Pencerobohan ruang udara negara oleh 16 pesawat People’s Liberation Army Air Force (PLAAF) China baru-baru ini adalah satu insiden yang sangat serius. Dilaporkan pesawat PLAAF tersebut telah menceroboh masuk hingga ke Beting Patinggi Ali yang terletak dalam wilayah perairan negara dan berkedudukan hanya kira-kira 100 kilometer dari pesisir pantai Sarawak.
Enam belas kapal terbang itu terdiri dari pesawat Xian Y-20 dan Ilyushin Il-76. Il-76 adalah pesawat pengangkut strategik buatan Rusia yang pertama kali diperkenalkan sejak 1974. Ia berkeupayaan membawa anggota tentera dan peralatan untuk operasi ketenteraan dengan jarak penerbangan yang jauh. Manakala Y-20 pula adalah pesawat buatan China dengan fungsi yang sama seperti Il-76. Namun ia jauh lebih moden berbanding Il-76, dioperasikan pertama kalinya pada tahun 2016 dan merupakan pesawat terbesar yang pernah dibangunkan sendiri oleh China.
Kita tidak pasti apa tujuan sebenar pencerobohan ruang udara oleh PLAAF. Tetapi tidak salah untuk kita bersikap curiga kerana pencerobohan ini jelas melanggar kedaulatan negara dan merupakan satu bentuk ancaman terhadap keselamatan negara. China memang cukup terkenal dengan tindakan provokasi di Laut China Selatan, bukan sahaja terhadap Malaysia tetapi juga negara lain seperti Vietnam atau Filipina.
Satu perkara yang perlu kita sedari, tuntutan China di Laut China Selatan adalah berdasarkan Nine-dash Line rekaan mereka. Ini merangkumi hampir keseluruhan Laut China Selatan termasuklah Gugusan Spratly, Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai. Pencerobohan 16 pesawat PLAAF mungkin satu latihan untuk menguji keupayaan mereka menerbangkan tentera atau kargo ke mana-mana lokasi dalam lingkungan Nine-dash Line. Atau lebih buruk, menguji keupayaan untuk terbang terus ke wilayah Sarawak atau Sabah dan masa tindak balas yang diambil oleh TUDM ke atas pencerobohan PLAAF.
Tindakan TUDM menerbangkan tiga pesawat Hawk 208 dari Labuan untuk memintas pesawat PLAAF adalah langkah tepat dalam menunjukkan ketegasan TUDM demi mempertahankan ruang udara negara. Hasil pintasan tersebut kesemua 16 pesawat PLAAF telah berpatah balik untuk keluar dari ruang udara Malaysia. Walaupun Hawk 208 adalah pesawat tempur ringan yang lebih sesuai untuk serangan darat, ia masih berupaya melakukan tugas memintas pesawat penceroboh yang lazimnya dilaksanakan oleh pesawat pejuang berkeupayaan tinggi seperti Sukhoi Su-30MKM. Beberapa sumber turut memetik sejumlah 4 pesawat pejuang Su-30MKM turut diterbangkan dari Gong Kedak, Terengganu yang mungkin menjadi penyebab utama pesawat PLAAF berpatah balik.
Pencerobohan ini adalah mesej jelas kepada kerajaan dan rakyat bahawa kita tidak boleh memandang enteng keperluan TUDM yang sangat mendesak. Sejak sekian lama, TUDM telah menyatakan hasrat untuk memperolehi pesawat baru melalui perolehan MRCA (Multi Role Combat Aircraft) dan LCA (Light Combat Aircraft). Pesawat MRCA seperti Eurofighter Typhoon atau Dassault Rafale adalah perlu bagi melengkapi pesawat berkeupayaan tinggi sedia ada TUDM seperti Su-30MKM dan F/A-18D Hornet. Manakala keperluan LCA seperti HAL Tejas atau Yak-130 pula dapat membentuk barisan kedua pesawat tempur yang jauh lebih berkeupayaan berbanding Hawk 208 sedia ada. TUDM juga perlukan pesawat Airborne Early Warning (AEW) yang berperanan untuk mengesan lebih awal pencerobohan ruang udara oleh pesawat asing.
Malaysia adalah satu-satunya negara ASEAN yang mempunyai wilayah di tanah besar Asia Tenggara (Semenanjung) dan juga di kepulauan maritim Asia Tenggara (Sabah dan Sarawak). Di antara dua wilayah timur dan barat ini kita dipisahkan oleh Laut China Selatan. Jika Semenanjung merupakan pusat politik dan ekonomi serta mempunyai populasi yang besar, Sabah dan Sarawak pula adalah wilayah yang jauh lebih besar dari segi keluasan dan menempatkan sumber alam strategik negara iaitu minyak dan gas. Keperluan pertahanan Malaysia adalah unik dan mencabar, dan bukan sahaja TUDM malahan TLDM dan TDM juga memerlukan aset ketenteraan yang mantap bagi melindungi kedaulatan negara baik di Semenanjung, Sabah atau Sarawak dengan cabaran logistik menyeberangi Laut China Selatan.
Di pentas diplomatik, China selalu memberikan jaminan bahawa ia tidak pernah berniat untuk terlibat dalam konflik ketenteraan dengan mana-mana negara jirannya. China mendakwa jika mengikut rekod sejarah, mereka tidak pernah menjajah mana-mana negara lain tidak seperti kuasa Barat atau Jepun. Namun ini tidak bermakna kita boleh bersikap sambil lewa dan mengenepikan ancaman ini. Jepun yang dahulunya penjajah kini antara negara pasifis yang menolak peperangan dan mengutamakan perdamaian. Adakah kita mahu percaya China yang dahulu tidak pernah menjajah tidak boleh berubah, lebih-lebih lagi di waktu mereka kini dinobatkan sebagai kuasa besar baharu yang boleh mencabar hegemoni Amerika Syarikat sebagaimana Kesatuan Soviet dahulu?
Kemungkinan China melibatkan diri dalam konflik ketenteraan dengan jiran-jiran di Asia Tenggara termasuk Malaysia adalah satu senario yang telah diulas oleh ramai pakar geopolitik dan ketenteraan. Jurnalis BBC, Humphrey Hawksley contohnya pernah menulis sebuah novel fiksyen berjudul Dragon Strike, yang mengisahkan bagaimana China menyerang negara-negara seperti Filipina, Taiwan, Vietnam dan juga Malaysia dalam konflik perebutan wilayah di Laut China Selatan. Bukan sedikit yang meramalkan bahawa pertembungan China dan Amerika Syarikat bakal berlaku satu masa nanti dan Laut China Selatan bakal menjadi medan pertembungan ini.
Lantaran itu sebagai sebuah negara berdaulat kita perlu bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan. Kita tidak mahu berperang tetapi perkara yang sama tidak boleh kita jangkakan dari pihak di sebelah sana. Memang kita negara kecil berbanding China dan angkatan tentera kita tidak mampu untuk setanding dengan angkatan tentera China yang jauh lebih besar.
But if we are going to war and lose, at least we must make sure we will give them a bloody nose.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.