Pastikan CSA Bukan Sandiwara Politik

Akhirnya, sebagai usaha menstabilkan politik negara, kerajaan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) pada 13 September 2021. Peristiwa bersejarah ini amat penting dalam membina struktur politik baharu yang kian buntu akibat polemik politik yang tidak berkesudahan.

Secara umumnya, tindakan ini tepat pada masanya bagi meredakan suhu politik negara. Ada yang melihat CSA sebagai satu amalan baharu dalam mematangkan politik Malaysia. Namun, ada dalam kalangan rakyat turut melihat CSA ini akan menambahkan sandiwara politik jika gagal diuruskan dengan cermat.

Sebelum perjanjian ini dimeterai, Ismail Sabri telah melakukan beberapa keputusan yang bercanggah dengan semangat dwipartisan yang dituntut pembangkang. Pertama, melantik semula Muhyiddin Yassin mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Kedua, mengekalkan saiz kabinet besar dengan hampir lebih 80 peratus menteri-menteri pentadbiran Muhyiddin. Ketiga, tidak membawa usul percaya di Dewan Rakyat untuk memastikan legitimasi kerajaannya bagi mentadbir negara.

Keputusan yang bercanggah ini secara tidak langsung telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kejujuran kerajaan Ismail Sabri melaksanakan persefahaman yang telah dicapai bersama PH.

Tentunya, PH akan meletakkan kepentingan rakyat sebagai kompas utama dalam perjanjian ini. Cuma, saya ada keraguan dengan kemampuan kerajaan Ismail Sabri untuk melaksanakan CSA ini dalam tempoh masa yang amat terhad.

Berdasarkan satu tinjauan Ilham Center, sebanyak 32 peratus masyarakat Melayu-Muslim mengutamakan perubahan institusi ekonomi dan pendidikan, 27 peratus pula menyokong penambahbaikkan urus tadbir, dan perubahan institusi parlimen hanyalah sekadar 13 peratus. Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu-Muslim mahu perubahan institusi berlaku, cuma bukanlah kepentingan utama mereka.

Sekiranya masyarakat Melayu-Muslim, yang merupakan penyokong asas kerajaan PN, tidak melihat agenda perubahan institusi sebagai perkara utama, apakah rasional Ismail Sabri meneruskan CSA ini?

Dari sudut yang berbeza, kerajaan Ismail Sabri boleh melipatgandakan dasar-dasar bersifat populis, khususnya dalam ekonomi, bagi mendapatkan sokongan rakyat. Sekiranya tawaran populis itu kena pada mood dan mendatangkan durian runtuh buat rakyat, maka perubahan institusi ini bukanlah satu keutamaan lagi dan CSA ini akan dipinggirkan.

CSA Perlu Disemak Secara Terbuka

Tuntutan CSA sepertI pemerkasaan MA63, penggubalan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, dan menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, yang perlu melibatkan pindaan perlembagaan, akan mengambil proses dan masa yang panjang untuk dilaksanakan serta tidak menguntungkan kerajaan Ismail Sabri.

Ada dua cara kerajaan Ismail Sabri boleh menamatkan CSA dengan PH jika beliau gagal melaksanakannya. Pertama, memeterai CSA dengan parti Pejuang dan Warisan. Kedua, memberi tekanan kepada PH untuk membatalkan perjanjian ini dengan membuat keputusan kontroversial dan bercanggah dengan prinsip PH.

Bagi memastikan perjanjian persefahaman ini ditunaikan, perlu ada pendekatan berkesan bagi menyemak setiap butiran-butiran CSA yang dilaksanakan kerajaan Ismail Sabri dan PH.

Pertama, CSA ini perlu diangkat sebagai Kertas Putih kerajaan. Langkah ini penting agar setiap butiran CSA diiktiraf sebagai dasar rasmi kerajaan yang boleh dibahaskan secara terbuka di parlimen, khasnya perkara melibatkan pindaan perlembagaan dan penggubalan RUU baharu.

Ia sekurang-kurangnya dapat mengikat kedua-dua belah pihak untuk memberi kerjasama dwipartisan secara telus dan terbuka, bukan sekadar satu rundingan politik yang menguntungkan sekerat pihak sahaja.

Kedua, satu laporan lengkap mengenai pelaksanaan CSA perlu dibentangkan di parlimen sebelum pilihan raya diadakan. Butiran laporan ini penting supaya rakyat dimaklumkan dengan pelaksanaan CSA yang telah dipersetujui antara kerajaan Ismail Sabri dan pembangkang serta bagaimanakah kerjasama dwipartisan ini berlaku.

Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan supaya CSA yang dipersetujui ini bukanlah satu sandiwara untuk menghalalkan perbuatan beberapa aktor politik yang gemar melakukan percaturan politik melangkaui batasan moral dan aspirasi rakyat.

Kunci Utama CSA

Penelitian kemajuan CSA dengan menjadikan parlimen sebagai badan mengawasinya diharapkan dapat menepis pelbagai muslihat dan perkara-perkara di luar batasan berlaku sama ada secara tersurat atau tersirat. Keterbukaan dan kejujuran merupakan kunci utama CSA dapat dijalankan dengan baik.

Hakikatnya, rakyat mahu CSA ini dilaksanakan untuk memperkukuh sistem demokrasi berparlimen dan mengatasi krisis politik negara yang kian buntu. Mereka mahukan kerjasama dwipartisan antara pemimpin bagi mengekang pandemik dan memulihkan ekonomi negara.

Suka atau tidak, CSA ini perlu dilaksanakan kerajaan Ismail Sabri jika mahu mengelak ledakan politik yang lebih besar. Kerajaan PN akan hilang kepercayaan rakyat jika tidak menunaikan CSA. Situasi ini akan memburukkan lagi reputasi PN dan UMNO yang mahu mempertahankan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

CSA ini turut memberi ruang kepada PH untuk menunjukkan kewibawaannya sebagai kerajaan menunggu (government in waiting). Tetapi, tidak bijak sekiranya PH bergantung penuh kepada CSA dan beranggapan kerajaan Ismail Sabri boleh membawa reformasi institusi sepenuhnya. PH perlu memikirkan dua tiga langkah ke hadapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku. Tanpa perancangan rapi, maka PH merancang untuk gagal.

Kejayaan CSA bergantung kepada sejauh mana parti-parti politik ini memberi komitmen secara dwipartisan untuk melaksanakan agenda dipersetujui bersama. Jika kerajaan Ismail Sabri dan PH berjaya menunaikan CSA ini, ia akan membawa politik Malaysia yang lebih matang. Jika tidak, polemik politik negara akan bertambah parah dan usaha mengatasi pandemik dan ekonomi negara akan berada di jalan buntu.

Komen