Ada antara kita yang berdegar-degar bila membela perihal bangsa sendiri. Mahu jadi jagoan, mahu jadi pejuang, mahu turun ke jalanan untuk menunjukkan kuasa agar kononnya tidak akan terus dipijak kepalanya.
Bagi mereka yang sibuk hendak tunjuk jantan dan mahu mengajar bangsa lain, aku sarankan pergilah tengok filem seperti Hotel Rwanda atau lebih baik, Sometimes in April. Kedua-dua filem ini berkisarkan Pembantaian Rwanda 1994.
Pembantaian Rwanda 1994 bukan saja satu titik hitam kepada negara Rwanda itu sendiri, tapi juga kepada seluruh dunia. Sebabnya kerana kegagalan masyarakat dunia melalui PBB itu sendiri untuk menghalang pembantaian yang mengorbankan sekitar 1 juta jiwa manusia.
Dalam tempoh hanya 100 hari.
Asal pembantaian bermula dari pemecahan etnik Hutu dan Tutsi, dua etnik yang mendiami Rwanda. Tidak ada banyak beza di antara Hutu dan Tutsi, sama saja seperti bila kita disuruh membezakan Melayu dan Jawa.
Namun 1994 di Rwanda keadaan politik dan sosial memecahkan dua etnik yang bersaudara ini. Hutu adalah etnik majoriti dan mereka lebih berkuasa dalam ehwal politik Rwanda. Tutsi pula minoriti, tapi mereka lazimnya jauh lebih terpelajar dan berjaya dalam bidang ekonomi.
Yang menariknya mengenai dua etnik ini mereka berasal dari keturunan yang sama dan hidup aman damai sebelum era kolonial. Bila kolonialis Jerman dan Belgium mula menjajah Rwanda dan negara sekitarnya berlaku usaha untuk memecahkan kedua etnik dan diberi layanan yang berbeza.
Proses pemecahan yang bertahun ini akhirnya menjadikan etnik Hutu dan Tutsi tidak lagi dapat berintegrasi antara satu sama lain dan menjelang 1990 satu perang saudara meletus di Rwanda. Gerila Rwandan Patriotic Front (RPF) yang dianggotai etnik Tutsi memberontak terhadap kerajaan Rwanda yang dikuasai Hutu.
Menjelang 1993 Perjanjian Arusha ditandatangani oleh kedua pihak bertelagah dan gencatan senjata bermula. Tetapi semuanya berubah pada 6 April 1994 bila kapal terbang yang dinaiki oleh Presiden Juvenal Habyarimana ditembak jatuh ketika mahu mendarat di Kigali, ibukota Rwanda.
Lantaran dari pembunuhan ini puak ekstremis Hutu dalam kerajaan menuduh etnik Tutsi dan elemen RPF bertanggunjawab. Pihak tentera Rwanda dengan sokongan militia Hutu bertindak membunuh ahli-ahli politik Hutu yang sederhana dan pemimpin Tutsi dalam kerajaan.
Dari Kigali pembantaian merebak ke seluruh Rwanda. Suratkhabar dan radio milik kerajaan yang dikuasai Hutu menyeru kepada semua etnik Hutu untuk ‘membersihkan Rwanda dari lipas Tutsi’. Rumah-rumah, kedai dan gedung, sekolah serta rumah ibadat milik etnik Tutsi dibakar hangus. Golongan dewasa Tutsi dicincang dengan parang, kerana peluru-peluru Hutu terlalu berharga untuk dibazirkan ke atas ‘lipas Tutsi’. Gadis-gadis Tutsi diperkosa dan kemudiannya dikorbankan, begitu juga anak-anak kecil. Harta-harta mereka dirampas.
Cetusan dari pembantaian ini memaksa barisan gerila RPF untuk memulakan kembali gerakan ofensif mereka. Mungkin oleh kerana tentera Rwanda yang dibarisi Hutu dan militia Hutu mereka terlalu sibuk menjarah, membunuh, merogol dan merompak, mereka tidak bersedia untuk menghadapi serangan RPF.
Perlahan-lahan, satu demi satu kota-kota di Rwanda jatuh ke tangan RPF. Menjelang 3 Julai, 100 hari genapnya pembantaian yang dicetuskan kerajaan Rwanda pimpinan Hutu, Kigali ibukota Rwanda jatuh ke tangan RPF.
Dua juta etnik Hutu lari meninggalkan Rwanda. Majoriti dari mereka ialah anggota tentera, militia Hutu dan individu-individu yang selama 100 hari itu kerjanya membantai nyawa etnik Tutsi yang mencecah sekitar 1 juta korban jiwa.
Hukum karma.
Membaca artikel sejarah seperti ini kita mungkin tidak merasa apa-apa. Untuk melalui pengalaman menempuhinya kita tidak sanggup.
Lantas filem menjadi medium untuk kita menyaksikan peristiwa hitam di Rwanda pada 1994. Menonton Hotel Rwanda dan Sometimes In April, membuatkan aku kecut perut dan merasa jijik kepada fahaman perkauman dan penindasan kaum.
Kita tidak mahu dikepung di tengah jalan oleh sekumpulan rasis yang bersenjatakan parang, ghairah mahu mengambil nyawa kita hanya kerana berlainan bangsa. Kita tidak mahu anak-anak kita dikurung dalam sekolah mereka dan dibakar hidup-hidup, hanya kerana mereka berlainan bangsa.
Kita tidak mahu itu semua di Malaysia.
Asal Pembantaian Rwanda 1994 bertitik tolak dari polisi pemecahan etnik dan dasar-dasar yang menerapkan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.
Ia kemudiannya diapi-apikan dengan semangat perkauman, kuasa bangsa seperti Hutu Power, perebutan kuasa politik dan ekonomi serta rasa sangsi antara Hutu dan Tutsi.
Hasilnya, kedua-dua Hutu dan Tutsi yang merana. Tutsi merana kerana menjadi mangsa rasisme Hutu Power. Hutu pula merana kerana dosa rasisme mereka akhirnya menyaksikan mereka kalah perang dan menjadi pelarian.
Bangsa kita dan bangsa mereka memang jauh berbeza, tidak seperti rapatnya Hutu dan Tutsi. Tapi sudah lebih 50 tahun kita menjadi adik-beradik dalam negara bernama Malaysia. Apa lagi agama Islam yang sangat sebati dengan bangsa kita ini (mana ada bangsa lain di dunia yang mempunyai agama rasmi) pun tidak pernah mengajar tentang rasisme. Tuhan tak pernah redha ‘Allahuakbar’ dilaungkan atas nama rasisme dan Nabi Muhammad pun tidak pernah berjuang atas nama Arab Power.
Mereka yang semangat nak bertumbuk di jalanan atas nama kuasa bangsa, fikirkanlah tentang keluarga di rumah, ibu bapa yang sudah tua dan anak-anak yang masih kecil. Paling penting, fikirkanlah tentang negara yang telah kita bangunkan bersama. Mahu hancur seperti Rwanda-kah kita?

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.