Pemerkasaan Kesihatan Mental Teras Komuniti Yang Sejahtera

KESIHATAN mental yang merangkumi kesejahteraan dan keseimbangan emosi, psikologi dan sosial sering dipandang enteng di kalangan masyarakat kita. Stigma ini bukanlah perkara baharu akan tetapi, ia harus diubah. Ia secara tidak langsung akan memberi impak kepada keluarga pesakit, seterusnya kepada komuniti dan masyarakat.

Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2015 sahaja, 29.2% rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas mempunyai masalah kesihatan mental. Iaitu satu daripada tiga rakyat Malaysia. Kebanyakannya yang berumur di antara 16 hingga 19 tahun dan juga dari kalangan keluarga B40.

Perang melawan Covid-19 juga ternyata memberi kesan kepada statistik ini terutamanya pada tahun 2021 di mana, ramai rakyat Malaysia kehilangan punca pendapatan, terputus hubungan dan kemurungan apabila tinggal bersendirian. Ini dapat dilihat daripada peningkatan kes-kes bunuh diri, perceraian dan sebagainya. Astro Awani melaporkan pada Oktober 2021 bahawa sebanyak 638 kes bunuh diri telah dilaporkan sepanjang Januari sehingga Julai 2021. Ia merupakan peningkatan sebanyak hampir 60% bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Antara punca utama terjadinya gangguan mental di kalangan masyarakat adalah kurangnya sokongan sosial. Pesakit mental lazimnya sering dianggap gila, meroyan dan berdrama. Stigma-stigma ini haruslah diketepikan kerana mereka lebih memerlukan sokongan dan bantuan. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ia berterusan, terutamanya kesan kepada pesakit itu sendiri. Mereka akan lebih suka menyendiri, malah ada yang mula berjinak-jinak dengan dadah.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali, mengulas tentang kesihatan mental, “terdapat banyak faktor mendorong kesihatan mental terjejas terutamanya tekanan psikologi yang disebabkan pelbagai perkara”. Mengulas lanjut, “isu kesihatan mental juga akan menjadi lebih serius jika tiada mekanisma dan saluran yang betul dalam membantu golongan yang terkesan”.

Sehubungan dengan itu, amatlah penting untuk kita bersikap prihatin dan sering bertanya khabar dengan keluarga, rakan-rakan dan diri kita sendiri yang mungkin mempunyai gejala-gejala gangguan mental. Mengikut pandangan Mohd Ali Mahmood, Konsultan Pembangunan Masyarakat dan Kerja Sosial bagi ‘BROMOHD-The Practice’, gejala awal gangguan mental adalah seperti berikut:

• Tidak dapat melakukan atau memberi tumpuan kepada tugasan harian
• Tidur atau makan yang keterlaluan atau tidak mencukupi
• Rasa tidak berdaya, tidak bermaya atau berputus asa
• Menjauhkan diri dari orang lain atau dari aktiviti kebiasaan
• Cepat naik berang dan kerap ingin bertengkar
• Mengeluh tentang rasa sakit yang tidak jelas puncanya
• Lupa-lupa, bingung dan berasa risau yang tidak menentu
• Berasa seolah-olah semuanya sudah tidak berguna
• Merokok atau meminum arak keterlaluan
• Rasa seperti ingin mencederakan diri sendiri atau orang lain

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus peka dan cakna dengan keadaan sekeliling kita. Jika ada di antara kita mengalami gejala-gejala awal masalah tekanan jiwa atau gangguan kesihatan mental, segeralah merujuk kepada pakar kesihatan mental agar kita dapat membantu menyelamatkan lebih ramai nyawa sebelum terlambat. Sama-samalah kita sayangi diri kita, sayangi kesihatan mental, seterusnya melahirkan komuniti yang lebih sihat dan sejahtera.

Ayuh, Rakyat Malaysia!

(Artikel ini adalah tulisan saudari Nurul Amirah Kamisan dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen