Kejayaan kerajaan negeri Terengganu dalam menyediakan dana untuk membangunkan negeri sering diperkatakan sebagai bukti kepimpinan teknokrat berpandukan agama.
Tidak dinafikan, Terengganu walaupun merupakan sebuah negeri pembangkang telah menunjukkan prestasi yang baik di kalangan negeri-negeri pembangkang lain.
Namun keberdayaan negeri tersebut sedikit sebanyak juga hasil dari pemberian Kerajaan Persekutuan.
Fakta dan angka yang ada jelas membuktikan sekian banyak pemberian bantuan telah disalurkan oleh Persekutuan ke Terengganu walaupun kedua kerajaan yang ada berbeza fahaman politik.
Antaranya, projek pembangunan sekitar RM1.5 bilion untuk tahun 2023 dan 2024 melibatkan ratusan projek.
Pemberian Persekutuan melibatkan RM399 juta (2022) dan RM414 juta (2023) juga antara sumbangan yang disalurkan kepada kerajaan negeri untuk digunakan sebaiknya.
Menyentuh faedah kepada rakyat, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan bantuan JKM berjumlah RM128 juta yang memanfaatkan 23,630 penerima di negeri Terengganu, selain Bantuan Tunai Rahmah RM241 juta kepada 390,210 penerima.
Pesawah Terengganu juga mendapat manfaat dari Persekutuan melalui sumbangan Bantuan Aidilfitri (RM896 ribu), Bantuan Bernas (RM1.006 juta) dan Bantuan Khas Pesawah (RM2.7 juta).
Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Terengganu adalah mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat Terengganu yang tidak boleh dinafikan.
Ia juga adalah bukti kepada tadbir urus dan tata kelola yang baik seperti yang dicanangkan oleh Kerajaan Perpaduan MADANI.