Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah pun berakhir dan keputusannya sudah pun tercanang ke pelosok negara. Barisan Nasional (BN) seperti dijangka telah menang, tetapi rasanya tidak ramai menduga kemenangan yang dicatatkan begitu besar hingga membolot 75% kerusi DUN Melaka dan melebihi majoriti 2/3.
PRN Melaka mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 65.85%, agak rendah berbanding PRN Melaka sebelumnya tetapi kita memahami beberapa faktor yang menyebabkan ini berlaku. Salah satunya adalah risiko Covid-19, selain faktor PRN ini diadakan secara mengejut dan menyukarkan pengundi luar untuk pulang mengundi.
Kejayaan BN mendapatkan majoriti 2/3 telah digembar-gemburkan sebagai bukti parti itu kini kembali diterima rakyat. Tetapi angka-angka pilihan raya boleh mengelirukan dan memberikan gambaran yang tidak seimbang jika tidak dianalisis secara mendalam. Sebagaimana kemenangan BN besar mungkin sekadar ilusi, begitu juga kekalahan Pakatan Harapan (PH) dan kegagalan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidaklah seburuk yang disangka.
Barisan Nasional
Kejayaan memenangi 21 kerusi DUN memberikan petanda positif buat BN malahan telah mencetuskan kobaran baru di kalangan pimpinan yang kini tidak sabar mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin bersandarkan feel good factor yang ada. Tambahan lagi, kejayaan BN agak luar biasa kerana ia tidak mengharapkan UMNO secara 100% tetapi turut dibantu kemenangan dua parti komponen lain iaitu MCA dan MIC.
Tetapi meneliti lebih mendalam, kita akan menyedari angka 21 kerusi DUN tidaklah gah jika dibandingkan dengan peratusan undi popular BN sebanyak 38.39%. Ia adalah peningkatan kecil berbanding PRN Melaka 2018 di mana BN mencatatkan peratusan undi popular sebanyak 37.84%.
Apa yang memberikan kelebihan kepada BN adalah sistem First-Past-The-Post (FPTP) yang memihak pada mereka. Dari 21 kerusi yang dimenangi BN, 11 darinya adalah kerusi yang mempunyai kurang dari 15,000 pengundi berdaftar, dalam erti kata lain kerusi DUN kecil yang diwujudkan khusus sebelum ini untuk memberi kelebihan buat BN.
Sejumlah 11 kerusi yang dimenangi BN juga mencatatkan majoriti di bawah paras 1,000 undi. Ini menjelaskan kenapa peratusan undi popular BN rendah di sebalik kemenangan besar dari segi kerusi. BN sebenarnya bernasib baik kerana di beberapa kerusi yang menyaksikan persaingan sengit dan rapat, BN muncul pemenang khususnya di N2 Tanjung Bidara, N15 Pengkalan Batu, N21 Duyong dan N26 Serkam (yang mencatatkan majoriti terkecil dengan hanya 79 undi).
Dari segi prestasi parti komponen, UMNO menyumbangkan sebahagian besar kerusi iaitu 18 dari 20 yang ditandinginya. Satu perkembangan positif buat BN adalah kejayaan MCA dan MIC memenangi 2 dan 1 kerusi selepas prestasi buruk kedua-dua parti komponen ini ketika PRN Melaka pada tahun 2018.
Pakatan Harapan
PH adalah pihak yang paling rugi susulan PRN Melaka ini. Di sebalik kempen mengembalikan mandat rakyat, PH bukan sahaja gagal membentuk kembali kerajaan negeri tetapi juga kehilangan 2/3 dari kerusi yang dimenanginya pada PRN Melaka 2018.
Jika sistem FPTP menguntungkan BN, yang sebaliknya berlaku kepada PH. Walaupun mencatatkan peratusan undi popular sebanyak 35.8% dan tidak jauh ketinggalan berbanding BN, namun dari segi kerusi PH hanya berjaya memenangi atau mempertahankan 5 kerusi DUN.
Kesan sistem FPTP dalam pilihan raya ini tidaklah menghairankan jika kita soroti kembali angka-angka pada PRN Melaka 2018. Tiga tahun lalu, PH mendapat majoriti mudah dengan 15 kerusi DUN walaupun memperoleh undi popular sebanyak 51.11%. Bandingkan dengan BN yang memenangi PRN Melaka 2021 sebanyak 21 kerusi DUN walaupun undi popularnya hanya 38.39%.
Dari segi prestasi parti komponen, PKR paling teruk apabila kalah di semua kerusi yang ditandingi. DAP yang diuar-uarkan bakal mempertahankan semua 8 kerusi yang pernah dimenanginya hanya mampu menenangi separuh. AMANAH pula hanya menang satu kerusi di N17 Bukit Katil yang ditandingi calon Ketua Menteri dari PH, Adly Zahari.
Walaupun kalah teruk, ada beberapa pekara yang memberikan harapan buat PH. Pertama, peratusan keluar mengundi yang rendah mungkin berpunca dari ketiadaan pengundi luar yang dilaporkan merupakan punca kuasa utama PH. Ketiadaan pengundi muda dari kelompok 18 ke 20 tahun juga bermakna masih ada potensi baru yang belum disentuh PH, sesuatu yang perlu diteroka menjelang PRU15 nanti.
Perikatan Nasional
Ramai yang berpendapat PN telah gagal di dalam PRN Melaka. Namun siapa yang sebelum hari pengundian berani menjangkakan bahawa PN boleh memenangi satu atau dua kerusi DUN?
Satu kesilapan paling besar yang boleh dibuat seseorang apabila menganalisis keputusan PRN Melaka adalah untuk memandang rendah pencapaian PN. Dengan kejayaan memenangi 2 kerusi DUN dan peratusan undi popular sebanyak 24.31%, PN membuktikan sebagai pendatang baharu ia adalah kuasa yang perlu dicermati pihak lawan.
Di N26 Serkam misalnya, PN kalah tipis 79 undi majoriti kepada BN. Begitu juga di N2 Tanjung Bidara yang menyaksikan PN tewas kepada BN dengan 364 undi majoriti. Dari 28 kerusi DUN yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara blok politik besar ini, PN mendapat undi kedua terbanyak di 10 kerusi DUN, mengatasi PH.
Oleh kerana PAS merupakan salah satu parti komponen PN, maka pencapaian PN boleh diukur bersandarkan pencapaian Gagasan Sejahtera (GS) yang dipelopori PAS pada PRN Melaka 2018. Pada tahun 2018, GS gagal memenangi sebarang kerusi DUN dan hanya mencatatkan undi popular pada kadar 10.78%. Terbukti gabungan PAS dan BERSATU di bawah PN (serta tidak ketinggalan GERAKAN sebagai parti komponen bukan Melayu) berjaya meningkatkan jumlah undi PN khususnya PAS berbanding era GS dahulu.
Dari segi pecahan undi setiap parti komponen, BERSATU menunjukkan prestasi yang baik apabila berjaya meraih sejumlah 46,688 undi, jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan undi diperoleh PKR dan AMANAH. Malahan 2 kerusi dimenangi PN adalah melalui calon dari BERSATU. PAS mencatatkan kemerosotan dari jumlah undi berbanding PRN Melaka 2018, tetapi ia berkait rapat dengan peratusan mengundi yang rendah. Setidaknya, PAS boleh berbangga dengan keputusan di N26 Serkam yang menyaksikan parti itu tewas tipis di tangan UMNO/BN. Sedang GERAKAN pula dilihat lebih sekadar melengkapkan trio dalam PN sebagai parti komponen bukan Melayu dan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan DAP atau MCA.
Kesimpulan
Tidak dinafikan BN menang PRN Melaka dengan majoriti lebih 2/3. Tetapi kemenangan ini indah khabar dari rupa jika dinilai pada petunjuk yang lain seperti undi popular dan pencapaian pihak lawan iaitu PH dan PN. Kesilapan BN yang paling besar adalah seandainya mereka berfikiran bahawa PRN Melaka adalah bukti BN masih kuat dan masih diterima rakyat secara meluas.
PRN Melaka seperti diketahui umum adalah prelude kepada PRU15 yang mungkin boleh berlaku seawal tahun hadapan. Ia memberikan senario pertembungan tiga penjuru antara tiga blok politik utama mirip PRU14. Cuma bezanya berbanding tahun 2018 dahulu, ketiga-tiga blok politik kini dilihat hampir seimbang dari segi kekuatan parti komponen di dalamnya. Lantaran, PRU15 bakal menjadi medan pertempuran yang menjanjikan kejutan luar biasa yang sukar diduga.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.