Mengapa kita berdolak dalik dalam krisis ketanpanegaraan dan pelarian dalam negara? Kita tutup sebelah mata dan sebelah lagi menjeling jauh ke tanah anbiya dengan segala muluk-muluk kemanusiaan tersembur dari kerongkong para pemimpin kita. Perlecehan hak asasi manusia – di wilayah yang para pemimpinnya mengusung gagasan Karamah Insaniyah – sedang marak dan kita pula berapi-api tentang kuman di seberang laut?
Malaysia masih berkeras kepala untuk menandatangi Konvensyen Status Pelarian 1951 sekalipun berbuih mulut para aktivis yang mengerjakan advokasi ini mendesak. Tidak mengiktiraf kewujudan mereka telah mengheret kita semua kepada bencana sosial yang tidak lagi tertanggung. Xenofobia dan prejudis menjadi dedak yang dipatuk oleh rakyat yang tidak cerdik. Perut mereka menjadi kembung dan kenyang atas caci maki dan segala bentuk kebencian yang ditanam oleh juragan-juragan politik murahan yang celupar dan tidak manusiawi.
Pelarian di Malaysia terumbang-ambing – sekalipun menggigit kad pelarian UNHCR dengan gerahamnya – dan hanya ditanggapi sebagai pelarian transit yang mencari perlindungan atas konflik dan polemik di negara asal mereka tanpa diberikan hak memandangkan kerajaan Malaysia masih berdegil menjadi negara pihak dalam konvensyen pelarian PBB tersebut.
Seharusnya, ketika kerajaan sedang bersiap untuk projek memadanikan negara, ia harus menjadi tauladan kepada komuniti antarabangsa dalam memastikan laporan Universal Periodic Review (UPR) tidak mencacatkan lagi perlecehan hak asasi manusia total termasuk ke atas para pelarian, migran dan tanpa negara di Malaysia. Ia harus menampilkan rupa manusiawi yang suci murni dan bersih daripada rekod pembulian ke atas manusia yang melanggar prinsip hak asasi manusia oleh Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) memandangkan Malaysia sebagai negara pihak yang menjunjung prinsip yang sama.
Pelarian Di Sabah
Setelah berdekad lamanya, diskusi tentang pelarian terutamanya di Sabah tidak lagi seharusnya disumbat di dalam bakul jurnal dan timbunan kertas kajian. Ianya tidak seharusnya menjadi perbincangan tabu, prejudis dan semberono.
Konflik di Mindanao telah menjadi faktor penolak yang membawa pelarian Filipina memasuki Sabah. Para pemimpin politik ketika itu bersilat – walaupun tulisan ini tidak akan cenderung melihat fatwa politik Tun Mustapha dan segala campurtangan kuasa (pengekalan kuasa) – dengan segala macam solusi dan rumus untuk menanganinya. Sekali lagi, atas kekerasan kepada kerajaan Malaysia untuk tidak menandatangani konvensyen pelarian, mereka meletakkan pelarian di bawah akta Imigresen dengan memberikan pas lawatan IMM13 dan menyediakan Skim Penempatan Khas Pelarian atas syor PBB.
Hubungan sosiobudaya dan jalinan sosial – yang sudah lama terbina sejak abad ke-15 – memudahkan hidup bermasyarakat penduduk Sabah dan pelarian Filipina ketika itu. Namun, beberapa hal mustahak yang tidak menjadi perhatian ketika itu adalah soal keberkesanan dokumentasi pas IMM13 kepada generasi seterusnya yang akan terhuyung-hayang mengayuh perahu nasibnya dalam negara ini iaitu generasi tanpa negara (stateless).
Pas Pelarian Yang Tidak Menyelamatkan Semua
Pas kepada pelarian ini adalah bagi menampung vakum ketiadaan dokumen diri dan perjalanan yang sah sepanjang mereka berada di Sabah.
Spesifiknya, kerajaan ketika itu telah mengeluarkan dokumen HIF22 untuk pelarian-pelarian sebagai satu langkah untuk mengiktiraf kehadiran mereka. Tujuan utamanya adalah bagi membantu pemantauan kumpulan pelarian-pelarian tersebut, memandangkan mereka berbeza dari kumpulan pekerja-pekerja asing dan juga pendatang-pendatang tanpa izin (PATI) – tanpa menafikan wujud pendatang dengan izin (PADI).
Pas lawatan HIF22 kemudiannya ditukar format kepada pas lawatan IMM13 dengan tempoh sah laku selama satu (1) tahun. Pembaharuan pas tersebut selari dengan syor UNHCR yang mengambil kira keadaan di negara asal pelarian-pelarian tersebut yang masih bergolak dan sarat konflik.
Pemberian pas kepada pelarian ketika itu dilihat sebagai tindakan yang strategik dan bijak dari kerajaan kerana pas tersebut dapat membendung kebanjiran masuk pelarian ke Sabah tanpa sebarang pemetaan, rekod dan data statistik. Hal ini akan menyusahkan kerajaan Sabah untuk membezakan generasi pertama pelarian perang Filipina dengan pendatang asing tanpa izin yang datang selepas itu. Bahkan ianya membantu pengawalan sempadan dan modus operandi memerangi pencerobohan yang membawa kepada jenayah rentas sempadan yang seringkali direkod di Laut Sulu – yang sehingga hari ini diisytiharkan oleh kerajaan sebagai kawasan ESSZONE (perairan pantai timur Sabah) sejak kejadian berdarah Tanduo.
Namun, bagi mengelakkan kekusutan terperangkap seputar permasalahan dokumentasi dan sejarah yang sudah lama terlerai, kita harus mula mempertanyakan setiap inci polemik pelarian di Sabah, adakah terma-terma seperti pendatang asing tanpa izin (PATI), pendatang dengan izin (PADI), pelarian, buruh migran dan orang tanpa negara (Stateless) telah menjadi asas perbincangan dalam mendepani isu maha kritikal ini, ataupun ianya disuguh dengan sentimen provokatif yang tidak berkesudahan demi menjaga kepentingan politik dan membentuk stigma yang akhirnya meletuskan amarah yang berterusan di Sabah?
Bijaklah, Pemerintah!
Sabah masih ketinggalan dari segala mak nenek akses sebagai wilayah berdaulat yang berkongsi udara dengan rakan gabungan Sarawak dan Semenanjung Malaysia membentuk Malaysia merdeka. Pembangunan negeri dan kebajikan rakyat masih lembab persis siput babi yang mengheret cengkerangnya.
Kita memerlukan pemimpin yang berlumpur solusi dan sarat idea pembangunan – mikro dan makro – yang progresif, lestari dan manusiawi. Terutamanya dalam menangangi bencana yang semakin bergelora pasca berdekad lamanya generasi pelarian yang membawa kepada pembenihan generasi tanpa negara yang semakin sukar untuk ditangani. Semua rumus yang pernah dipromosi dalam sfera politik – Kerajaan Warisan Plus yang mencadangkan Pas Sementara Sabah dan kini Kerajaan GRS mengetengahkan idea Kad Warga Asing adalah langkah berani yang harus disusun dengan sistematik dan segala sumber yang dimiliki oleh kerajaan. Demi Malaysia yang Madani dan Sabah yang Maju Jaya.
Rien SD adalah seorang anak Negeri Di Bawah Bayu yang juga merupakan Koordinator di Cahaya Society dan penulis buku berjudul Muda & Derhaka.