Orientasi Mahasiswa bukan Tadika

Beberapa minggu ini akan banyak kelihatan video-video atau foto-foto minggu orientasi anak-anak kampus. Tahniah kepada mahasiswa baharu yang terjun masuk ke universiti. Takziah kerana kedatangan kalian disambut dengan program orientasi yang memalukan. Tidak semua universiti, tetapi kebanyakan.

Saya tidak tahu atau mungkin tiada siapapun yang tahu bagaimana orientasi kampus yang keanak-anakan ini wujud. Entah budaya mana yang dicedok masuk. Apapun orientasi semacam menari-dansa, meminta tandatangan senior, bertepuk-tampar ini bagi ramai orang tidak waras dan tidak ada tujuan apa-apapun selain daripada membuat abang-kakak fasilitator marah kerana ramai mahasiswa tidak ikut serta.

Lebih waras mahasiswa baharu berbanding abang-kakak senior barangkali ya?

Tidak ada sebarang standard bagaimana seharusnya orientasi itu dijalankan, tapi ramai yang setuju ia tidak sepatutnya begitu. Para pengendali orientasi mahasiswa sepatutnya mengambil kesempatan terhadap semangat yang masih kencang dari anak-anak kampus baharu ini. Isi semangat itu dengan bercerita akan hal-hal mahasiswa, pendewasaan diri dalam kehidupan kampus, selain daripada hal-hal teknikal pengajian seperti subjek, jam kredit dan lokasi bilik kuliah. Bukannya dengan menari ikan jerung.

Mungkin bunyinya akan agak terlalu serius dan tidak gembira, tetapi itulah mood universiti sebenarnya. Tanpa menjauhkan perasaan gembira, universiti seharusnya lebih bersikap serius dan kurang bermain-main. Mahasiswa universiti harus lebih tekun memaknai definisi mahasiswa dan universiti itu, tanpa rasa main-main. Tidak dilarang, cuma harus lebih serius. Jika terlalu banyak main, seperti orang tua cakap, hujungnya akan menangis.

Di sini ada beberapa cadangan bagaimana untuk mengendalikan orientasi mahasiswa. Pertama sekali, adakan beberapa siri forum/dialog bertemakan mahasiswa. Perasaan ingin tahu mahasiswa harus dicungkil, dan lebih baik lagi dihujung perbincangan itu, ada persoalan-persoalan yang harus mahasiswa baharu cari sendiri. Seterusnya, aktiviti-aktiviti semacam riadah baik sekali untuk jasmani mahasiswa. Terpenting sekali ialah melayani mahasiswa sepertimana orang-orang dewasa, dan bukannya anak-anak tadika.

Tahniah kepada abang-kakak pengendali minggu orientasi mahasiswa yang tidak tergolong dalam kelompok yang tidak melihat peluang orientasi ini sebagai jalan untuk melahirkan mahasiswa yang berfikir. Mereka yang tergolong itu bukannya apa, mungkin saja mereka juga bukanlah dari kumpulan mahasiswa yang mahu berfikir.

Mahasiswa kerap sekali dinobatkan sebagai orang-orang penting bangsa. Cuma universiti semacam tidak menjadi tempat terbaik untuk bangsa.

(Artikel ini adalah tulisan saudara Naiem Zikri dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen