Saya memendam persoalan ini agak lama; ia mirip persoalan hati antara Maeve & Otis, dua remaja berusia 16 tahun dalam siri drama komedi Sex Education di Netflix.
Namun, saya bukan lagi remaja belasan tahun seperti mereka. Saya seorang lelaki dewasa, mempunyai pengalaman bekerja selama hampir 13 tahun dan menjalani tanggungjawab sebagai pembayar cukai kepada kerajaan.
Maka saya fikir, sekompleks mana pun ia, tidak enak kiranya persoalan ini dikendong lebih lama. Memendam persoalan banyak parahnya. Tidak nyaman. Terkurung sepi sampai benci. Jadi, saya berkeputusan memuntahkan segalanya disini.
Dua hari sebelum Perdana Menteri persis Uthman Bin Affan, Muhyiddin Yassin mengumumkan program rangsangan ekonominya, Khazah Research Institute (KRI) menerbitkan satu artikel berjudul Covid-19 Control: Break Down Foreign Workers’ Barriers to Care.
Artikel yang ditulis oleh saudara Jarud Romadan Khalidi dan saudari Nazihah Muhamad Noor, dikeluarkan tepat pada 25 Mac 2020 dan ditulis untuk memberi pencerahan keadaan pekerja imigran saat virus korona mengganas.
Tahukah kalian berapa jumlah pekerja asing di Malaysia? Menurut Labour Force Survey (LFS) pada tahun 2018, Malaysia mempunyai sejumlah pekerja asing seramai 2.2 juta orang.
Ramai gila, bukan?
Namun jumlah ini ternyata meragukan. Tidak maha tepat. Kalau mahu diikutkan, jumlah pekerja asing di Malaysia berlari-lari di antara 4~7 juta orang. Angka ini melingkupi jumlah pekerja asing yang gagal mempunyai dokumen lengkap.
Tuan-tuan dan puan-puan yang marahkan Vivy Yusof wajib tahu bahawasanya, 45.4% dari jumlah pekerja asing bekerja dalam sektor low skilled job yang gaji puratanya ialah RM 1,648; dilaporkan sebagai yang terendah dalam laporan Salaries & Wages Report (2018).
Dan buat pengetahuan am semua, kebanyakan pekerja asing bekerja makan gaji hari.
Makanya dalam krisis sebegini, kebarangkalian mereka masih keluar bekerja sangat tinggi. Pekerja asing di Malaysia adalah tulang belakang kepada keluarga mereka. Sekiranya #stayathome memanjang seperti anak-anak orang kaya, selayaknya pendapatan mereka terputus. Bila beras di dapur menyurut, ayam ghaib dari pinggan, wang ringgit dalam dompet mengering, malaikat mana yang mahu datang beri bantuan?
Persoalan yang cukup sakral sekarang, sekiranya mereka keluar bekerja, mereka antara yang paling terdedah dengan brutalisme korona. Dan sekiranya mereka terkena, bagaimana layanan kesihatan kita kepada mereka?
Tanggal 25 Januari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan satu pekeliling mengatakan “foreign workers who are suspected of being infected with the coronavirus or are close contacts of Covid-19 patients are exempted from Covid-19-related outpatient fees, meaning any registration, examination, treatment and hospital fees at MOH facilities would be free.”
Tetapi pada tanggal 23 Mac lalu, Perdana Menteri bayangan Uthman bin Affan, Muhyiddin Yassin menyatakan pekerja asing yang terkorona hendaklah menanggung sendiri kos rawatan. Langsung kenyataan beliau mewujudkan kontradiksi maha agung dengan polisi KKM sebelumnya.
Pun begitu, seperti yang ditulis di artikel yang sama; “The statement was quickly refuted by the Director-General of Health who reiterated that regardless of nationality, Covid-19-related fees at MOH facilities remain free as per the 29 January circular.”
Walaubagaimanapun, kontradiksi kenyataan antara Amirul Mukminin dan KKM ini kekal sangsi lagi membingungkan. Kesannya, pekerja asing berpaling dari mencari bantuan kesihatan.
Umum kita semua mengetahui pekerja asing bukan golongan T20 atau golongan artis Instagram tayang sport rim kereta mewah. Kita menyepakati mereka ini golongan susah. Kalau senang, takkanlah mereka sanggup bertahan dipukul ombak dan gelora ketika bertongkang ke mari.
Matematiknya tidaklah sesusah mana. Kalau pendapatan mereka ini antara pendapatan bernilai teruk, apakah mereka berkemampuan membeli insurans untuk menikmati layanan kesihatan yang lebih mulia?
Khabarnya ada study mengatakan pekerja Bangladesh di Malaysia kurang dilindungi insurans perubatan dan ini membuatkan mereka tidak mampu untuk mendapatkan rawatan sekiranya sakit. Bila difikirkan, kalau begitulah kisahnya, apakah mereka ini mampu untuk membiayai sekurang-kurangnya 500 ringgit untuk tujuan pemeriksaan Covid-19?
Pekerja asing bukan sengaja melarikan diri dari menyaring kondisi kesihatan saat korona.
Selain kekangan wang ringgit, mereka juga bimbang ditangkap kerana ketiadaan dokumen yang lengkap. Laporan yang disediakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2014 menyatakan “immigration counters inside public hospitals to facilitate the referrals of undocumented migrants and asylum seekers to the police when they come seeking medical attention.”
Mimpi ngeri ini menghantui. Artikel KRI itu menerangkan walaupun ada kenyataan dari kementerian untuk tidak menangkap pekerja asing yang tiada dokumen, namun saat artikel itu diterbitkan 4,000 pekerja asing yang menghadiri program tabligh baru-baru ini masih belum disaring. Memandangkan memori silam cukup menakutkan, ini bukanlah sesuatu yang ganjil.
Tindakan menangkap pekerja asing tiada dokumen saat mereka memerlukan rawatan bukanlah sebuah tindakan nobel, berdarjat patriotik tertinggi melainkan ia adalah tindakan anti-manusiawi yang terkutuk.
Kad pengenalan, dokumen lengkap, isu warganegara dan sempadan sepatutnya tidak membataskan layanan terhadap yang memerlukan.
Ini ternyata soal kemanusiaan. Soal bantuan. Soal hidup mati. Soal krisis yang mengerikan semua. Seandainya kita melupakan golongan yang berjasa membangunkan rumah, bangunan dan jalan raya untuk kehidupan kita yang lebih cemerlang, apakah kita juga bersedia untuk disakiti virus?
Inilah persoalan yang mengusutkan saya lewat beberapa minggu. Saya bimbang kerajaan tidak mengendahkan pekerja imigran. Saya bimbang bantuan kesihatan kepada mereka tercicir. Saya risau, sekian lama mereka bekerja dengan upah yang ciput, tiada akses kepada perlindungan insurans dan ketakutan mereka disapu otoriti membuatkan mereka menjauh, seterusnya sakit dan mati begitu saja tanpa kepedulian.
Tetapi setelah Amirul Mukminin mengumumkan bantuan serta pelan rangsangan ekonominya tanggal 27 Mac lepas, saya berasa sangat lega. Banyak tawaran, program bantuan diumumkan untuk meringankan beban rakyat. Seluruh umat berlinang air matanya menadah tangan ke langit mensyukuri memiliki kerajaan yang cukup bertanggungjawab dan sanggup memotong gaji menteri selama dua bulan.
Dan saya cukup yakin, Amirul Mukminin kita tidak sesekali melepaskan tanggungjawab beliau kepada para pekerja asing walaupun secara zahirnya mereka tidak mengundi beliau menjadi Perdana Menteri dan walaupun sampai sekarang saya masih tercari-cari program khusus untuk golongan ini.
Masakan kerajaan bertaraf khalifah sengaja terlepas pandang setelah berjanji tiada siapa pun yang akan tertinggal bantuan, bukan?
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.