Hari ini Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang sebenarnya ditala khas untuk berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang banyak menjejaskan prospek ekonomi global, selain beberapa isu lain seperti perang dagang antara Amerika Syarikat dan Republik Rakyat China.
Ada isu sebenarnya di sebalik pembentangan pakej tersebut, apa lagi mengambil kira krisis politik semasa negara dan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan pada 24 Februari 2020 akibat pengkhianatan dari dalam oleh Blok Azmin dari PKR dan parti BERSATU sendiri. Kedudukan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim menimbulkan persoalan sama ada beliau mempunyai kuasa untuk meluluskan dan membentangkan perbelanjaan sedemikian. Namun mengambil kira senario ekonomi negara dengan kadar pertumbuhan ekonomi terendah pada tahun 2019 sebanyak 4.3% sejak 2009, adalah perlu untuk pakej rangsangan tersebut dilaksanakan pada kadar segera.
Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 secara kasarnya terbahagi pada tiga strategi iaitu:
1. Strategi I – Menangani Impak COVID-19 (18 langkah)
2. Strategi II – Memangkin Pertumbuhan Berteraskan Rakyat (5 langkah)
3. Strategi III – Menggalakkan Pelaburan Berkualiti (9 langkah)
Strategi I secara asasnya banyak melibatkan pakej rangsangan untuk membantu perniagaan berdepan dengan kesan dari COVID-19, khususnya dalam sektor pelancongan yang merupakan sektor paling terjejas teruk. Ini termasuklah penjadualan semula pinjaman, bantuan khas, kemudahan kredit mikro, potongan dan pengecualian cukai serta levi dan juga diskaun untuk bil elektrik. Untuk rakyat pula, pelepasan cukai sebanyak RM1,000 untuk pelancongan domestik diberikan selain baucer diskaun sebanyak RM100 seorang dan insentif tunai secara one off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, bas pelancong dan pemandu pelancong. Kerajaan juga tidak lupa untuk menghargai usaha para petugas kesihatan dan imigresen yang terlibat menangani COVID-19 dengan pemberian elaun khas RM400 sebulan kepada kakitangan perubat dan RM200 sebulan bagi kakitangan imigresen dan sebagainya sehinggalah tamat penularan COVID-19.
Untuk Strategi II pula ianya lebih tertumpu pada meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan projek berteraskan rakyat. Antaranya ialah pilihan untuk pencarum KWSP mengurangkan kadar caruman dari 11% ke 7% sehingga hujung tahun ini dengan sasaran dapat mewujudkan wang belanja sebanyak RM10 bilion. Bantuan Sara Hidup bernilai RM200 juga diawalkan dari Mei ke Mac 2020, selain tambahan sebanyak RM100 dibayar Mei 2020 dan RM50 lagi disalurkan secara e-Tunai. Projek berteraskan rakyat pula akang merangkumi projek kemudahan awam dan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, lampu jalan, saliran dan bekalan air luar bandar; kesemuanya secara total berjumlah RM2 bilion dengan manfaat disasarkan pada kontraktor Bumiputera dan kecil.
Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, Strategi III akan memastikan penggalakan pelaburan berkualiti. Ini termasuklah antaranya merancakkan pelaburan awam oleh kerajaan sendiri, kemudahan automasi dan digitalisasi, dana pelaburan bersama, potongan cukai khas serta pengecualian duti import, cukai jualan dan pemberian elaun modal bagi peralatan ICT.
Keseluruhan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 ini akan membawa implikasi kewangan berjumlah RM20 bilion sebagai suntikan kepada ekonomi. Dari nilai tersebut, RM2 bilion adalah untuk projek berskala kecil, RM1.5 bilion datang dari langkah cukai sementara RM3.5 bilion pula adalah melalui dana pinjaman. Baki sebanyak RM13 bilion lagi adalah dari sumber lain antaranya dari pengurangan kadar caruman KWSP pekerja.
Dengan slogan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan”, pakej yang dirangka secara teliti oleh pihak Kementerian Kewangan dengan diketuai oleh YB Menteri Kewangan hampir sahaja terkubur kerana krisis politik semasa. Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjaya dimuktamadkan pada hari Ahad 23 Februari 2020, hari terakhir saudara Lim Guan Eng bertugas sebagai Menteri Kewangan dan ianya diserahkan kepada Tun Dr. Mahathir pada Isnin 24 Februari 2020. Ura-ura awal menjangkakan pengumuman dan pelaksanaan pakej ini akan ditangguh, tetapi ia akhirnya dibentangkan juga pada Khamis 27 Februari 2020 seperti yang telah direncanakan.
Pun begitu, masih ada kelompok tertentu yang cuba mengambil kredit atas pakej ini ibarat “lembu punya susu, sapi mendapat nama”. Antara yang terawal muncul memberikan ulasan dan mengampu Perdana Menteri Interim berkenaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 adalah Azmin Ali sendiri. Sedangkan umum tahu pada hari Ahad 23 Februari 2020 beliau terlalu sibuk menguruskan hal ehwal Langkah Sheraton beliau yang kecundang. Selain itu, ada pula segelintir pihak berkepentingan yang mendakwa pakej ini hasil kerja tangan agensi lain antaranya Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN). Walhal draf pakej hanya diserahkan pada Isnin untuk dibentangkan pada Khamis, satu sela masa yang singkat untuk sebarang perubahan atau penambahan dibuat. Mungkin kerana senario politik semasa, maka berlakunya unsur menafikan hasil kerja pihak lain dan mengaku empunya usaha demi kepentingan pihak tertentu.
Walau apa sekalipun, adalah menjadi harapan kita semua agar Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan bagi mendatangkan impak yang diharapkan.
Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.