SAYA buka tulisan ini dengan sebuah kisah lucu berkaitan Pak Pandir. Kisahnya begini. Suatu hari Pak Pandir melalui satu lorong yang kecil semasa hendak pulang ke rumahnya. Di tengah perjalanan, dia terjumpa seketul najis yang masih panas di tengah jalan. Tapi dia masih ragu-ragu sama ada benda yang dia jumpai itu adalah seketul najis atau tidak. Oleh kerana kemusykilan yang teramat sangat, Pak Pandir mengambil keputusan untuk mengkaji sampel najis berkenaan dengan teliti.
Dia meneliti najis tersebut lalu berkata “bentuk macam tahi.” Selepas itu mengambil keputusan untuk memegang pula najis itu lalu dia berkata, “Lembik macam tahi”. Kemudian dia menghidu najis berkenaan sambil berkata, “bau macam tahi”. Oleh kerana Pak Pandir ini masih ragu-ragu dengan najis tersebut, lalu dia pun mengambil keputusan untuk menjilat sedikit najis tersebut. Sebaik sahaja menjilat dia pun menjerit…”memang sah tahi.. nasib baik aku tak terpijak!”
Begitulah kelucuan Pak Pandir yang saya jumpai di carian Internet. Kadangkala kedangkalannya tidak masuk akal dan tidak dibuat-buat. Tetapi bagaimana sekiranya dalam realiti orang seperti Pak Pandir benar-benar wujud? Dan bagaimana sekiranya orang seperti Pak Pandir ini berebut-rebut memenuhi menara gading dan memimpin perkembangan intelektual masyarakat? Atau sebenarnya telah pun berlaku semangat kepandiran itu?
Ciri-ciri Pandirisme Dari Syed Hussein Alatas
Sebenarnya seawal tahun 90-an ada seorang pemikir yang bernama Syed Hussein Alatas telah menjelaskan berkaitan fenomena pandir yang digelarkan beliau sebagai “Pandirisme”. Hal ini telah dicatatkan di dalam bukunya iaitu “Intelektual Masyarakat Membangun” (1991). Terdapat beberapa ciri orang pandir yang telah digariskan oleh beliau antaranya 1) tidak mampu mengenali permasalahan, 2) jika diberitahu masalah kepadanya tidak mampu diselesaikan, 3) tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, 4) tidak mampu mempelajari seni belajar, 5) biasanya dia tidak mengakui kepandirannya.
Pada maksud yang lain pandir bukanlah maksud sebuah kegagalan sekiranya orang itu telah berusaha sebagai contoh doktor bedah tidak dikatakan pandir hanya kerana dia gagal menyelamatkan nyawa pesakit, orang tidak menjadi pandir walaupun dia tidak dapat apa yang diperjuangkan kerana tidak adanya kesempatan. Orang yang buta huruf dan tidak berpengetahuan tidak dikatakan pandir apabila dia mempunyai kemampuan untuk belajar dan menggunakan kesempatan itu. Pendek kata pandirisme tidak akan hadir sekiranya kesedaran dan usaha untuk perbaikan ditanam dalam diri. Sebaliknya jika kesedaran dan usaha itu tidak punya untuk perbaikan maka pandirisme akan menjenguk perlahan.
Orang pandir biasanya terselindung di sebalik penyamaran contohnya sebagai anggota parlimen, menteri, peguam, doktor, sejarawan, ahli ekonomi dan akademik. Orang pandir harus dikaitkan dengan tugas hakikinya. Seperti mungkin seorang menteri bijak bermain golf tetapi di dalam melaksanakan tugas dalam kementeriannya merupakan seorang pandir. Seorang guru bijak mengambil gambar, tetapi dalam mendidik dia termasuk sebagai salah seorang yang pandir. Paling bahaya sekiranya orang pandir bergerak dalam kolektif. Bermaksud dalam organisasinya terdapat juga orang bijak maka keputusan pandirnya tidak terus boleh dilihat, dikritik atau dihukum kerana sukar menunjukkan kesalahannya dengan tepat.
Contoh kes pandir yang berlaku dalam negara kita ketika mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 59 kakitangan universiti awam dan swasta dengan 49 daripadanya didakwa di Mahkamah antara 2017 dan Ogos tahun ini, atas kesalahan rasuah. Kes itu melibatkan sejumlah RM1,323,203.68 wang haram iaitu RM1,311,403.68 dari universiti awam dan RM11,800 dari universiti swasta. Antara kes itu melibatkan seorang pengarah universiti awam yang ditahan baru-baru ini, didakwa menerima sebuah kereta sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan tender bernilai RM1.6 juta dan seorang profesor universiti yang turut ditahan berhubung dakwaan tuntutan palsu melibatkan dana penyelidikan RM66,000. Keputusan ini menggambarkan tidak tahu mana diletakkan otak pandir itu. Disebabkan goresan pena mereka habis berjuta wang untuk pelajar hangus bertebaran.
Memahkotakan Pandir Di Menara Gading
Seperti mana sifat pandir yang dijelaskan tadi, amat membimbangkan apabila ia merebak ke menara gading. Sekiranya autoriti-autoritinya memegang erat pemikiran yang berteraskan kepandiran, pelajarnya akan berada dalam kerugian termasuk masa dan wang ringgit. Akhirnya akan memufliskan pemikiran dan kesedaran nurani pemuda terhadap persekitaran mereka dan masyarakat tidak akan lagi memandang tinggi terhadap peranan menara gading. Menara gading yang sepatutnya menjadi tempat pemupukan moral akhirnya akan menjadi kawasan pembentukan buta moral.
Ada tiga perkara untuk dilihat sama ada menara gading itu telah memahkotakan pemikiran pandir atau belum. Yang pertama ruang dan praktik untuk demokrasi dihalang. Apabila demokrasi dalam berwacana dihalang dan tidak dipraktikkan sepenuhnya maka pemikiran kritikal tidak akan dibentuk. Malah mereka langsung tidak ada rasa tanggungjawab untuk mengajarkan tentang demokrasi. Yang mahu dilahirkan seputar idea “yes man” bukan “not that”. Masalah ketempangan demokrasi tidak dikenalpasti jadi kecenderungan untuk membetulkannya tiada. Nah inilah ciri pandirisme tadi. Akhirnya pelajar tidak dilibatkan dalam representasi, membuat keputusan, merebut hak dan mempersoalkan amanah yang dipegang elit politik dan penguasa.
Kedua sekiranya menara gading tidak ada semangat, usaha dan keyakinan untuk membicarakan soal keadilan, kesaksamaan dan pengagihan ekonomi maka secara perlahan pandirismelah yang telah menjadi penghuni di dalamnya. Inflasi bukan kekata janggal, begitu juga dengan jurang ekonomi kaya miskin. Bagaimana kemiskinan telah menjalar membuat kelompok itu ketinggalan gagal untuk dipermasalahkan. Mereka seolah terpisah dari realiti yang sedang dihadapi, malah lebih buruk mengendahkan segala kesulitan termasuk dari pelajarnya sendiri. Seperti kisah Pak Pandir tadi, sudah mencium najis barulah tahu itu najis dan gembira kerana tidak memijaknya.
Ketiga apabila kestabilan sosiobudaya dan toleransi agama tidak diperkirakan sebagai kemajuan, maka itulah jelmaan pandir yang dahsyat. Pandir boleh hadir dalam kelompok menandatangani perjanjian menyokong sosok politik tetapi tidak boleh hadir secara kumpulan untuk menyatakan perilaku jahat, korup, sentimen perkauman dan ekstremisnya sesetengah parti politik dalam merebut kuasa. Maka ini menunjukkan mereka tidak tertarik pada nilai moral sebaliknya suka terlibat dengan pola kuasa. Sekiranya ditanya apa jalan keluar mereka boleh berputar bicara sehingga fajar menyingsing tiba.
Jangan Biar Pandir Ketawa
Tugas pemuda adalah merebut semula apa yang telah pandir ambil dan jaga. Pembangunan masyarakat harus disegerakan seperti kata Peter Lavrov;
“Progress consists in the development of consciousness and in the incorporation of truth and justice in social institutions; it is the process that is being accomplished by means of the critical thought of individuals who aim the transformation of their culture.”
Jika ditanya apakah nasihat untuk pemuda yang baru mahu menyambung pengajian, jawapan saya jangan biarkan pandir berkuasa.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.