kecerdasan seorang guru dalam menggunakan teknologi itu patut dipandang enteng, malah ianya sangat baik dalam melancarkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran. Walaupun begitu, ianya perlu seiring dengan ciri yang satu ini iaitu fleksibiliti seorang guru. Ciri ini juga terpakai pada para pensyarah di institut pengajian tinggi. Hal ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang berhasrat untuk mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan selain relevan dan fleksibel pada setiap masa serta tempat.
Kamus Dewan Edisi Keempat telah mendefinisikan ‘fleksibel’ sebagai sesuatu yang boleh diubah atau disesuaikan dengan mudah. Ianya merangkumi perubahan sikap, keputusan atau lain-lain perkara mengikut keadaan baru. Tambahan lagi, apabila pendidik sama ada di peringkat sekolah atau di peringkat institusi tinggi menerapkan fleksibiliti, ia akan mewujudkan keupayaan pendidik dalam menilai dan mempertimbang hal-hal baru yang mungkin timbul disebabkan oleh perbezaan latar belakang para pelajar. Contohnya, jurang ekonomi dan sosial yang dapat mengganggu aktiviti pengajaran dan pembelajaran pelajar dengan menggunakan teknologi.
Fleksibiliti seorang pendidik juga sebenarnya menjadi penyumbang utama dalam menjaga kesihatan mental penuntut ilmu. Bukan itu sahaja, semakin fleksibel seorang pendidik dalam kaedah mengajar, semakin tinggi penyertaan dan penglibatan pelajar. Hal ini secara tidak langsung berkait dengan situasi pelajar seramai 21,316 yang telah berhenti sekolah sejak bermulanya pandemik tahun 2020 lalu. Tidak dapat untuk kita meletakkan kesalahan seratus peratus pada pendidik kerana kita semua masih mentah dalam menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.
Oleh itu, fleksibiliti seorang guru amat dituntut pada zaman kini dalam melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tidak semua keperluan seorang pelajar berjaya dipenuhi oleh ibu bapa dan persekitaran mereka. Misalnya, keperluan dalam menyediakan kemudahan Internet yang baik, serta ruang yang kondusif bagi pelajar untuk menuntut ilmu. Cabaran-cabaran semasa yang wujud bukan hanya memerlukan kerjasama guru sahaja, malah ibu bapa juga menjadi tunjang utama dalam memikul tanggungjawab pendidikan untuk anak-anak.
(Artikel ini adalah tulisan saudari Izzah Z dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.