Baru sebentar tadi beberapa minit sebelum maghrib diumumkan di Stockholm diumumkan pemenang hadiah Nobel Sastera 2020. Kemenangan ini dimiliki oleh Louise Glück dari Amerika Syarikat dengan justifikasi dari ahli panel “unmistakable poetic voice that with austere beauty makes individual existence universal.”
Jika minat anda pada filem, mungkin anda akan berdebar menunggu Academy Award, atau setidaknya di peringkat nasional – menunggu keputusan pemenang Festival Filem Malaysia. Seperti peminat atau sekurang-kurangnya ‘penonton’ sastera seperti saya, saya akan cakna berita seputar sastera.
Kemenangan hadiah sastera paling berprestij di dunia ini pada tahun lepas diterajui oleh Peter Handke dan Olga Tokarczuk mendapat respon dan kritikan dari pelbagai pihak. Di Malaysia, kelihatan semua karyawan dan sasterawan sunyi sepi mengenai hal ini. Saya cuba meneliti isu ini dan ternyata kesunyian ini ada sebabnya. Nama Handke tidak disebut oleh sasterawan Malaysia kerana beliau menyokong pembunuhan Serbia.
Saya mulanya agak skeptikal mengapa tokoh ini tidak didengungkan namanya oleh sasterawan tempatan, ternyata ada sebab yang munasabahnya tersendiri. Tetapi bagi ahli panel Akademi Sweden, pemilihan ini berdasarkan merit beliau dari dunia kesusasteraan, bukannya ‘perangai’nya sendiri. Tetapi bagi saya ia satu tindakan wajar untuk tidak menaikkan namanya ke arena tempatan ini kerana sangat ironi jika Anugerah Nobel ini wujudnya kategori Nobel Keamanan, tetapi adanya pemenang yang menyokong peperangan.
Tahun-tahun sebelumnya telah menjadi trend dengan adanya beberapa tokoh dalam kebun sastera yang menulis ulasan mengenai kemenangan Nobel Sastera. Dulu jika kita ada Wan A. Rafar yang sering kali menulis mengenai pemenang Nobel ini melalui Dewan Sastera; kini kita punyai sarjana tanah air yang banyak mengkaji sastera antarabangsa, Muhammad Haji Salleh tidak putus-putus dalam menulis mengenai kemenangan ini.
Tidak lupa juga anak muda yang banyak menulis dan memberi komentar mengenai ini dan jiwa muda lebih cenderung untuk membaca tulisan mereka ini – Wan Nor Azriq, Lokman Hakim, Roslan Jomel, dan beberapa nama lagi yang saya tidak dapat senaraikan di sini.
Sebenarnya saya polos mengenai Anugerah Nobel Sastera. Roslan Jomel dahulu sering kali menebak siapakah bakal menang Nobel pada tiap-tiap tahun; nama yang disebutnya hampir semuanya saya tidak pernah dengar. Begitu juga dengan tebakan-tebakan dari berita-berita dan kicauan penduduk Twitter – terlalu banyak sasterawan luar negara sehinggakan saya sendiri tidak sempat untuk mengikuti karya-karya mereka.
Dengan kenihilan saya ini, saya tidak dapat meneka siapa-siapa yang akan memenangi anugerah ini sebentar lagi. Dari itu, saya berharap penulisan mengenai kemenangan Nobel Sastera ini akan dimajukan ke sfera publik secara besar-besaran dengan cara wacana, ataupun melalui mata pena. Pembongkaran ini penting kerana sastera (jika kita maksudkan ‘sastera’ secara sempit) adalah bidang seni yang kurang popular dalam masyarakat Malaysia. Kita jarang dapat melihat sambutan yang menggalakkan dari semua pihak untuk menyambut kedatangan sastera. Kita tidak boleh menafikan hal ini kerana kita didogmakan bahawa sastera ini adalah teks yang boring. Ia tidak seperti filem yang mana satu medium seni yang paling popular di dunia dan mudah diterima masyarakat tidak kira tua muda.
Walaupun begitu, kehebatan sastera dalam membawa idea yang besar tidak dapat dibajak oleh sesiapa bahkan filem sebagai medium yang paling popular itu pun tidak dapat menandingi kehebatan sastera. Kita punyai idea yang besar yang boleh ‘diaplikasikan’ di atas kertas – tidak seperti filem yang memerlukan kos sehingga berjuta-juta untuk disiapkan. Sastera hanya memerlukan pengalaman, dan cara susun atur huruf untuk kelihatan indah dan menawan.
Apa yang saya impikan di peringkat nasional ialah wujudnya satu kelompok yang bersungguh-sungguh menterjemah karya-karya hebat ini. Seperti mana yang kita tahu, dahulu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) giat menterjemahkan karya-karya ini seperti Yasunari Kawabata, Gabriel García Márquez, Mario Vargas Llosa, dan banyak lagi. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) juga pernah terjemahkan karya Mo Yan, dan banyak menterjemahkan karya Chinua Achebe. Saya kira tidak ramai yang perasan nama-nama ini termasuk diri saya sendiri pada mulanya. Hal ini disebabkan tiadanya budaya wacana yang tuntas mengenai dunia sastera antarabangsa dan tiada penekanan dari kecil untuk cuba menelaah karya luar di samping menjaga dan meneliti karya dalam negara. Terbaru ini, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor giat menterjemahkan karya-karya besar luar negara termasuk karya Naguib Mahfouz.
Tahun sudah, apabila Anugerah Sastera Malaysia yang memilih Siti Zainon menjadi Sasterawan Negara, semua berpusu-pusu untuk mengenal beliau secara lebih dekat – melalui karyanya. Tetapi saya sendiri jarang mendengar karyawan tempatan yang menjual nama pemenang anugerah Nobel Sastera kecuali beberapa nama yang popular.
Antara puncanya kerana penterjemahan kita berkurangan. DBP sudah tidak terbitkan karya-karya (dalam hal ini, pemenang Nobel) lama yang pernah mereka terbitkan dahulu. Saya amat mencemburui negara serumpun, Indonesia yang giat dan cepat menterjemahkan karya-karya luar ke dalam bahasa ibunda mereka. Pun, saya tidak nafikan bahawa jika diterjemahkan, tiada orang akan baca kerana pada asasnya penekanan kita terhadap sastera tidak cukup kuat.
Sebenarnya tidak perlu tunggu karya atau tokoh yang menang untuk menilai karya itu baik. Saya sudah menjumpai beberapa karya (di peringkat nasional) yang bagi saya tidak cukup rempah ratus untuk menang, pun menang hadiah-hadiah sastera tertentu. Tetapi lazimnya jika kita penilaian yang mana bagus yang mana tidak – dengan anugerah seperti inilah. Dan lagi jika di peringkat Anugerah Nobel sekalipun, ada penulis-penulis yang menang tetapi memang karyanya tidak dibaca orang ramai.
Satu keistimewaan (mungkin keanehan?) dalam pemilihan Anugerah Nobel ialah mereka tidak dedahkan siapa calon dalam semua kategori. Seperti yang berlangsung di Stockholm sebentar tadi, hanya pemenang yang akan disebut nama; dan jika mahukan senarai calon untuk tahun ini, kita perlu menunggu lagi 50 tahun untuk melihatnya.
Saya bukanlah peminat sastera antarabangsa, tetapi saya juga teruja mengenai pengumuman ini walaupun “I have no idea” kenapa Glück menang. Saya berharap selepas ini akan subur penterjemahan dan budaya wacana mengenai pemenang-pemenang hadiah Nobel Sastera ini. Bukannya saya berpaling tadah dari sastera nasional kepada sastera luar negara, tetapi saya mahu meraikannya dengan kegembiraan yang sama.
Antara sasterawan tempatan yang muda paling cepat respon dengan kemenangan ini ialah Wan Nor Azriq dengan ciapannya di Twitter “bahasa minimilis dan kaya dengan imejan.” Nah, satu ciapan ringkas dari Azriq ini saya berharap akan mendapat mencambahkan justifikasi-justifikasi dari sasterawan tempatan untuk mengupas kemenangan ini.
Saya tidak terkejut jika akan ada kontroversi dengan kemenangan hari ini, kerana bidang kesenian sebegini saya kira sangat subjektif. Justifikasi kenapa seseorang itu menang sangat susah difahamkan. Kecuali dengan cara paling mudah, cari dan baca adikarya mereka. Kepuasan membaca sastera ini bergantung pada pengalaman seseorang. Ada yang bila membacanya tidak merasa apa-apa, ada di antaranya yang memang sudah tepu dengan sastera, akan boleh nilai bagaimana kualiti sesebuah karya. Dengan kerana itulah pihak Akademi Sweden telah menetapkan syarat untuk menjadi ahli panel, mereka memerlukan standard yang sangat tinggi dalam dunia kesusasteraan.
Naim Al-Kalantani, graduan ijazah sarjana muda dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini menyambung pengajian di peringkat sarjana seni di universiti yang sama.