Parti Tindakan Demokratik DAP selaku parti komponen Pakatan Harapan telah pun mengadakan sesi libat urus serta temu tembung bersama pelbagai Pertubuhan dan persatuan/pemegang taruh serta sebahagian besar kepimpinan parti di semua peringkat, bagi mendengar pandangan dan cadangan serta mengenalpasti dasar, kebijakan, dan keperluan semasa di tanah air.
Salah satu penemuan ialah berkaitan dengan isu penuaan warga Malaysia yang baru-baru ini diutarakan oleh pelbagai pihak- termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan lain lain.
Mengikut takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara kita kini tergolong dalam kategori negara menua (ageing nation), dengan kadar penduduk berumur 65 tahun dan ke atas telah melebihi 7%. Mengikut trajektori Kadar Kelahiran Kasar (CBR), Kesuburan Jumlah (TFR), Kadar Kematian Kasar (CDR), Malaysia bakal menjadi negara tua menjelang tahun 2045, dengan 17% warganya berumur 65 tahun ke atas.
Pelbagai cabaran sememangnya mengiringi fenomena ini. Namun, penuaan penduduk harus dilihat sebagai sesuatu yang mampu membuka ruang dan peluang ke arah pembangunan Malaysia yang lebih maju dan progresif.
Menghormati dan mengasihi warga emas adalah budaya kita dan penjagaan orang tua merupakan kewajipan bagi semua kaum dan agama di tanah air kita.
Walau bagaimanapun, dalam ekonomi yang semakin hari semakin mencabar, memenuhi tanggungjawab penjagaan warga berusia tersayang berkemungkinan menjadi penghalang kepada sesetengah golongan daripada mencapai potensi kerjaya mereka. Malah, ada sesetengah golongan juga disekat daripada mencari nafkah untuk menyara keluarga.
Keperluan penjagaan sudah pastinya akan meningkat secara mendadak, dengan peningkatan peratusan populasi menua. Maka, sebagai sebuah kerajaan yang berpandangan jauh, kami akan menyuntik sejumlah pelaburan awam serta menggalakkan pelaburan swasta ke dalam sektor perkhidmatan dan prasarana penjagaan, serta sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif dan komprehensif.
Bermula dengan sebuah jawatankuasa rentas kementerian yang dipimpin oleh Menteri Kebajikan Masyarakat dan Keluarga, serta merangkumi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Kementerian Pendidikan dan Latihan, kita akan membentangkan kepada Parlimen dan seluruh Rakyat Malaysia suatu Pelan Kesiagaan Ekonomi Penjagaan dan Masyarakat Menua Nasional atau SiagaJaga (National Care Economy and Aging Community Preparedness Plan).
SiagaJaga akan merangkumi agenda dan pelan tindakan yang akan fokus kepada tiga Penjaga dan Penerima Penjagaan serta Institusi.
Institusi
- Memprofesionalisasikan sektor penjagaan supaya diberikan tahap dan darjat penghormatan yang tidak kurang daripada sektor-sektor kesihatan berkepakaran yang lain seperti kejururawatan dan fisioterapi;
- Pembinaan kapasiti dan latihan untuk mencapai Nisbah Sokongan Penjaga (Caregiver Support Ratio – CgSR) yang setimpal dengan negara tua menjelang 2035;
- Memperkasakan institusi kekeluargaan melalui pemberian insentif kepada keluarga yang berkediaman bersama warga emas;
- Menggalakkan melalui insentif cukai dan sokongan upah bagi majikan dan pengusaha yang mengupah dan melatih-semula warga berusia supaya mereka terus aktif dan menyumbang ke arah produktiviti;
Penjaga
- Modul kesedaran dan latihan berkenaan penjagaan diri dan penjagaan warga emas, bermula di bangku sekolah sehingga ke tempat kerja;
- Menginstitusikan bantuan dan elaun penjaga bagi golongan yang terpaksa berhenti kerja disebabkan memenuhi kewajipan menjaga anggota keluarga yang ditimpa musibah;
Penerima Penjagaan
- Menggabungkan agenda penjagaan in-situ bagi golongan yang kehilangan kapasiti dalam menjalani aktiviti instrumental kehidupan seharian (Instrumental activities of daily living – IADL) khususnya orang berusia, OKU dan kanak-kanak;
- Seperti taman permainan dan tempat ibadat, fasiliti penjagaan sehenti juga akan dijadikan syarat perancangan pembangunan mengikut nisbah penduduk. Polisi ini penting bagi mengurangkan tenaga kerja yang terpaksa berhenti kerja kerana mahu menjaga anggota keluarga yang memerlukan penjagaan;
- Membudayakan pemeriksaan kesihatan berkala serta menyampaikan perkhidmatan penjagaan bergerak bagi golongan miskin bandar dan penduduk di kawasan terpencil, melalui intervensi strategik untuk menggembleng, menyelaraskan, menambah rapi dan menjalinkan kerjasama antara agensi dan institusi perkhidmatan kesihatan awam primer, penjaga sukarelawan, penjaga lapangan bertauliah, pihak berkuasa tempatan dan NGO termasuk pemimpin masyarakat, institusi akademik, entiti sektor swasta.
Melalui Pelan Kesiagaan Ekonomi Penjagaan dan Masyarakat Menua Nasional (SiagaJaga) yang komprehensif dan menyeluruh ini, kita percaya dan yakin bahawa ‘kesiagaan tanah air ini menjadi negara tua’ dapat kita orakkan langkahnya.
Ayuh kita gesa keterbukaan dan kemestian ini, bukannya sekadar memenuhi keperluan penjagaan semasa yang kian meningkat, bukan juga setakat menuruti kehendak ekonomi semasa dan setempat, tetapi mengangkatnya sebagai suatu seruan rentas agama, budaya, kaum dan keturunan yang bernaung di bumi bertuah Malaysia kita bersama.

Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).