Apabila tular rakaman video seorang pengusaha burger tepi jalan yang membangkitkan persoalan kenapa perniagaan burger beliau dipaksa tutup sedangkan kedai judi dan mesin kuda bebas beroperasi di Sungai Buloh, ia mengingatkan kita kepada satu isu pokok. Adakah wujud salah laku dan salah guna kuasa di kalangan pihak berkuasa, baik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pun unit keselamatan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM)?
Jika tidak, masakan gerai burger yang kesalahannya mungkin beroperasi tanpa lesen atau mengganggu lalu lintas dipaksa tutup tetapi operasi yang jelas haram dan salah dibiarkan berleluasa?
Dan bila bercakap tentang salah laku, khususnya yang melibatkan PDRM, kita tidak boleh lari dari kembali mengenang IPCMC yang idea penubuhannya lahir 15 tahun lalu tapi hingga kini masih gagal dilaksanakan.
IPCMC, nama penuhnya Independent Police Complaints and Misconduct Commission atau Melayunya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ini merupakan idea yang dicetuskan pada tahun 2005 di zaman Perdana Menteri ke-5, Abdullah Ahmad Badawi. Objektif Abdullah ketika itu adalah untuk melakukan reformasi institusi dan unit keselamatan seperti PDRM berada dalam pemerhatian beliau untuk diberi penambahbaikan sewajarnya.
Susulan itu satu Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM ditubuhkan terdiri dari 16 ahli panel untuk membuat reformasi institusi terhadap badan kepolisian negara. Salah satu saranan suruhanjaya diraja ini ialah untuk mewujudkan IPCMC sebagai saluran orang awam membuat laporan tentang aduan atau salah laku polis tanpa rasa gusar dan untuk laporan tersebut disiasat secara bebas dan adil.
Namun cadangan penubuhan IPCMC ini tidak mendapat sambutan yang baik dari PDRM. Malahan Ketua Polis Negara ketika itu, Musa Hassan dan kemudiannya Khalid Abu Bakar menolak cadangan IPCMC atas alasan ianya boleh menggugat bidang kuasa pihak polis dan digunakan oleh pihak tertentu dengan tujuan mensabotaj PDRM. Tidak kurang juga ada suara-suara dari pihak tertentu yang katanya polis akan mogok kalau kerajaan meneruskan juga pelaksanaan IPCMC. Malahan dalam blok kerajaan sendiri di kalangan ahli kabinet dan pemimpin parti ada yang tidak bersetuju dengan IPCMC.
Pendek kata, idea pelaksanaan IPCMC dijadikan satu isu politik dan kenegaraan sehingga ianya didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan jika dilaksanakan.
Kesudahannya, Perdana Menteri dan kerajaan beralah pada desakan lalu pelaksanaan IPCMC ditangguhkan. Selepas Pilhana Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 bila mana Barisan Nasional (BN) hampir tewas (ada ura-ura mengatakan keputusan PRU12 ini dipengaruhi unsur sabotaj dalaman sebagai protes kepada pelbagai reformasi institusi yang dibawa oleh Abdullah), cadangan IPCMC telah dikuburkan terus.
Hinggalah pada tahun 2018, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14 barulah cadangan IPCMC ini muncul kembali. Ini selaras dengan salah satu dari Janji 20 Manifesto PH untuk menangani isu integriti dan salah laku dalam PDRM, antaranya melalui kaedah pelaksanaan IPCMC ini.
Justeru, Rang Undang-undang IPCMC telah dirangka untuk dibentangkan dalam parlimen oleh kabinet PH. Perdana Menteri ke-7, Mahathir Mohamad menjelaskan anggota polis yang tidak bersalah tidak seharusnya risau dengan penubuhan IPCMC, sambil menambah;
“… dengan penubuhan IPCMC, bukan hanya imej, malah kebajikan pihak polis juga akan turut dibela.”
Tetapi kelahiran semula IPCMC buat kali kedua ini masih ada juga tentangannya.
PDRM ketika jawatan KPN dipegang oleh Mohamad Fuzi Harun melahirkan kebimbangan mengenai IPCMC, namun selepas KPN baharu Hamid Badoor dilantik mengambil alih tugas, barulah pihak polis dilihat dapat menerima IPCMC dengan hati terbuka.
Namun lain ceritanya di kalangan UMNO dan PAS yang merupakan parti blok pembangkang ketika itu. Pada tahun 2019, UMNO dan PAS sebulat suara mahu menolak RUU IPCMC apabila ianya dibentangkan di parlimen kelak, sekaligus memaksa kerajaan PH menangguh pembentangan.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi menegaskan penubuhan IPCMC akan menjatuhkan martabat PDRM sebagai organisasi keselamatan awam.
“Janganlah menghina dan merendah-rendahkan martabat PDRM. Mereka telah bertungkus-lumus dan berkorban untuk menjaga keselamatan negara, membanteras jenayah serta menjaga ketenteraman awam.”
Manakala Presiden PAS Hadi Awang pula menegaskan;
“Maka apakah perlunya undang-undang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja pihak awam yang jahil ilmu kepolisian boleh mendisiplinkan polis tanpa mengira kelayakan iman, ilmu dan budiman, kerana terpengaruh dengan ideologi tidak beriman yang sedang merudum di negara penciptanya.”
Lantaran tekanan ini, kerajaan PH menangguhkan pembentangan RUU IPCMC beberapa kali. Sama seperti ketika zaman Abdullah Badawi, Mahathir Mohamad juga berdepan bantahan dari pihak tertentu apabila menyentuh isu pelaksanaan IPCMC.
Apabila Perikatan Nasional (PN), mengambil alih kerajaan timbul tanda tanya tentang nasib IPCMC, sama ada masih akan diteruskan atau terpaksa dikuburkan sekali lagi. Kerajaan PN sebaliknya mengambil pendekatan berbeza untuk menggantikan IPCMC dengan Independent Police Conduct Commission (IPCC). Pada masa yang sama, ahli parlimen PN pula jelas menuntut agar RUU IPCMC dibatalkan terus kerana ianya adalah idea PH dan bukannya PN.
Bagaimana IPCC ini boleh menjadi lebih berkesan berbanding IPCMC, masih menjadi tanda tanya.
Tetapi apa yang jelas, idea asal IPCMC adalah untuk menyediakan satu saluran di mana orang awam boleh membuat aduan tentang salah laku anggota polis, dan aduan tersebut akan disiasat oleh satu badan bebas yang tidak terikat di bawah PDRM. Badan tersebut kemudiannya akan mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman jika pegawai polis didapati terlibat dalam salah laku, antara hukuman yang dicadangkan ialah perlucutan atau penurunan jawatan.
Persoalan sama ada IPCMC akan menjatuhkan martabat atau menjejaskan kuasa polis sebenarnya tidak wujud sama sekali. Jika seorang pegawai memang tidak terlibat dalam sebarang salah laku, maka seperti yang dijelaskan Mahathir tidak perlu ada kerisauan. Gunanya IPCMC adalah sebagai satu check and balance untuk memastikan PDRM kekal sebagai pasukan keselamatan awam yang berintegriti dan dihormati. PDRM pula akan dipandang tinggi sebagai sebuah badan keselamatan yang telus dan amanah. Inilah gunanya IPCMC, untuk membantu PDRM ke arah tujuan tersebut.
Kita tidak mahu orang awam hingga terpaksa merakamkan video tular semata untuk menunjukkan bagaimana kesalahan yang terang dibiarkan berleluasa sekaligus menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat adakah polis bersekongkol dengan penjenayah dan terlibat dalam salah laku.
Kerana ini yang sebenarnya akan menjatuhkan martabat PDRM.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.