Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Kerajaan Perpaduan telah mengumumkan beberapa perubahan kepada cukai sedia ada dan juga pengenalan cukai baharu.
Langkah ini adalah satu bentuk peluasan asas hasil cukai bagi memastikan pendapatan negara mencukupi untuk menampung belanjawan yang akan diperuntukkan berjumlah RM393.8 bilion.
Antara perubahan yang diperkenalkan kepada cukai sedia ada ialah kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8% dari 6% sebelum ini.
Namun kenaikan kadar ini tidak melibatkan perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir dan logistik.
Satu lagi perubahan kepada cukai sedia ada ialah meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.
Kerajaan juga akan memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal pada kadar 10% mulai 1 Mac 2024 bagi pelupusan saham tidak tersenarai syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih.
Cukai Minimum Global juga akan turut dikenakan kepada syarikat multinasional dengan pendapatan global tahunan sekurangnya EUR750 juta mulai tahun 2025 selaras dengan cukai minimum global melalui inisiatif Base Erosion and Profit Shifting (BEPS) di bawah OECD.
Selain itu, Cukai Barang Bernilai Tinggi akan dikenakan pada kadar 5% hingga 10% ke atas barang tertentu berdasarkan nilai ambang harga barangan mulai 1 Mei 2024.
Walaupun asas hasil cukai diperluaskan, namun kerajaan menjangkakan ianya tidak akan menjejaskan golongan marhaen khususnya dari M40 dan B40.
Ini kerana kebanyakan perubahan pada cukai sedia ada dan pengenalan cukai baharu akan lebih memberikan impak kepada golongan mahakaya dan syarikat besar tempatan atau multinasional.