Pada tahun 1927 Jeulien Benda dalam La Trahison Des Clers menyuarakan fenomena intelektual yang berebut melacurkan diri mereka dengan menjual idealismenya untuk enak disaluti juga dipeluk kekuasaan di Perancis. Benda menyebutnya sebagai “Intelektual Pengkhianat.”
Sebelum itu, Benda membahagikan masyarakat ke dalam dua kategori. Pertama: cendekiawan atau intelektual yang mendedikasikan hidupnya untuk mencari kebenaran. Kedua: Kaum awam yang seluruh hidupnya terikat kepada fungsi mengejar kepentingan materi dan duniawi.
Namun peranan cendekiawan atau intelektual itu boleh berubah dan tertumus masuk ke dalam kelompok awam yang hanya mengejar kepentingan materi dan duniawi sekiranya kelompok cerdik pandai itu menyerahkan diri mereka dengan rela pada kekuasaan lalu menjadi proksi ataupun tali barut kepada setiap arahan kekuasaan yang buruk, zalim semata-mata kerana materi dan duniawi.
Tragedi ini juga berlaku di sini dan saya gelarkannya sebagai pemalingan intelektual.
Berpaling muka adalah sesuatu yang tidak disukai semua. Berpaling tadah bererti pengkhianatan kelas dewa. Berpaling dari tanggungjawab dan amanah itulah bencana hari ini yang dapat dilihat merata dunia. Betapa lagi kalau intelektual yang sepatutnya penjaga dan pengamal amanah dan tanggungjawab, sendiri yang melakukan pemalingan tanggungjawab. Itu sebuah bencana. Inilah yang harus kita kupaskan betapa ini berlaku, merebak dan bertahan. Beginilah gambaran yang dimaksudkan dengan pemalingan intelektual itu.
1. Berpaling dari tanggungjawab menyantuni yang miskin dan terlantar.
Jarang sekali kita melihat intelektual atau cedekiawan universiti berbicara mengenai tanggungjawab menyantuni yang miskin dan terlantar. Lebih buruk ada di antara mereka yang gigih “blaming the victims” atas alasan memelihara dasar penguasa yang tempang.
Malah kajian dari jurnal-jurnal antarabangsa mereka juga tidak banyak yang menyentuh mengenai isu ini padahal isu inilah merupakan masalah kritikal Dunia Ketiga yang sedang kita geluti.
Kononya berpegang kepada konsep neutraliti, objektif, saintifik dan empirik maka isu-isu mengenai kemiskinan dan penyebab kemiskinan itu tidak memenuhi kualiti ilmu di universiti. Bayangkan pelajar yang memanjat pokok mencari capaian Internet boleh dipuji oleh pihak universiti kerana katanya gigih belajar.
Benar dia gigih tetapi siapa yang harus mengkritis bobroknya sistem pendidikan dan fasiliti negara juga koruptor sehingga memaksa pelajar miskin itu memanjat pokok hanya untuk mendapatkan capaian jalur lebar?
Ini mengingatkan saya pada kata Usman Awang;
“Intelektual itu haruslah memilih apakah mereka memihak kepada kekuasaan golongan feudal, kepada politik perkauman atau kepada rakyat seluruhnya tanpa ukuran keturunan bangsa dan warna kulitnya. Atau apakah ia bertindak kepada golongan miskin yang ditindas atau golongan berkuasa dan kaya yang menindas.”
2. Berpaling dari menyuarakan kepentingan demokrasi dan hak rakyat dalam sistem negara berperlembagaan.
Demokrasi dikatakan yang paling baik dan yang paling wajar untuk semua buat masa kini. Negara ini juga tak terlepas dari mengadopsi idea demokrasi seperti yang dijelaskan dalam perlembagaan negara.
Antara sebab mengapa demokrasi masih bertahan walaupun banyak dikritik kiri dan kanan sudah tentu kerana idea ini membawa suara rakyat banyak untuk mengkritik malah untuk memilih barisan kepimpinan yang mereka percaya (peoples power) berdasarkan penaakulan mereka dalam kaedah undian lima tahun sekali.
Namun dalam diam, sistem yang dipersetujui semua ini telah diceroboh, dikhianati, dijarah, diperlakukan sewenangnya, dizalimi juga dihilangkan kehormatannya akibat oleh politikus tamak yang mabukkan kuasa. Mereka rela mengkhianati mandat rakyat semata-mata untuk kuasa yang kononya untuk “kebaikan rakyat”.
Soalnya di mana peranan intelektual di saat demokrasi dikihianati? Suara mereka terpecah dan amatlah sedikit intelektual yang mengkritiknya baik dari penulisan mahupun lisan seolah-olah tidak ada satu nilai ampuh yang dipersetujui bahawa demokrasi seharusnya dipelihara utuh.
Malah yang paling mengecewakan adanya intelektual yang berkelulusan tinggi menggunakan autoritinya menyokong penguasa yang sudah terang menjadi pengkhianat demokrasi. Mereka sepertinya mahu rakyat bawah tunduk lalu mengikut kata mereka untuk turut mengutarakan sokongan.
Soalnya di mana peranan sebenar intelektual seperti ini? Adakah kerana ketagihan kekuasaan? Atau terjerumus dengan psikologi masokistis yang sentiasa mahu tunduk pada kekuasaan walaupun salah, zalim dan korup? Ini pemalingan intelektual yang jelas.
3. Berpaling dari mengatakan kolusi kepentingan politik dan ekonomi yang akhirnya merosak pemerataan dan ksejahteraan ekonomi jangka pendek dan panjang
Kolusi itu persengkongkolan kepentingan politik bersama pemodal. Mereka sama-sama bersengkongkol untuk meraih laba dan memonopoli sumber. Akhirnya sumber dan kekayaan bertumpuk di kalangan mereka. Mereka mendominasi tanah, hasil bumi, sektor finansial dan segalanya. Makanya jika ekonomi bergerak sebagus pun, rakyat bawah atau kelas pekerja tetap tidak dapat meraihnya kerana pembolotan.
Juga dengan pemodal bersekongkol bersama penguasa bererti hak pekerja akan terus terkepil. Demi menjaga kepentingan masing-masing, yang kian tersungkup adalah kelas bawah yang makin melarat sehingga upah mereka semakin menurun sedang inflasi semakin melambung. Ekonomi kejam ini adalah hasil persengkongkolan penguasa dan pemodal.
Sekali lagi, di mana suara intelektual atau cendekiawan dalam menjawab dan mengkritik permasalahan ini? Tugas intelektual itu sudah tentu menjadi benteng rakyat juga mengkritik kerosakan, jadi di mana suara mereka di saat masalah ini bergemencar dan berlanjutan? Sepatutnya inilah yang menjadi inti suara mereka, suara pemihakan mereka bukan menyokong sosok elit politik demi keuntungan peribadi.
Penutup
Kerja intelektual itu bukanlah sekadar kerja intelektualisme yang hanya mahu mencari perkara yang indah, menawan, eksotik atau yang asli . Yang harus dikerjakan intelektual ialah mengupas kritik kondisi hari ini, halataju ke depan, selain apa yang boleh dipelàjari dari pengalaman sejarah masa lalu. Sebab itu mereka antara yang dikurniakan akal yang terang dan sihat. Tapi jika sebaliknya yang berlaku tidakkah itu suatu pemalingan? Dan tidakkah pemalingan itu sedang berleluasa? Jadi benarkah kelompok intelektual sudah tidak ada kekuatan dan minat dalam memimpin rakyat?

Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.