Baru-baru ini Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuat satu komentar di Facebook dan melontarkan satu persoalan yang menarik iaitu; tentang pengimbangan di antara alam sekitar dan pembangunan ekonomi, apakah imbangan yang terbaik dan adakah ia realistik mencapai imbangan tersebut?
Dalam mengharungi zaman yang penuh dengan ketidaktentuan (uncertainty), Malaysia juga tidak lari dari bencana iklim yang terhasil daripada tangan kita sendiri tanpa kita sedari. Kita perlukan solidariti daripada setiap lapisan masyarakat melawan krisis iklim.
Maka, kita perlukan pembangunan alaf kelestarian atau lebih dikenali sebagai “Sustainable Development“. Perkara ini termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 namun mungkin bahasanya berbentuk jargon buat kebanyakan orang yang hendak membacanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan objektif bagi mencapai pembangunan alaf baru yang dinamakan Sustainable Development Goals (SDG). Selain daripada tindakan terhadap iklim (Climate Action), ini termasuklah reformasi yang diperlukan dalam sistem kuasa kita dan keadilan sosial dapat dirasai bersama.
Bagi mencapai tujuan tersebut, maka diwujudkan satu indeks yang dijadikan pengukur bagi pembangunan alaf baharu dinamakan sebagai indeks Environmental, Social and Governance (ESG) atau lebih dikenali sebagai Ethical Investing.
Baru-baru ini saya menelaah Natural Capitalism, karya Paul Hawken, Amory Lovins dan L. Hunter Lovins. Dalam buku ini, ia mendedahkan bagaimana kita mahu mengimbangkan di antara pemeliharan alam sekitar pada masa yang sama tidak kita lupakan tentang kemajuan ekonomi negara.
Berbalik kepada soal ESG ataupun Ethical Investing, apabila kita memulakan sesebuah program atau projek, kita memerlukan modal untuk membiayai kos. Lagi besar projeknya maka lagi besar kosnya.
Selain itu, kalau kita ikuti perkembagan iklim di tanah air kita, kebanyakan aktivis juga mengikuti atau terlibat langsung dalam sektor ini. Misi Malaysia ada dua; mahu mencapai 45% pengurangan karbon tanpa bantuan dari luar negara pada 2030 melalui National Determined Contribution (NDC) dan mencapai karbon sifar (zero carbon) pada 2050.
Pada NDC yang lepas, kita mahu mencapai 35% pada 2020 dan kita berjaya melakukannya. Jika dibandingkan dengan sasaran terbaharu kita, hanya perlu 15% sahaja lagi diselesaikan sebelum 2030.
Apa yang kebanyakan mahukan adalah sejajar dengan misi ini, namun mereka khuatiri, kita sangat kesuntukan masa menentang Krisis Iklim, dengan adanya bencana bertebaran di tanah air kita, tahun 2050 merupakan indikator yang lemah.
Kita harus mensasarkan negara karbon sifar pada 2040 dan mencapai 15% pengurangan karbon sebelum 2030. Selain itu, Malaysia bakal mengalami kerugian sebanyak 20% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2050 dan jumlah kerugian secara global adalah RM94.59 trilion.
Bagaimana caranya kita mahu atasi perkara ini? Kita memperkenalkan instrumen kewangan terbaru bagi menaikkan perbelanjaan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar Dan Air, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan membawa pulangan kepada kerajaan tanpa bergantung harap pada keuntungan sumber bahan bakar fosil bagi menampung pelan risiko bencana, pelan adaptasi nasional (MyNAP) dan pengurangan migrasi penduduk dan kenaikan kepada 60% liputan hutan.
Direkodkan pada Belanjawan 2021, kita memperkenalkan Ecological Fiscal Transfer (EFT) dengan memberi komitmen kepada alam sekitar, satu suntikan fiskal daripada Persekutuan telah dibuat, namun ia tidak memadai walaupun kita mempunyai sukuk hijau bernilai $800 juta (bon 10 tahun) dan $500 juta (bon 30 tahun).
Apa yang kita perlukan adalah harga karbon se-tan yang jelas dan sistem tukaran yang komprehensif untuk menarik minat sektor swasta untuk turut serta menyelamatkan negara ini daripada ancaman perubahan iklim seperti mana yang dikemukakan oleh Penang Institute. Namun, pada pendapat saya, kita mulakan dengan RM45/tCO2e pada tahun 2022 hingga ke RM180/tCO2e pada 2030 dengan unjuran keuntungan purata sebanyak RM30-35 bilion.
Boleh saya simpulkan bahawa, dalam mendepani masa depan yang tidak tentu, apa yang kita perlukan adalah penstrukuturan ekonomi yang meletakkan kepentingan alam sebagai sebahagian daripada asas kitaran kita. Oleh itu, indeks ESG sangat penting untuk mengimbangi kepentingan ekonomi, sosial, penjagaan peratus hutan dan pemerintahan yang bersifat rendah karbon.
Shaqib Shahril merupakan mantan Global Climate Finance Youth Focal Point untuk United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan Pengarah Projek BNYV Parliament Tracker. Ketika ini, fokus beliau adalah di kawasan parlimen Pulai sebagai Community Builder dan menjawat jawatan sebagai Ketua Penerangan dalam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai.