PELAN HALA TUJU PERALIHAN TENAGA NEGARA (NETR)

Di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI, kita telah diperkenalkan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR).

NETR adalah penting dalam kita mengemudi peralihan tenaga berskala besar, terutama sekali peralihan dari ekonomi berasaskan bahan api fosil ke ekonomi hijau bernilai tinggi.

Sasaran NETR adalah menjelang 2050, Malaysia tidak perlu lagi bergantung kepada sumber bahan api fosil semata tetapi telah bersedia meneroka sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan mempunyai jejak karbon rendah.

Bagi menjayakan sasaran NETR, pelaburan berjumlah RM1.2 trilion diperlukan dalam sektor tenaga sehingga tahun 2050.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan bahawa pelaburan ini melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta.

NETR dijangka akan memerlukan 30% pelaburan awam yang tertumpu kepada pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur grid.

Manakala 70% pelaburan dalam menjayakan NETR diunjurkan datang dari pelaburan swasta melibatkan pelaburan dalam negara dan pelaburan asing.

Pelaburan swasta dijangka merangkumi pelaburan dalam penghasilan tenaga, penyimpanan bateri dan teknologi berkaitan penangkapan karbon.

Pelaksanaan dan pencapaian semua program di bawah inisiatif NETR akan dipantau dan dilaporkan oleh Jawatankuasa Peralihan Tenaga Kebangsaan (National Committee on Energy Transition – NCET).

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, Encik Rafizi Ramli dan turut melibatkan kementerian lain yang relevan.

Komen